Ia menjadi sebab duka atau bahagia seseorang manusia. Oleh itu, Allah SWT menuntut ibu bapa agar menjadikan kasih sejati ini sebagai kenderaan yang membawa anak-anak ke lorong syurga dan bukannya lubang neraka:

“Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan,” (al-Tahrim [66:6]).


KASIH SEJATI BAPA CONTOH

Nabi Nuh a.s. adalah bapa contoh yang tidak berputus asa memujuk anaknya (Kan’an bin Nuh) yang degil tidak mahu beriman kepada Allah SWT agar menaiki bahteranya. Kisah itu diabadikan buat tatapan dan pengajaran semua ibu bapa sehingga kiamat:

“(Mereka semua naik) dan bahtera itu pun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: “Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang yang kafir.” Anaknya menjawab: “Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air.” Nabi Nuh berkata: “Hari ini tidak ada sesuatu pun yang akan dapat melindungi daripada azab Allah, kecuali orang yang dikasihani oleh-Nya.” Dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara kedua-duanya, lalu menjadilah dia (anak yang derhaka itu) daripada orang yang ditenggelamkan oleh taufan,” (Hud [11:42- 43]).

Kasih Baginda memang kasih sejati. Kecaknaan Baginda tidak berakhir setakat itu sahaja sebaliknya dipanjangkan setelah banjir mulai reda. Allah SWT memanjangkan kisah resah hati dek kerana kasih Nabi Nuh a.s. terhadap anaknya ini:

“Dan (setelah binasanya kaum kafir itu) diperintahkan kepada bumi dan langit dengan berkata: “Wahai bumi telanlah airmu, dan wahai langit berhentilah daripada curahan hujanmu”. Dan (ketika itu) surutlah air, serta terlaksanalah perintah (Allah) itu. Dan bahtera Nabi Nuh itu pun berhenti di atas gunung Judiy serta diingatkan (kepada kaum kafir umumnya bahawa): “Kebinasaanlah akhirnya bagi orang-orang yang zalim.” Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu daripada keluargaku sendiri, dan bahawa janji-Mu itu adalah benar, dan Engkau adalah sebijak-bijak hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya. Allah berfirman: Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah daripada keluargamu (kerana dia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepada-Ku sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku melarangmu daripada menjadi orang yang jahil.” Nabi Nuh berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada memohon sesuatu yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku, dan memberi rahmat kepadaku, nescaya menjadilah aku daripada orang yang rugi,” (Hud [11:44-47]). 


KASIH BERASASKAN AGAMA

Setelah ditegur tentang kekufuran anaknya, Nabi Nuh a.s. akur kerana Baginda faham benar bahawa hubungan ‘kasih berasaskan agama’ tetap mengatasi hubungan kasih bersandarkan darah. Nuh a.s. juga sedar bahawa tugasnya mendidik sudah selesai dan hidayah tetap milik mutlak Allah.

Perkara sama pernah diajukan kepada Rasulullah SAW ketika Baginda bersedih melihat kematian bapa saudaranya Abu Talib dalam kekufuran (Sahih al-Bukhari dan Muslim):

“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya dia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam),” (al-Qasas[28:56]).


WASIAT SEBELUM WAFAT

Bukti lain kasih sejati para nabi kepada anak mereka adalah Nabi Yaakub a.s. Perhatikan wasiat agama yang disampaikan kepada anak Baginda pada saat ajal bakal menjemput:

“(Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika dia berkata kepada anak-anaknya: “Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?” Mereka menjawab: “Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan Yang Maha Esa dan kepada-Nyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman),” (al-Baqarah [2:133]).

Buktikan kasih sayang kepada anak kita dengan mendidik mereka mengikut kehendak Pemilik sebenar mereka iaitu Allah SWT. Semoga kasih sebenar yang dicurahkan kepada mereka menjadi sebab kebahagiaan bersama mereka di akhirat kelak sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya Allah akan benar-benar mengangkat kedudukan hamba yang soleh dalam syurga kelak. Dia pun akan bertanya: Wahai Tuhanku, bagaimana mungkin aku mendapat kedudukan (yang tinggi sebegini sedangkan amalku tidak seberapa). Allah lalu menjawab: Ia berkat anakmu yang selalu memohon pengampunan (kepada Allah terhadap) dosamu,” - Musnad Ahmad.

Ya Allah! Satukan kasih sejati berasaskan iman dan amal soleh antara kami dan zuriat keturunan di dunia ini dalam mahligai rumah tangga serta di akhirat kelak di dalam istana syurga.

 

PEDOMAN

1 Kasih pada anak seumpama akar tunjang yang menjalar mendasari ke dalam bumi. Ia sukar dicabut atau disentap begitu sahaja.

2 Allah SWT menuntut ibu bapa agar menjadikan kasih sejati itu sebagai kenderaan membawa anak-anak ke lorong syurga, bukannya lubang neraka.

3 Kecaknaan Nabi Nuh a.s dan Nabi Yaakub a.s. terhadap anak perlu dijadikan panduan ibu bapa.

4 Kasih berasaskan agama perlu mengatasi hubungan kasih bersandarkan hubungan darah

5 Buktikan kasih sayang dengan mendidik anak-anak mengikut acuan dikehendaki Pencipta Yang Maha Esa

6 Semoga kasih sebenar yang dicurahkan ibu bapa menjadi punca kebahagiaan di akhirat.