Ini dibukti dengan penglibatan pengusaha inap desa (homestay) Kampung Minyak di Kudat, Sabah yang ternyata membantu mereka menjana pendapatan.

Pengusaha Inap Desa Misompuru, Datuk Jeffry Ayah berkata, sehingga November lalu, sebanyak 17,1737 pelancong menyertai program inap desa di kampungnya dan telah menjana pendapatan pendapatan RM1.2 juta daripada program berkenaan.

“Jumlah tersebut adalah pendapatan keseluruhan kepada 34 peserta yang terlibat menjayakan aktiviti dan produk inap desa di kampung ini.

“Kerjasama daripada penduduk kampung amat menggalakkan kerana pendapatan hasil daripada program ini dikongsi bersama dengan mereka yang terlibat dan secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

Jeffry berkata demikian selepas Program NBOS 1Malaysia Voluntourism: 1Malaysia 1Volunsharing Pengalaman Program Homestay Bersama Media anjuran Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Sabah baru-baru ini.

Tambah Jeffry, sejak inap desa Misompuru ditubuhkan pada 1999, mereka menerima sokongan daripada kerajaan menerusi Pejabat MOTAC Sabah bagi menjayakan program inap desa di kampung berkenaan.

“Menerusi MOTAC, kami diberi latihan dan pengiktirafan selain dibantu melalui promosi-promosi di dalam dan luar negara.

“Selain itu, kami juga dibantu untuk menganjurkan program tambahan di inap desa bagi menarik lebih ramai pelancong datang dan menginap di sini seterusnya memberi peluang kepada penduduk kampung untuk memperoleh pendapatan tambahan,” katanya.

Tambah Jeffry, bagi meningkatkan ekonomi masyarakat kampung, pihaknya juga akan memperluas program berkenaan kepada kampung-kampung di sekitar Kampung Minyak.

“Bagi tujuan tersebut, sebanyak 19 kampung akan dilibatkan iaitu tujuh kampung akan menyediakan perkhidmatan inap desa dan 12 kampung akan terlibat dengan menawarkan pelbagai aktiviti dan produk pelancongan setempat,” ujarnya.

Menurut Jeffry, berbeza dengan inap desa yang lain, Misompuru Homestay menyediakan pelbagai aktiviti bermula dari aktiviti harian penduduk hingga ke aktiviti ekstrem seperti persembahan kebudayaan, demostrasi kraf tangan, menjerat ketam, mencari lokan, meredah paya bakau, aktiviti pelayaran dan luncur udara.

Program berkenaan turut disertai Pengarah Pejabat MOTAC Sabah, Ag. Ahmad Zaki Abu Bakar serta 15 peserta yang terdiri daripada staf Pejabat MOTAC Sabah, pengamal media dan pelajar Pengurusan Pelancongan Universiti Malaysia Sabah 
(UMS).

Jeffry turut dilantik oleh Pertubuhan Produktiviti Asia (APO) Tokyo , Jepun sebagai penceramah inap desa dan farmstay di negara rantau Asia sejak 2012 hingga sekarang.

Sejak ditubuhkan pada 1999, Mosumpuru Homestay diiktiraf dari dalam dan luar negara menerusi pelbagai anugerah yang diterima.