Gajah pygmy antara spesies yang hampir pupus di KCoL.
Gajah pygmy antara spesies yang hampir pupus di KCoL.

KCoL meliputi satu dataran banjir yang terbentang dari hutan tanah tinggi Unit Pengurusan Hutan Deramakot (FMU) hingga ke pinggir laut paya bakau di muara Sungai Kinabatangan (Lower Kinabatangan River).

Dataran banjir Kinabatangan seluas 27,000 hektar (ha) ini telah diisytiharkan sebagai kawasan terlindung pada 1997 dan kemudiannya dinaik taraf menjadi Kawasan Lindungan Hidupan Liar pada tahun 2001 menerusi usaha Dana Sedunia Alam Semula Jadi (WWF).

Usaha pemuliharaan kawasan tersebut secara berterusan penting disebabkan ia menjadi pelindung kepada banyak spesies yang jarang dijumpai dan yang hampir pupus, termasuk monyet probosis, gajah pygmy, orang utan dan badak sumbu serta pelbagai unggas.

Ia dipercayai merupakan dataran banjir berhutan di Asia yang masih wujud dan dataran banjir terbesar di negara ini. Ia bertindak sebagai sistem penapisan kepada alam sekitar dan kawasan tadahan air bagi subwilayah timur Sabah.

KCoL juga menjana pendapatan menerusi aktiviti pelancongan di daerah itu dan dalam masa sama memberi pekerjaan kepada penduduk tempatan menerusi pembukaan banyak pusat penginapan dengan tumpuan di kawasan Kampung Sukau, Bilit, Abai dan Sungai Lokan.

Penubuhan Unit Peronda Hidupan Liar Kinabatangan adalah atas inisiatif Persatuan Pengusaha Pelancongan Koridor Kehidupan Kinabatangan (KiTA) yang dianggotai 14 pengusaha pusat penginapan sepanjang Hilir Sungai Kinabatangan dan ditubuhkan pada tahun 2008.

Unit itu dilancarkan secara rasmi pada 3 Disember tahun lepas oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Kamarlin Ombi.

KiTA juga menaja seramai 69 kakitangan dan pemandu pelancong yang bekerja di pusat penginapan ahlinya menjalani Kursus Pemandu Pelancong Hidupan Liar Kinabatangan yang diselia oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah pada November dan Disember lepas.

Alexander (kanan) bersama William (dua dari kanan) bersama Pembantu
Alexander (kanan) bersama William (dua dari kanan) bersama Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Kamarlin Ombi menaiki bot sumbangan KiTA untuk digunakan sebagai bot Unit Peronda Hidupan Liar Kinabatangan.

Seramai 27 lagi dilantik sebagai Warden Kehormat Hidupan Liar untuk membolehkan mereka turut serta dalam aktiviti penguatkuasaan dan mengetahui peranan mereka dalam melindungi hidupan liar dan sumber semula jadi di kawasan mereka sendiri.

Presiden KiTA, Alexander Yee memberitahu, Unit Peronda Hidupan Liar itu akan memantau aktiviti pelancongan dan menguatkuasakan pencerobohan di kawasan habitat hidupan liar.

Unit tersebut akan bekerjasama dengan Unit Peronda Riparian K-CoL yang diwujudkan oleh persatuan itu sebelum ini dengan kolaborasi Jabatan Perhutanan Sabah pada Oktober tahun lalu.

“Penubuhan Unit Peronda Hidupan Liar Kinabatangan merupakan satu lagi kerjasama berterusan dengan Jabatan Hidupan Liar Sabah sejak KiTA ditubuhkan.

“Hubungan erat ini membolehkan KiTA mencapai objektif penubuhannya dalam membantu usaha memantau dan pelaksanaan aktiviti konservasi di kawasan Hilir Kinabatangan,” katanya.

KiTA turut menyumbangkan sebuah bot untuk digunakan oleh unit peronda itu.

Dalam pada itu, antara tujuan penubuhan KiTA termasuklah mempromosi model pelancongan mampan di kawasan KCoL bagi memberi manfaat kepada rakyat dan alam sekitar.

Yee berkata, sejajar dengan pendirian ahli di bawah persatuan itu untuk tidak terlalu mengutamakan soal keuntungan sebaliknya memastikan program pemuliharaan yang dirangka KiTA dilaksanakan.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah penanaman pokok dalam pakej yang ditawarkan kepada pelancong dan sumbangan levi RM10 anggota KiTA bagi setiap pelancong yang tinggal di pusat penginapan mereka.

“Pungutan levi itu merupakan mekanisme KiTA untuk menjana kewangan sendiri bagi membantu usaha konservasi di kawasan KCoL,” katanya.

Menurut beliau, mekanisme menjana kewangan sendiri membolehkan KiTA banyak melaksanakan projek penting memberi manfaat kepada komuniti Kampung Abai, Sukau, Bilit dan Sungai Lokan.

Antara aktiviti itu adalah penanaman pokok, projek perubatan komuniti, menaja pembinaan pos kawalan untuk Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di Kampung Abai.

Panduan kepada pengusaha pelancongan

Kamarlin Ombi (enam dari kanan), Alexander Yee (enam dari kiri)
Kamarlin Ombi (enam dari kanan), Alexander Yee (enam dari kiri) dan Willian Baya (lima dari kanan) bergambar bersama pasukan Warden Kehormat Hidupan Liar.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Willian Baya beranggapan penubuhan Unit Peronda Hidupan Liar Kinabatangan dapat memberikan panduan kepada pengusaha pelancongan untuk beroperasi di kawasan rapuh daripada segi usaha pemuliharaan hidupan liar dan alam semula jadi.

Malah, katanya, mereka dapat sama-sama memainkan peranan melaksanakan tindakan penguatkuasaan, di samping memastikan bahawa garis panduan dipatuhi.

“Kami bekerja keras untuk membentuk cara bagi memulihara anugerah alam ini kepada bumi dan kami gembira yang pengusaha pelancongan memahami dan bekerjasama dengan jabatan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan, mereka yang dilantik sebagai Warden Kehormat Hidupan Liar supaya menjalankan tanggungjawab dengan tekun dan amanah.

“Mereka sepatutnya menyedari sudah diberi satu tugas penting, iaitu menjaga keselamatan aset negeri ini,” katanya.

William berkata, mereka kini dalam kumpulan teratur yang berperanan sebagai ‘mata dan telinga’ membantu untuk melindungi kawasan Hilir Kinabatangan.

Inisiatif yang diambil oleh Persatuan Pengusaha Pelancongan Koridor Kehidupan Kinabatangan (KiTA) itu, menunjukkan kesedaran kalangan pengusaha pelancongan di kawasan Hilir Kinabatangan untuk sama-sama memulihara hidupan liar dan alam semula jadi tanpa terlalu mementingkan keuntungan.

Persatuan itu juga tidak meminggirkan komuniti di kawasan pusat penginapan ahli mereka beroperasi di Hilir Kinabatangan, dengan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk di kawasan itu, selain melaksanakan aktiviti memberi manfaat kepada komuniti.

Usaha itu bertepatan bagi memastikan alam semula jadi dan hidupan liar yang mendiami kawasan Hilir Kinabatangan tidak pupus dan diwarisi oleh generasi masa depan. - BERNAMA