Pada masa itu, Selat Melaka sepanjang 800 kilometer (km)digunakan secara aktif oleh pedagang-pedagang Arab, Portugis, Belanda dan Inggeris.

Antara 1993 dan 1995 dilaporkan lebih 100,000 kapal kargo dan minyak membawa 3.23 juta tong minyak mentah melalui Selat Melaka menjadikannya laluan kapal paling sibuk di dunia itu mewakili 25 peratus daripada perdagangan dunia.

Kedudukannya yang strategik dari segi geografi menarik perhatian dunia terutama pengguna utama China, Jepun dan Korea termasuk Singapura yang mendapat manfaat daripada Selat Melaka. Tambahan pula, dengan peningkatan permintaan kepada pengangkutan barangan dari Timur dan petroleum dari Barat, Selat Melaka yang menyempit apabila mendekati Singapura memerlukan pengurusan yang terbaik dan melibatkan perbelanjaan yang besar.

Lebar Selat Melaka yang hanya 2.8 km dengan kedalaman kurang 100 kaki itu banyak mengundang bahaya pelanggaran kapal, tumpahan minyak, pencemaran bahan kimia dan mempengaruhi sumber biologi. Dengan bertambahnya bilangan kapal melalui Selat Melaka, 60 kemalangan yang dilaporkan pada tahun 2015 itu sudah pasti akan terus meningkat.

Pertumbuhan pesat ekonomi negara China dan kekayaan rakyatnya serta persaingan hebat dalam ekonomi dunia sekarang menjadikan permintaan tinggi bagi kapal-kapal China melalui Selat Melaka. Peningkatan pengangkutan bahan petroleum dari Asia Barat, bahan mentah dari Afrika dan barangan buatan China melalui Selat Melaka, mungkin menimbulkan idea membina laluan pantas di darat menghubungkan Selat Melaka dan Laut China Selatan.

Idea ini mungkin untuk mengelak laluan sempit lagi cetek bahagian selatan Selat Melaka dan menganggu kestabilan tapak Ramsar.

Dianggarkan lebih daripada 10,000 kapal perdagangan yang melalui bahagian paling sempit dan cetek Selat Melaka melintasi Pulau Kukup dan Tanjung Piai setahun.

Bilangan ini sudah tentu akan memberikan kesan kepada ekosistem pantai terutama hutan bakau di tapak Ramsar berkenaan.

Kerajaan Johor juga telah lama sedar akan kerosakan ekosistem bakau disebabkan bahan buangan kapal-kapal yang berlabuh sekitar Tanjung Piai dan Pulau Kukup. Hutan bakau dikatakan sebagai kawasan penampan semula jadi yang penting menghalang daripada ombak kuat dan juga tempat pembiakan hidupan laut.

Perbincangan tentang kepentingan hutan bakau sudah lama diberikan perhatian oleh ramai orang di dunia. Berbagai-bagai lapisan masyarakat daripada ahli politik kepada persatuan nelayan pesisiran pantai, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pensyarah universiti hinggalah perbincangan dalam media massa, Parlimen dan persidangan lain.

Walaupun adanya perbincangan tersebut, hutan bakau terus dimusnahkan untuk kepentingan manusia jangka pendek dan tidak lestari. Banyak contoh yang boleh diberikan di dunia berkaitan kemusnahan hutan bakau terutama dalam pembangunan untuk kediaman manusia, perbandaran, aktiviti akuakultur termasuk kolam udang dan pembinaan pelabuhan.

Sudah sampai masanya kerajaan menentukan kawasan bakau sebagai kawasan yang sensitif, perlu dilindungi dan dipulihara. Sepanjang pantai Barat bermula dari Pulau Langkawi, Larut Matang, sepanjang pantai Selangor dan Johor hingga Tanjung Piai dan Pulau Kukup, hutan bakau perlu dikenal pasti dan dilindungi untuk faedah manusia. Ramai sudah tahu akan kepentingan hutan bakau dalam kestabilan kepelbagaian biologi ekosistem pantai, tempat pembiakan dan tumbesaran hidupan marin, hutan bakau melindungi pantai daripada ombak besar, hakisan pantai dan kejadian tsunami.

