Beliau tidak berfikir panjang untuk kembali kepada bidang tersebut tetapi bertukar `portfolio’ sebagai usahawan tani selepas memikirkan secara mendalam, bahawa minatnya dalam bidang tersebut perlu diteruskan dan dimanfaatkan sebagai pencarian rezeki.

Didorong oleh minat yang kuat dan peluang terhidang depan mata, Mohd. Derus tidak menunggu lama membuat keputusan dan melabur dalam dalam pertanian selepas mengetahui Jabatan Pertanian membuka Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Kota Perdana di Pekan, Pahang.

TKPM Kota Perdana Pekan merupakan antara 17 projek yang ada di negeri itu dan Mohd Derus ditawarkan kawasan seluas lima hektar dengan kelayakan yang dimiliki.

Beliau yang juga anak jati Pekan merupakan bekas penolong pegawai pertanian daerah tersebut dari 1982 hingga 2014 dalam usia 54 tahun.

“Saya memilih untuk bersara awal kerana enggan terlalu lewat menyertai TKPM, ‘‘ ujar beliau ketika ditemui di ladangnya di Pekan, Pahang baru-baru ini.

Beliau berkata, bagi membuka kawasan, beliau telah melaburkan kira-kira RM300,000 setakat ini dengan penanaman serai, cili nangka, betik jagung dan tembikai.

Bagaimanapun, beliau kini menumpukan kepada penanaman serai dan betik yang semakin menampakkan hasil selain nangka.

Malah, dalam tempoh dua tahun sejak menyertai TKPM Kota Perdana, beliau hampir dapat memperoleh pulangan modal yang dilaburkan sebelum ini.

Konsep beliau agak mudah, kaedah integrasi iaitu kawasan seluas lima haktar itu ditanam dengan pokok betik dan di bawahnya ditanam dengan serai.

Ketika ini ladangnya beroperasi dengan nama syarikat MDH Jaya Enterprise. Beliau yang dibantu dua pekerja tetap mampu mengeluarkan sehingga dua tan betik sebulan dan empat hingga lima tan serai dalam tempoh yang sama.

“Saya menyasarkan untuk mengeluarkan 10 tan betik dan 10 tan serai sebulan pada tahun depan dan mungkin dicapai hujung tahun ini,” katanya.

Tanaman serai dijangka mengeluarkan hasil lebih baik dengan menggunakan baka peha ayam dari Indonesia yang mampu mengeluarkan hasil dalam tempoh enam bulan berbanding baka tempatan atau juga dikenali sebagai serai kampung yang memerlukan masa setahun untuk dituai.

Bagaimanapun beliau juga menggunakan baka serai kampung berdasarkan permintaan seorang pelanggannya yang merupakan usahawan nasi kukus. Pelanggan tersebut yang dibekalkan dengan satu setengah tan serai sebulan atau 50,000 batang lebih suka menggunakan baka jenis itu kerana aroma yang menarik.

Mengenai kerja-kerja harian, ia tidak menjadi masalah kerana hasil tanaman dijual ke pasar borong selain di eksport ke Singapura. Beliau juga menjualnya di pasar tani berhampiran pejabat syarikat di Peramu Jaya 3, Pekan.

Berulang alik dari Pekan ke kawasan projek yang diusahakan di Kota Perdana sejauh kira-kira 80 kilometer bukan menjadi satu beban kepada beliau memandangkan, ladang yang diusahakan itu kini semakin berkembang. Sekiranya tanaman nangka mengeluarkan hasil nanti beliau percaya, projek tersebut member i pulangan yang lebih baik pada masa akan datang.

Mengulas mengenai projek TKPM yang diwujudkan Kementerian Pertanian dan industri Asas Tani menerusi Jabatan Pertanian, beliau tidak menafikan ia mampu melahirkan usahawan berjaya jika peserta yang dipilih benar-benar berusaha dan mengurus projek secara serius.

TKPM yang diwujudkan bagi mentransformasikan sektor pertanian dengan melahirkan usahawan baharu merupakan kawasan projek penanaman yang kemudahan infrastukturnya dibiayai kerajaan Persekutuan manakala kerajaan negeri menyediakan tanah.

Usahawan seperti beliau wajar dicontohi kerana sentiasa mengambil serius dan memantau projek tersebut. Apatah lagi, beliau merupakan bekas penolong pegawai pertanian berpengalaman luas, yang boleh dimanfaatkan bagi memastikan projek tersebut berjaya. Beliau juga menyediakan peluang pekerja kepada masyarakat Orang Asli di kawasan sekitar dengan penawarkan kerja-kerja tertentu yang perlu dilakukan secara ad-hoc.

Dalam masa yang sama, Mohd Derus juga menawarkan pelbagai perkhidmatan berasaskan pertanian seperti membekalkan baja cecair, selain buah-buahan hasil ladangnya.

Usahawan TKPM dibantu

Pewujudkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di seluruh negara bertujuan membantu peserta menjadi usahawan pertanian dengan bantuan dan sokongan kerajaan . Mereka dibantu dengan penyediaan tapak atau kawasan penanamn selain kemudahan diinfrastruktur asas.

Ketua Unit TKPM Pahang, Osman Abdul Majid bagaimanapun berkata, pihaknya akan memastikan setiap peserta atau bakal usahawan membuktikan kesungguhan mereka dengan menjalankan projek dan mengurus ladang dengan baik bagi mencapai matlamat penubuhan TKPM.

“Mohd. Derus (Mohd. Derus Abd. Latif) boleh dijadikan contoh kerana kesungguhannya dan pengurusan ladang, (malah) keluaran ladangnya mendapat permintaan tinggi, ‘‘kata beliau.

Di Pahang, terdapat 17 TKPM telah diwujudkan yang dibiaya oleh Kerajaan Persekutuan manakala TKPM Bunian, Maran dibiaya dengan dengan dana kerajaan negeri.

Osman berkata, terdapat 295 peserta TKPM di negeri itu membabitkan kawasan seluas 525 hektar (ha). Beliau berkata, TKPM Bunian merupakan antara yang terbaharu dibangunkan dan disertai 15 orang dengan keluasan kawasan 60 hektar ha. Sebelum ini, kawasan tersebut telah mula dibangunkan dengan seorang pengusaha tetapi atas masalah tertentu, usahawan terbabit tidak dapat meneruskan projeknya.

Justeru, kata Osman kawasan seluas lapan ha yang sebelum ini diusahakan , akan dipecahkan kepada beberapa lot untuk ditawarkan kepada pengusaha lain yang berminat dan layak.

Dalam pada itu beliau berkata, seperti mana-aman projek TKPM di seluruh negara, semua projek tersebut diberi penarafan berdasarkan kepada bintang yang diberi. Antara perkara yang dinilai termasuklah antaranya aspek penananam, pengeluaran, pengurusan

  •  TKPM merupakan antara projek Jabatan Pertanian yang dipantau secara langsung oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani
  •  Ini bermakna projek TKPM menjadi salah satu projek yang berdaya saing untuk membantu meningkatkan pengeluaran tanaman makanan dan ekonomi negara.
  •  Justeru adalah amat penting untuk memantapkan sistem pengurusan TKPM keseluruhannya.
  •  Secara umumnya, pengurusan TKPM adalah memuaskan namun didapati masih lemah dalam beberapa aspek seperti dokumentasi, pengemaskinian rekod dan usaha ke arah pensijilan MyGAP.