Pusat tersebut juga menjalankan pembiakbakaan komersial, operasi menyelamat, rehabilitasi dan pelepasan hidupan liar dalam kurungan.

Menurut Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, sebanyak 11 buah Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) dibangunkan dan beroperasi bagi melaksanakan program pembiakan spesies hidupan liar.

Pihaknya juga berperanan memperkasa Program Pembiakan Hidupan Liar untuk menyediakan stok hidupan liar bagi tujuan pelepasan, penyelidikan, ekopelancongan dan pendidikan.

“Untuk tujuan ini , sebanyak 11 buah PKHL telah dibangunkan dan beroperasi bagi melaksanakan program pembiakan spesies hidupan liar,” ujarnya sambil memberitahu isu kepupusan adalah masalah sejagat.

Menerusi program tersebut, Perhilitan melaksanakan program pembiakan ex-situ ke atas spesies-spesies hidupan liar terancam seperti seladang, tapir, rusa sambar, pelanduk, kijang dan burung kuang.

Antara teknologi yang digunakan adalah program permanian beradas (artificial insemination), manakala penghasilan embrio di dalam makmal merupakan cara terakhir untuk mengelakkan kepupusan.

Untuk tujuan yang sama, kata beliau lagi, kerjasama serantau antara kerajaan Malaysia dan Indonesia sangat diperlukan dalam usaha ini termasuk pertukaran pasangan atau individu yang sihat atau pertukaran bahan genetik seperti sperma atau telur untuk tujuan persenyawaan dalam kurungan.