Ini kerana ia merupakan sumber asas yang mudah untuk digunakan terutama kayu yang bersifat keras. Kayu keras biasa digunakan dalam struktur binaan kerana ketahanannya. Walau bagaimanapun, sumber kayu keras masa kini semakin sukar diperoleh tidak seperti kayu lembut.

Kayu keras memiliki kadar pertumbuhan yang perlahan menjadikan jumlah tuaian pada saiz matang semakin berkurangan.

Bagi mengatasi kekurangan tersebut, sekumpulan penyelidik dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menemukan teknologi kayu lapis bersilang atau Cross Laminated Timber (CLT) yang membolehkan kayu lembut digunakan sebagai strutur binaan bangunan.

Menurut ketua penyelidiknya, Dr. Hamdan Husain, CLT merupakan kayu panel yang dihasilkan daripada kayu bersaiz kecil dengan membentuk konfigurasi tiga atau lebih lapisan panel.

“Kedudukan kayu disusun dengan arah urat kayu bersilang secara 90 darjah di antara setiap lapisan.

“Inovasi ini bermula di Eropah sekitar 1990-an dan berkembang serta diguna pakai di seluruh dunia sejak itu,” katanya ketika ditemui di Kepong, Selangor baru-baru ini.

Dr. Hamdan yang juga Ketua Unit Pembangunan Bahan, Jabatan Produk Hutan, FRIM menjelaskan bilangan lapisan yang digunakan untuk konsep CLT kebiasaannya dalam bilangan yang ganjil iaitu tiga hingga tujuh lapisan.

“Lebar dan panjang panel masing-masing bermula daripada tiga meter (m) sehingga 18 m dan setebal tiga inci bergantung kepada kemudahan pembuatan dan pengangkutan,” katanya.

Kaedah itu dilihat dapat memperkuat struktur kayu kerana disusun secara bersilang.

Antara kayu lembut yang digunakan dalam kajian tersebut adalah spesies kayu sesenduk (Endospermum malaccense) namun kayu-kayu lembut daripada spesies lain juga boleh digunakan.

Panel CLT dihasilkan menerusi lima kaedah bermula daripada proses menggergaji kayu daripada sebatang balak, pemilihan dan pengelasan kayu yang telah dipotong, sambungan dan terakhir adalah perekatan (gam) menggunakan sejenis perekat khas.

Produk CLT kini sudah sedia untuk tujuan komersial dan telah dipasarkan oleh sebuah syarikat perabot tempatan hasil kerjasama dengan FRIM namun masih di dalam kuantiti dan saiz yang terhad kerana bergantung kepada saiz mesin yang ada kini.

Kegunaan kayu sebagai struktur dalam industri pembinaan di Malaysia adalah terhad kepada penggunaan kekuda bumbung, selain penggunaan bukan struktur pada bingkai pintu dan tingkap.

Pada pertengahan tahun 2013, FRIM bawah seliaan Dr. Hamdan memperoleh geran penyelidikan Sciencefund daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi menjalankan penyelidikan berkaitan penghasilan dan pencirian CLT menggunakan kayu tempatan daripada spesies perintis.

Projek penyelidikan berjangka masa dua tahun itu tertumpu kepada pembangunan produk CLT menggunakan kayu spesies perintis yang terpilih.

Hal ini kerana, CLT telah dihasilkan terlebih dahulu di kilang pengeluaran mengikut saiz dan spesifikasi yang dikehendaki sebelum dibawa ke tapak pembinaan untuk proses pemasangan.

Antara ciri penting CLT adalah inovasi tersebut mempunyai kekuatan struktur yang tinggi kerana bebanan yang digalas panel akan menyebar ke kedua-dua arah dimensi panel.

Selain itu, inovasi itu juga mempunyai berat bahan yang rendah, di mana penting untuk menjalankan fungsi panel sebagai bahan struktur.

Selain itu, CLT mempunyai rintangan api yang baik disebabkan oleh ketebalannya yang bertindak sebagai penebat apabila terbakar.

CLT bertindak juga sebagai penyimpan karbon di dalam kayu semasa pemprosesannya. Ini akan dapat mengurangkan kesan karbon terhadap alam sekitar daripada bangunan yang dibina.

Antara contoh bangunan tinggi yang telah dihasilkan menggunakan panel CLT ialah bangunan kediaman Stadthaus yang terletak di London, United Kingdom dan Forte di Melbourne, Australia.

Bangunan tersebut masing-masing setinggi sembilan dan 10 tingkat.

Contoh tersebut membuktikan CLT mampu menggantikan bahan binaan konvensional seperti konkrit dan besi dalam pembinaan bangunan.

Kaedah pembinaan menggunakan panel CLT adalah melalui kaedah sistem pembinaan berindustri (IBS) yang dapat mengurangkan kos pembinaan bangunan, tenaga kerja serta jangka masa pembinaan.

Dalam penyelidikan tersebut Dr. Hamdan dibantu oleh Dr. Mohd. Khairun Anwar Uyup, Nordahlia Abdullah Siam, Iskandar Muhd. Masrukin, Mohd. Izani Ishak, Dr. Mohd. Tamizi Mustafa dan Othman Mohd. Desa.