IUCN yang ditubuhkan pada tahun 1948 adalah satu lembaga status pemuliharaan spesies yang utama di dunia yang menjalankan inventori status pemuliharaan spesies haiwan dan tumbuhan sedunia yang paling menyeluruh.

Kes-kes konflik harimau dan manusia, seperti di Felda Jerangau Barat Terengganu pada tahun 2003, laporan harimau berkeliaran di Jalan Lepar, Gambang, Pahang pada awal tahun ini dan beberapa kes di Kelantan serta di Kuala Krai, Gua Musang dan Jeli pada tahun 2017 dan 2018 telah menimbulkan konflik dalam pemuliharaan harimau di hutan Semenanjung Malaysia. Kes popular harimau dilanggar di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) di kilometer 321 dekat Paka-Kertih, Terengganu mendapat perhatian ramai.

Laporan terbaharu perburuan haram melibatkan harimau oleh rakyat Vietnam di sebuah premis pekerja kilang papan di Kuala Lipis, Pahang menambah lagi kerisauan dalam pemuliharaan harimau. Kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam kerja pemuliharaan haiwan liar dari 2010 hingga 2013, melaporkan mereka turut menemukan sebanyak 2,241 jerat dan 1,728 khemah haram.

Mereka juga menemukan bahagian-bahagian tubuh daripada 103 harimau antara tahun 2000 hingga 2015. Kes-kes seperti ini adalah sangat mengecewakan dari segi hasrat negara melindungi dan memulihara harimau yang menghadapi ancaman kepupusan.

Gangguan harimau ke atas haiwan ternakan, ancaman keselamatan manusia, aktiviti perburuan haram yang masih aktif, kemalangan harimau di jalan raya, kehilangan habitat dan kesedaran masyarakat dalam pemuliharaan harimau masih dibincangkan dan mencari penyelesaian demi pemuliharaan haiwan berkenaan.

Malangnya kebanyakan perbincangan dilihat sangat primitif dan hanya selepas kejadian. Pelbagai peruntukan undang-undang dan perancangan yang akan diadakan, dibacakan untuk tatapan umum. Walaupun kerajaan menunjukkan komitmen dalam pemuliharaan harimau di Semenanjung Malaysia, perburuan haram terus berlaku dan berulang. Fenomena tersebut menarik perhatian rakyat Malaysia untuk memahami, meningkatkan kesedaran dan melengkapkan diri untuk membantu kerajaan memulihara harimau di habitat liar mereka dan mesti dibantu oleh agensi kerajaan dan NGO.

Pada peringkat antarabangsa, Malaysia memberi komitmen bagi melindungi dan memulihara populasi harimau semasa Sidang Kemuncak Harimau yang diadakan di St. Petersburg, Rusia pada tahun 2010. Pada sidang tersebut, dunia dimaklumkan tentang 97 peratus populasi harimau dunia telah hilang.

Sebagai menyambut resolusi itu, Malaysia akan mengambil tindakan berani dan tegas bersama masyarakat antarabangsa bagi membolehkan populasi harimau liar pada peringkat global berganda menjelang tahun 2020. Dalam usaha mencapai matlamat itu, menerusi Program Pemuliharaan Harimau Global (GTRP) diharapkan dapat menjadikan satu usaha menyelamatkan harimau liar, di samping memastikan jumlahnya bertambah dari semasa ke semasa dan akhirnya mengatasi masalah kepupusan.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memulakan Bengkel Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau pada tahun 2006. Bengkel tersebut bertujuan membangunkan satu Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan (NTCAP) untuk Malaysia.

Pelan tersebut memetakan arah tuju dan tindakan khusus yang diperlukan antara 2008 hingga 2015 bagi menyelamatkan populasi harimau liar di Semenanjung Malaysia.

Sekiranya pelan tersebut berjalan dengan baik, sudah tentu kita sudah melihat satu budaya baharu masyarakat Malaysia dalam pemuliharaan harimau dari segi pengetahuan, kesedaran, aktiviti, sokongan dan pertambahan populasi harimau serta habitat mereka mencukupi seiring dengan pembangunan negara.

Antara objektif utama NTCAP ialah untuk memastikan negara mempunyai sebanyak 1,000 harimau liar menjelang tahun 2020 dan tiada perburuan haram.

