Pada kenyataannya sempena Hari Harimau Sedunia tahun lalu, WWF inilah masanya untuk meraikan harimau tetapi adakah terdapat apa-apa untuk diraikan oleh Harimau Malaya?

Kurang daripada setahun yang lalu, maklumat yang dikumpulkan daripada kajian-kajian yang dijalankan dalam tiga kawasan teras harimau di Semenanjung Malaysia menunjukkan bahawa kita mempunyai lebih kurang antara 250 hingga 340 ekor Harimau Malaya liar di dalam hutan.

Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semulajadi (IUCN) telah mengiktiraf angka terbaharu itu, dan telah menyenaraikan Harimau Malaya sebagai sangat terancam secara rasmi di bawah Senarai Merah IUCN untuk spesies terancam, yang bermaksud spesies tersebut berdepan dengan risiko yang sangat tinggi untuk pupus.

Status ‘sangat terancam’ bermakna Harimau Malaya berada sangat hampir kepada kategori pupus di alam liar, di bawah lapan kategori Senarai Merah IUCN.

Wakilnya Shariff Mohamad berkata, perkara tersebut seharusnya menyedarkan rakyat Malaysia serta kerajaan dan pembuat dasar untuk mengambil tindakan pemuliharaan dengan segera. Jika tidak, Harimau Malaya mungkin pupus.

‘Harimau telah berdepan dengan penganiayaan oleh manusia sepanjang beberapa dekad lalu, yang didorong oleh permintaan untuk bahagian-bahagian badan harimau untuk digunakan dalam perubatan tradisional Cina. Sepanjang abad lalu, jumlah harimau liar di dunia telah menurun secara mendadak daripada anggaran 100,000 ekor kepada hanya 3,200 ekor pada hari ini.

Penerokaan hutan juga telah mengancam kemandirian spesies tersebut apabila kawasan hutan telah dipecahkan oleh pembangunan dan ditukarkan kepada penempatan manusia dan kawasan ladang. Apa yang perlu dilakukan? Sebagai permulaan, habitat mencukupi yang saling berhubungan diperlukan. Malaysia mempunyai sebuah pelan yang baik dan komprehensif dikenali sebagai Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (CFS) yang mengenal pasti kepentingan rangkaian ekologi dan langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengekalkannya.

Masalahnya, pelan ini dirangka oleh kerajaan persekutuan manakala kerajaan negerilah yang mempunyai bidang kuasa ke atas perkara-perkara tanah. Terdapat beberapa cerita kejayaan contohnya, pewartaan koridor penting di Belum-Temengor sebagai Hutan Simpan Amanjaya oleh Kerajaan Negeri Perak dan pembekuan pembangunan di Koridor Hidupan Liar Kenyir oleh Kerajaan Negeri Terengganu tetapi kebanyakan daripada 35 rangkaian hutan yang telah dikenal pasti mungkin tengah dimusnahkan pada saat ini.

Sekiranya rangkaian ini hilang, ia mungkin terlalu mahal untuk dipuliharakan.

Malaysia sangat bertuah kerana memiliki litupan hutan yang agak besar. Namun kajian terkini menunjukkan Malaysia juga mempunyai kadar penebangan hutan yang tertinggi di dunia di antara tahun 2000 dan 2012.

Satu ancaman yang timbul ialah banyak hutan simpan, yang diklasifikasikan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar dalam Pelan Fizikal Kebangsaan, telah dibersihkan untuk perladangan Klon Kayu Getah, terutama di Kelantan dilakukan secara besar-besaran.

Hutan bukan sahaja menyediakan habitat untuk harimau dan hidupan liar yang lain, ia juga menyediakan khidmat ekosistem yang tidak ternilai untuk manusia seperti perlindungan kawasan tadahan air, produk kayu dan bukan kayu, mencegah hakisan tanah, mengekalkan kitaran air, dan mengawal pemanasan global.