Semua ini memberi kesejahteraan kepada nelayan pesisiran pantai. Banyak lagi kepentingan hutan bakau yang selalu dibincangkan di seluruh dunia. Sebagai menandakan perhatian antarabangsa tentang kepentingan kritikal hutan bakau untuk sekuriti makanan, perlindungan pantai dan mitigasi kesan perubahan iklim, Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa telah diisytiharkan disambut pada 26 Julai setiap tahun.

Kapal-kapal yang berlabuh di perairan antarabangsa sekitar sempadan Tanjung Piai dan Pulau Kukup di daerah Pontian telah dikenal pasti antara penyumbang penting kepada pencemaran air laut.

Pemantauan secara saintifik perlu dijalankan bagi memantau buangan daripada kapal seperti minyak dan air ballast sebelum memasuki Singapura.

Tanjung Piai dan Pulau Kukup yang diisytiharkan sebagai tapak Ramsar itu sudah tentu sensitif kepada pencemaran dan menarik perhatian antarabangsa. Laporan jurnal Environmental Science and Technology 2000 menunjukkan dengan jelas sumber bahan petroleum yang mencemari perairan Selat Melaka adalah daripada kapal yang membawa minyak dari Asia Barat. Maka menjadi kewajipan kita memantau status kualiti alam sekitarnya. Tapak Ramsar sepatutnya mendapat pengiktirafan semua pihak dan melindunginya sebagai Kawasan Khas Perairan Sensitif (PSSA).

Kawasan itu sesuai sebagai kawasan sensitif kerana terdapat bakau, rumput laut, kawasan pantai berlumpur yang landai sesuai untuk burung berhijrah, aktiviti perikanan, penting dalam pelancongan, penyelidikan, pendidikan dan sosioekonomi.

Kawasan bakau di Selat Melaka sepanjang pantai dari Thailand hingga Singapura. Kawasan bakau tinggi kepelbagaian biologi kawasan tanah basah yang penting dan nilai pemuliharaan yang tinggi. Dua tapak Ramsar di selat Melaka Pulau Kukup dan Tanjung Piai.

Lombong pasir punca pencemaran logam berat

Selain aktiviti perkapalan, melombong pasir juga memberikan kesan bukan sahaja sepanjang sungai tetapi juga kawasan muara sungai dan pantai. Lombong pasir menyumbang kepada pencemaran logam berat, kelodak dan membawa sampah ke pantai termasuk plastik yang mengancam hidupan marin seperti penyu dan ikan lumba-lumba.

Penambakan pantai di Selat Melaka di Semenanung Malaysia yang berlaku sejak 1950-an hingga sekarang juga mengancam hidupan liar marin.

Aktiviti penambakan pantai telah mendapat perhatian ramai selepas 1990-an. Menjelang 2025, sebanyak 75 peratus penduduk kawasan pantai akan bertambah. Tumpuan penduduk akan memberikan kesan yang lebih kepada kawasan pantai termasuk bakau dan perikanan.

Walaupun laporan Research Journal of Environmental Technology 2009 memaklumkan bahawa kawasan perairan Malaysia belum lagi tercemar dengan serius oleh bahan kimia seperti racun prosak, tributyltin (TBT), logam berat dan petroleum, aktiviti pemantauan perlu dijalankan. Aktiviti perkapalan, pertanian dan perbandaran bakal menyumbang bahan kimia ke Selat Melaka.

Memandangkan Selat Melaka sangat penting bukan sahaja untuk laluan kapal tetapi juga keselamatan dan perikanan pesisiran pantai, maka perlu diadakan satu pusat kajian dan pemantauan Selat Melaka.

Pusat penyelidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang terletak di Port Dickson misalnya, boleh diaktifkan lagi sebagai pusat penyelidikan dan pemantauan Selat Melaka.

Kedudukannya yang di tengah-tengah laluan Selat Melaka sangat sesuai menjadi pusat berkenaan. Pusat yang sudah lama wujud ini boleh diiktiraf sebagai yang ulung di negara ini.

Pada mulanya pusat tersebut mungkin sebagai stesen kajian marin dan pengajaran terhad kepada UPM tetapi kemudiannya melibatkan agensi luar dalam kerjasama penyelidikan.

Dengan kepakaran dan kemudahan yang sedia ada pusat berkenaan boleh dikembangkan menjadi pusat penyelidikan dan pendidikan Selat Melaka yang berpotensi untuk sains marin dan mampu menarik minat antarabangsa.