Usaha ini juga selari dengan Agenda Bandar Baharu yang dibincangkan dalam Forum Bandar Dunia (WUF) dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) 2030.

Peruntukan bagi infrastruktur sebanyak 15 peratus memfokuskan kepada ruang hijau dan kelestariannya yang layak dipanggil kampus hijau. Perkara yang dilihat seperti nisbah kawasan terbuka berbanding jumlah kawasan seluruhnya, kawasan kampus yang mempunyai hutan, kawasan yang ditanam dengan tumbuhan, kawasan kampus untuk serap air, jumlah ruang terbuka dengan populasi kampus dan peruntukan kewangan untuk usaha kelestarian kampus.

Bagi bahagian tenaga dan perubahan cuaca pula sebanyak 21 peratus diperuntukkan merupakan peratusan yang paling tinggi dalam kriteria yang ada.

Bahagian ini menilai sejauh mana universiti memberi perhatian kepada penggunaan tenaga dan perubahan cuaca.

Perkara yang dinilai antaranya kecekapan penggunaan tenaga, polisi tenaga boleh diperbaharui (RE), jumlah elektrik digunakan berbanding dengan populasi kampus (kW/individu), program penjimatan elektrik, bangunan hijau, bangunan pintar, polisi pengeluaran gas rumah hijau, nisbah jumlah karbon dengan populasi kampus dan adaptasi serta mitigasi perubahan cuaca.

Pengurusan sisa pepejal bernilai 18 peratus yang merujuk kepada rawatan sisa dan aktiviti kitar semula merupakan faktor penting dalam kelestarain alam sekitar. Aktiviti kakitangan dan pelajar menghasilkan banyak sisa, maka program rawatan sisa antara yang menjadi perhatian. Program kitar semula, pengendalian dan kitar sisa toksik, rawatan sisa organik, rawatan sisa bukan organik, polisi mengurangkan penggunaan kertas dan plastik juga akan dinilai.

Penggunaan air dalam kampus dengan 10 peratus markah antara petunjuk penting dalam green metric.

Penggunaan air diisytiharkan dengan usaha penjimatan melalui program dan melindungi habitat.

Petunjuk pelaksanaan program penjimatan air, pelaksanaan program kitar semula, penggunaan air yang cekap untuk singki dan tandas serta air kitar semula atau takungan untuk menyiram pokok-pokok serta rawatan air yang digunakan diukur pencapaiannya.

Pengangkutan sebanyak 18 peratus markah memainkan peranan penting dalam kampus hijau.

Penggunaan pengangkutan bermotor dalam kampus perlu dihadkan. Penggunaan bas kampus dan berbasikal perlu digalakkan. Polisi berjalan kaki menggalakkan pelajar dan staf berjalan dalam kampus dan mengelakkan menggunakan kenderaan persendirian.

Antara petunjuk ialah nisbah kereta dan motosikal dengan jumlah penduduk kampus, perkhidmatan bas, kawasan tanpa kenderaan dalam kampus seperti perpustakaan. Nisbah kawasan tiada pengeluaran asap dengan populasi kampus, nisbah tempat letak kereta dengan jumlah kawasan kampus, polisi pejalan kaki kampus, penempatan pelajar bagi menggalakkan mereka berjalan kaki dalam kampus dan laluan bebas kenderaan menjadi petunjuk penting.

Program pendidikan yang bernilai 18 peratus penting bagi sesebuah universiti kampus hijau. Nisbah kursus berkaitan kelestarian berbanding kursus yang ditawarkan, aktiviti amali pelajar berkaitan kampus hijau, geran penyelidikan berkaitan kelestarian berbanding jumlah keseluruhan, bilangan penerbitan berkaitan alam sekitar dan kelestarian, bilangan organisasi pelajar berkaitan alam sekitar dan kelestarian, maklumat kelestarian kampus dalam Internet dan laporan tentang kelestarian dinilai.

Universiti terkemuka dunia memperuntukkan program pendidikan dan penyelidikan yang jelas berkaitan kampus hijau. Misalnya Australian National University (ANU) yang mempunyai 10,000 pokok dan lebih daripada 100 haiwan tempatan menjadikan persekitarannya memulihara alam.

ANU mempunyai polisi ini sejak 15 tahun dahulu. Mereka juga merancang mengurangkan sisa, penggunaan air dan penggunaan tenaga. University of California Davis dan University of California Berkeley juga ingin menjuarai isu alam sekitar global dengan mempromosi kesedaran menerusi aktiviti pendidikan dan penyelidikan.

Universiti Cambridge menyediakan peluang pelajar untuk menjalankan penyelidikan bagi memperbaiki kelestarian kampus. Walaupun pilihan tidak terhad namun antara tajuk yang menjadi fokus ialah pengangkutan, kepelbagaian biologi, tenaga, sisa makanan, perubahan tingkah laku, alam sekitar, kepenggunaan dan budaya serta pelbagai lagi.

Dalam usaha menjadi universiti yang paling lestari di dunia dengan program Green Campus 2020, strategi Universiti Copenhagen adalah meningkatkan kecekapan dan kelestarian sumber serta pengurangan tenaga dan pelepasan gas karbon dioksida.

Kelestarian kampus Universiti Oxford pula melibatkan staf dan pelajar dalam amalan mereka di pejabat, bangunan atau jabatan.

Universiti Peking memulakan gerakan penjimatan air dan bekerjasama dengan kerajaan berkaitan projek rawatan kumbahan. Bagi Universiti Nasional Singapura, institusi berkenaan juga mengintegrasikan pengajaran, penyelidikan dan operasi kampus.

Penyelesaian kelestarian alam sekitar di Universit Yale pula mengetengahkan isu kelestarian dan perubahan cuaca dalam pengajian dan penyelidikan dalam misi akademik universiti.

Universiti Tokyo pula memfokuskan projek kelestarian kampus pada 2008 dengan mengurangkan pengeluaran karbon. Projek Todai Sustainable Campus Project (TSCP) turut melibatkan pelajar.