Pengetahuan tentang ekologi sangat penting dalam membantu menguruskan alam sekitar dan sumber semula jadi yang disebutkan. Malaysia sepatutnya mempunyai ramai pakar dalam bidang ekologi atau kepelbagaian biologi.

Sejak tiga tahun lepas, Persatuan Ekologi Malaysia (PEM) dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Seminar Ekologi Malaysia (SEM) yang bertujuan mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang berkenaan.

Dalam ketiga-tiga siri berkenaan, lebih 100 kertas kerja telah di bentangkan pada setiap kali seminar dan hampir 200 perserta menyertainya.

Semua aspek berkaitan ekologi haiwan, tumbuhan, terestrial dan akuatik dibincangkan. Perkara yang penting dalam SEM ialah pesertanya terdiri daripada pelajar ijazah lanjutan peringkat sarjana muda dan doktor falsafah serta pembentangan ucap utama oleh ahli sains terkemuka dalam kalangan Felo Akademi Sains Malaysia (ASM). Menerusi SEM, berlaku cetusan minat dalam kalangan generasi muda dalam bidang ekologi dan mendapat bimbingan serta motivasi daripada Felo Akademi Sains Malaysia (FASc.).

Felo ASM adalah satu pengiktirafan kepada ahli sains yang menyumbang kepakaran mereka yang luar biasa, menunjukkan komitmen dan kesungguhan yang tinggi serta kreativiti mereka dalam salah satu daripada enam bidang.

Kurang daripada 20 orang (enam peratus) yang mungkin terlibat secara langsung dalam bidang ekologi. Felo kanan yang dilantik adalah berhak dipanggil sebagai ‘ahli akademik’ manakala felo berhak untuk menggunakan gelaran FASc. ASM ditubuhkan oleh Akta Parlimen 1995 (ASM Act 1994).

Felo baharu dicalonkan oleh felo sedia ada menerusi proses yang ketat dan dipilih dalam Mesyuarat Agung Tahunan ASM. Peranan felo ASM adalah sebagai pasukan pemikir negara berkaitan sains, kejuruteraan, teknologi dan inovasi dan meningkatkan kecemerlangan untuk manfaat semua rakyat Malaysia.

Aktiviti SEM yang menggabungkan felo ASM dengan saintis muda adalah suatu yang sangat baik bagi memberi peluang generasi muda mendapat semangat daripada felo ASM sekali gus menggalakkan pembangunan bidang ekologi. Aktiviti sebegini selaras dengan Wawasan 2020 iaitu kemajuan sains dan teknologi adalah cabaran keenam daripada sembilan cabaran yang disenaraikan.

Malaysia berhasrat menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020 dengan kemajuan penuh dalam semua aspek kehidupan termasuk dari segi ekonomi, politik, sosial, kerohanian, psikologi, alam sekitar dan kebudayaan.

Selaras dengan strategi mengutamakan pembangunan S&T, kerajaan pada bulan April 1986 mengumumkan Dasar Sains dan Teknologi Negara yang bertujuan menggalakkan penggunaan (S&T) sebagai satu alat untuk pembangunan ekonomi, membaiki kedudukan fizikal dan kesejahteraan rakyat serta untuk melindungi kedaulatan negara. Dasar tersebut memberi fokus kepada usaha meningkatkan keupayaan berdikari dalam bidang saintifik dan teknologi. Ini membantu aktiviti ekonomi dengan cara mewujudkan suasana yang baik untuk menggalakkan penciptaan saintifik dan memperbaiki infrastruktur dalam bidang saintifik, pelajaran dan lain-lain bidang yang berkaitan.

Menerusi Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (NBDP) 1998 dan disemak semula pada 2016 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan 17 sasaran yang perlu dilaksanakan. Dasar tersebut sebelumnya juga bertujuan melindungi dan memulihkan ekosistem dan habitat, terutama bukit batu kapur, tanah lembap, terumbu karang dan rumpai laut.

Ia juga menyasarkan untuk mengurangkan perburuan, perdagangan hidupan liar, ikan dan tumbuhan secara haram untuk meningkatkan sumbangan masyarakat Orang Asli dan masyarakat setempat, masyarakat madani dan sektor swasta dalam pemuliharaan dan penggunaan kepelbagaian biologi secara mampan. Ia juga bertujuan untuk meningkatkan dana dan sumber yang digembleng bagi pemuliharaan biodiversiti daripada sumber kerajaan dan bukan kerajaan.

Menurut kenyataan itu, NBPD 2016-2025 menggariskan lima prinsip utama dalam pengurusan kepelbagaian biologi negara termasuk warisan, berkongsi tanggungjawab, penyertaan dan tadbir urus yang baik.

Dalam SEM baru-baru ini fokus utama adalah tentang hutan simpan yang dilindungi.

Bagi memenuhi hasrat kerajaan bertujuan memenuhi keperluan pengurusan kepelbagaian biologi dan memenuhi tanggungjawab Malaysia di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Kepelbagaian Biologi (CBD). Dasar tersebut menekankan kepentingan kelangsungan pemuliharaan, penggunaan sumber yang konsisten serta perkongsian faedah kepelbagaian biologi sudah pasti memerlukan tenaga pakar yang mencukupi bagi menasihat dan melaksanakan program kerajaan demi meneruskan kelangsungan pemuliharaan, penggunaan berterusan dan perkongsian faedah secara saksama.

Dalam SEM 2017 menegaskan yang konflik kawasan hutan simpan yang dilindungi boleh diatasi sekiranya diuruskan dengan betul.

Untuk ini pegawai kerajaan dan pakar mestilah berpengetahuan luas dalam pengurusan hutan dan ilmu tentang kandungan hutan flora, fauna dan habitat mereka.

Penyelidikan diperlukan bagi mememenuhi keperluan tersebut.