Agensi penguatkuasa juga diperlukan untuk mengawasi kawasan hutan yang menjadi tempat harimau liar berkeliaran.

Bahagian-bahagian daripada sejumlah 94 ekor harimau telah disita di negara ini dari tahun 2000 hingga 2012, termasuk kulit dan tulang daripada 22 ekor harimau daripada orang tengah di Kedah.

PetIsyen bantahan

Dalam pada itu, MyCAT baru-baru ini melancarkan satu petisyen yang menuntut empat tindakan segera demi mencegah kematian harimau Malaya liar yang amat membimbangkan.

Petisyen ini dilancarkan berikutan dua rampasan bangkai harimau liar daripada peniaga haram dan penemuan seekor harimau yang terkena jerat dawai.

Kumpulan tersebut menuntut supaya pemburu serta peniaga haram hidupan liar yang disabitkan kesalahan dijatuhkan hukuman maksimum, dan untuk kaedah hukuman yang berlainan dipakai sebagai penghalang kepada penjenayah. Ia juga memohon supaya masyarakat dibenarkan untuk menyokong proses penyiasatan dan pendakwaan jenayah hidupan liar. Selain itu ia menyeru pemilik dan pengurus tanah yang merupakan habitat harimau untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar untuk melindungi spesie berkenaan

Walaupun Malaysia memiliki undang-undang perlindungan hidupan liar yang kuat dan tindakan penguatkuasaan yang kadang berjaya, pemburuan dan perdagangan haram terus mengancam kemandirian spesis ini.

Ahli biologi harimau dan Pengurus MyCAT Dr. Kae Kawanishi berkata, pihaknya berulang kali melihat sendiri peniaga dan penyeludup harimau dihukum ringan walaupun terdapat peruntukan dalam undang-undang untuk hukuman yang lebih berat.

“Mengapakah penjenayah boleh terlepas dengan ringan walaupun harimau liar telah dihukum mati oleh mereka?”, kata Kawanishi.

Permintaan pertama perikatan itu adalah supaya pihak mahkamah mengenakan hukuman maksimum kepada mereka yang disabitkan jenayah yang melibatkan harimau dan spesies terancam yang lain. Bukti digital seperti gambar atau video patut diterima sebagai bahan bukti dalam pendakwaan, seperti yang diamalkan di negara-negara jiran.

Kedua, MyCAT memohon Peguam Negara membenarkan masyarakat menyokong proses penyiasatan dan pendakwaan jenayah hidupan liar. Mereka meminta supaya Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 diguna pakai dan siasatan lanjut dijalankan demi melumpuhkan rangkaian jenayah.

Ketiga, supaya majlis pensijilan kayu meneliti semula pensijilan untuk hutan-hutan tempat harimau liar dibunuh.

Sebahagian besar habitat harimau di negara ini berada dalam hutan yang telah disahkan dikendalikan dengan amalan mampan, jadi majlis-majlis pensijilan hendaklah memastikan bahawa tatacara yang ketat dilaksanakan untuk mencegah pemburuan haram.

Kehilangan dan pemecahan habitat juga merupakan ancaman besar terhadap kelestarian harimau liar. Keempat, kerajaan-kerajaan negeri diminta untuk memberi keutamaan untuk memelihara habitat harimau di bawah litupan hutan semula jadi, dan menghentikan pemecahan terusan dalam landskap Central Forest Spine di Semenanjung Malaysia.

Petisyen ini dimulakan oleh empat organisasi pemuliharaan utama yang membentuk MyCAT iaitu Persatuan Pencinta Alam, TRAFFIC, Wildlife Conservation Society-Malaysia Programme dan WWF-Malaysia, yang berusaha untuk menyelamatkan harimau liar di negara ini.

MyCAT menyeru supaya 100,000 orang menyokong petisyen ini bagi menegakkan keadilan untuk harimau Malaya sebelum Hari Harimau Sedunia pada 29 Julai 2016.