Apakah kepakaran tuan Jelaskan secara ringkas?

Kepakaran saya adalah dalam tiga bidang, iaitu penyelidikan sistem perlindungan kilat untuk bangunan, penyelidikan yang mengenal pasti kegagalan rod kilat jenis early streamer emission (ESE) dan sistem perlindungan kilat dan bumi untuk peralatan komunikasi, komputer dan elektronik.

Dalam bidang sistem perlindungan kilat, kita mempunyai kecekapan memintas sehingga 98 peratus. Nilai ini 
telah disahkan oleh pakar-pakar kilat dari Jerman dan Republik Czech.

Dalam bidang seterusnya, penyelidikan saya telah mendedahkan kegagalan rod kilat jenis ESE kepada akademik dan pakar kilat di negara Barat. Akibat pendedahan ini, kegunaan rod kilat jenis ESE telah tidak di iktiraf oleh organisasi piawaian di seluruh dunia.

Dalam bidang perlindungan kilat untuk peralatan komunikasi, kepakaran saya membolehkan analisis forensik dijalankan terhadap sesebuah peralatan komunikasi, komputer atau elektronik berskala besar untuk mengelak daripada kerosakan besar akibat disambar kilat.


Apakah tuan berpuas hati dengan pencapaian dari segi penyelidikan mengenai bidang kepakaran?

Saya berpuas hati kerana penyelidikan dalam bidang sistem perlindungan kilat bangunan dan kegagalan rod kilat jenis ESE telah diiktiraf oleh beberapa universiti terkenal seperti Universiti Florida Amerika Syarikat (AS), Institut New Mexico (AS), Universiti Queensland (Australia), Universiti Uppsalla (Sweden) dan organisasi antarabangsa terkenal

Apakah perkara paling membanggakan dan mengecewakan tuan sejak penglibatan dalam bidang tersebut?

Perkara yang paling membanggakan saya adalah apabila penemuan saya dalam kaedah penempatan rod kilat di tahun 1995 telah diiktiraf dan diaplikasikan oleh International Electrotechnical Commission (IEC) pada tahun 2006. Piawaian tersebut, IEC 62305, sedang diguna di seluruh dunia kecuali AS.

Perkara lain yang juga membanggakan adalah apabila kajian saya yang mendedahkan kegagalan rod kilat jenis ESE di iktiraf dan aplikasikan oleh International Council on Large Electric System (CIGRE) dan National Fire Protection Association (NFPA) pada tahun 2000 apabila sistem tersebut telah ditolak oleh IEC dan NFPA.

Perkara yang paling mengecewakan apabila penemuan saya telah ditolak oleh pihak tertentu. Mereka telah menyebarkan maklumat berkenaan sistem perlindungan kilat yang tidak tepat dan bercanggah dengan dasar CIGRE dan IEC. Perkara ini 
telah menyebabkan beberapa agensi kerajaan, jurutera dan orang awam mempunyai kefahaman yang salah dalam bidang ini.


Apakah kepentingan bidang tersebut pada masa ini di titikberatkan?

Walaupun penemuan saya ini telah dimasukkan dalam piawaian SIRIM, MS-IEC62305, semenjak tahun 2007, jurutera Malaysia masih ragu-ragu untuk mengaplikasikannya. Perkara ini boleh dilihat dengan jelas di beberapa bangunan baharu apabila rod kilat biasa (standard) tidak ditempatkan dengan betul atau rod kilat jenis ESE masih digunakan walaupun tidak mengikut piawaian SIRIM atau IEC.

Mampu kita lahirkan ramai pakar dalam bidang yang tuan.ceburi?

Kita mampu melahirkan ramai pakar dalam bidang ini semenjak 20 tahun dahulu.

Semenjak tahun 2000, ramai penuntut universiti di Eropah dan AS telah menggunakan penemuan saya untuk kajian di peringkat sarjana dan kedoktoran.

Bagaimanakah 
bidang yang tuan ceburi ini sepatutnya mendatangkan keseronokan. Apa komen tuan.

Bidang ini mendatangkan keseronokan kerana negara kita berada dalam kawasan petir yang amat tinggi berbanding dengan negara-negara Barat. Contohnya, kepadatan kilat di Kuala Lumpur adalah lebih daripada 25 kilat setiap kilometer persegi setahun manakala kepadatan kilat di London adalah kurang daripada satu kilat setiap kilometer persegi setahun.

Keberkesanan sesebuah sistem perlindungan kilat 
yang diguna di negara ini dapat diketahui dalam masa yang amat singkat berbanding negara Barat.

Seorang pakar kilat yang buat penyelidikan yang sama di Eropah mungkin tidak dapat menemukan hasil yang sama sepanjang kariernya selama 40 tahun. Oleh sebab ini, penyelidikan saya mengenai sistem perlindungan kilat dapat di iktiraf oleh pakar Barat semenjak tahun 1995 lagi iaitu jangka panjang jangka masa lima tahun selepas ia dimulakan.

Adakah rakyat Malaysia masih tidak begitu sedar kepentingan bidang ini? Komen tuan.

Rakyat Malaysia telah di kelirukan semenjak tahun 1995, dan kemudian oleh UPM semenjak tahun 2008. Oleh itu, mereka berpendapat Malaysia tidak akan dapat menghasilkan penemuan baru dalam bidang ini walau pun hasil penemuan saya telah diiktiraf dan dimasukkan dalam piawaian sedunia (IEC) semenjak tahun 2006.

Apakah perkara yang wajar dilakukan bagi meningkatkan kepakaran dalam bidang ini?

MOSTI hendaklah terima penemuan dan pendapat ahli akademik dan pakar-pakar kilat terkemuka barat

Dengan cara ini, kemungkinan kita dapat menjimat berpuluh-puluh juta ringgit setahun dengan menolak rod kilat yang tidak di iktiraf oleh SIRIM dan ini boleh meningkat keselamatan bangunan dan manusia.

Kementerian Pendidikan Tinggi hendaklah mengarah semua universiti supaya mengajar fakta saintifik yang sahih dalam semua bidang termasuk kilat dan mengharamkan ahli akademik daripada menyebarkan fakta-fakta yang salah dan mengelirukan rakyat.

Mereka juga hendaklah meningkatkan kebolehan penuntut membaca dalam Bahasa Inggeris kerana banyak fakta-fakta betul terdapat dalam buku dan jurnal dalam bahasa ini. Dengan cara ini, ahli akademik tidak berani untuk mengajar fakta yang salah kepada penuntut sarjana dan kedoktoran. Merapoh Forest Run.