Mungkin pengalaman Nepal antara tahun 2011 dan 2014 dengan tiada perburuan haram boleh dipelajari.

Maklumat ini mestilah sampai kepada seluruh masyarakat Malaysia, di samping menentukan dengan jelas habitat harimau yang mesti dilindungi. Kajian terperinci sangat diperlukan bagi mengumpul maklumat penting tentang harimau seperti biologi, ekologi, genetik, keselamatan dan aspek sosioekonomi termasuklah antaranya kemungkinan konflik dengan manusia.

Hasil penyelidikan tersebut boleh digunakan dalam program pemuliharaan harimau di negara ini.

Kompleks Hutan Belum-Temenggor merupakan kawasan utama untuk harimau bawah NTCAP. Pelan tindakan tersebut merupakan satu strategi untuk memastikan kemandirian jangka panjang harimau di habitat semula jadinya. Pencapaian NTCAP sejak dibangunkan mesti dilaporkan kepada kerajaan untuk menilai komitmen yang diberikan pada peringkat antarabangsa dan membuat penambahbaikan sekiranya ada.

Penurunan mendadak populasi harimau tidak lagi menghairankan dan sebab-sebabnya juga jelas diketahui.

Maka tindakan agresif sangat perlu diambil oleh semua pihak.

Masyarakat mesti melakukan sesuatu selepas mengetahui maklumat ini. Kita tidak mahu mengulangi nasib seperti badak Sumatera (Dicerorhinus sumatrensis) yang pernah dibincang dengan hebat suatu masa dahulu dengan mendapat sumbangan kewangan dan perhatian pihak korporat.

Malangnya kebanyakan tindakan yang diambil sudah terlambat. Mungkin bagi harimau masih ada masa walaupun sangat mencabar.

Kurangkan konflik manusia-harimau

Keberkesanan Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan NTCAP juga perlu dinilai segera terutama melibatkan kawasan fokus pemuliharaan harimau seperti kawasan Kompleks Hutan Belum-Temenggor, Kompleks Hutan Ulu Muda, Banjaran Titiwangsa, Taman Negara dan Taman Negara Endau-Rompin. Penglibatan semua pihak diperlukan dalam membuat penilaian tahunan bagi memastikan perancangan tercapai. Konflik harimau-manusia mesti dikenal pasti dan dikurangkan.

Hal berkaitan seperti perburuan haram, kajian terperinci dan permonitoran tentang konflik harimau-manusia, gangguan habitat, kajian populasi harimau, mangsanya dan kawasan keliaran harimau mesti sentiasa dipantau dan mendapat khidmat pakar.

Program meningkatkan pengetahuan dan kesedaran awam tentang pemuliharaan dan kurangkan konflik harimau-manusia melalui penglibatan komuniti dan program pendidikan, memastikan hutan bersambung untuk pergerakan harimau seperti Central Forest Spines (CFS) yang dicadangkan juga mesti aktif. Masyarakat mesti faham dan kesan aktiviti manusia ke atas alam semula jadi.

Hari Harimau Sedunia disambut pada 29 Julai setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti dunia tentang kepentingan pemuliharaan harimau termasuk harimau Malaya yang sangat terancam.

Pada 29 Julai nanti, semua akhbar arus perdana sepatutnya menyumbang iklan sambutan Hari Harimau Sedunia pada muka hadapan akhbar masing-masing.

Sejak tahun 1969 lagi, Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) mengajak seluruh masyarakat antarabangsa menyelamatkan harimau. Dana Sedunia Alam Sekitar (WWF) menyambut baik seruan itu dan melaksanakan di Indonesia, Bhutan, India, Nepal, Bangladesh, Malaysia, and Thailand pada tahun 1970-an.

Kajian-kajian tentang harimau di Malaysia sudah bermula sejak tahun 1960-an lagi.

Kerajaan sedar ancaman terhadap populasi harimau apabila pembukaan tanah secara besar-besaran untuk pertanian dan penempatan masyarakat dilaksanakan. Menerusi tinjauan menggunakan perangkap kamera, populasi harimau Malaya dianggarkan sebanyak antara 250 hingga 340 ekor haiwan dewasa pada tahun 2013.