Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

IKM perhebat budaya inovasi

Pertandingan kreativiti dan inovasi cungkil bakat reka cipta pelajar

Hasil cili kering yang diasingkan bijinya melalui mesin pengasing 4
Hasil cili kering yang diasingkan bijinya melalui mesin pengasing biji cili kering pada Pertandingan Kreativiti dan Inovasi 2015 peringkat Institut Kemahiran Mara Kampung Pandan baru-baru ini.

Tidak ada yang lebih mengujakan apabila hasil ciptaan kita bukan saja memuaskan hati tetapi dapat dimanfaatkan. Dengan kos minimum, dan masa menghasilkan agak pantas, sebarang inovasi mestilah praktikal penggunaannya. Sebab itulah program penggalakkan dan budaya inovasi perlu diperhebatkan supaya hasilnya dapat membantu golongan sasar.

Atas faktor yang sama, ada sebab mengapa Institut Kemahiran Mara (IKM) Kuala Lumpur menganjurkan Pertandingan Kreativiti dan Inovasi 2015 IKM baru-baru ini di ibu negara demi memupuk daya kreatif dan inovasi dalam kalangan pelajar.

Antara inovasi yang paling menarik perhatian adalah hasil reka cipta daripada tiga pelajar yang mengenengahkan idea bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi ketika menggunakan lada kering iaitu mesin pengasing biji lada kering.

Muhammad Aiman Yusuff Mohd. Fadzly, 19, Muhammad Amir Atiq Tajudin, 19, Muhammad Luqman Yusni, 19, mendapat idea daripada pensyarah mereka, Noranisah Bujal, 38, untuk berinovasi dengan idea tersebut.

Mesin pengasing biji cili kering itu merupakan prototaip hasil pemerhatian pelajar sendiri bagi menyelesaikan masalah biji cili kering yang tidak hancur walaupun dikisar menggunakan mesin pengisar.

Atas kesedaran juga, masyarakat sedia maklum akan kesan memakan biji cili yang boleh menyebabkan penyakit seperti apendiks dan buasir.

Menurut Muhammad Aiman Yusuff, mereka mengambil masa selama tujuh bulan untuk menyiapkan mesin tersebut bermula dengan proses mereka bentuk sehingga proses pembuatan.

“Sepanjang proses menghasilkan mesin ini, kami telah melakukan percubaan sebanyak hampir sepuluh kali sebelum betul-betul berjaya kerana untuk menghasilkan rangka mesin ini adalah satu proses yang agak rumit.

“Memang tidak dinafikan perkara ini sangat menguji kami terutama dari aspek daya pemikiran, kerjasama berkumpulan dan proses penyelesaian masalah,” katanya.

Tambahnya, setiap perkara yang dipelajari di dalam kelas bersama-sama kemahiran praktikal telah banyak membantu mereka untuk menghasilkan mesin pengasing biji cili kering berkenaan.

Selain itu, sokongan daripada pensyarah, keluarga dan rakan-rakan juga merupakan antara faktor yang menjadikan mereka lebih bersemangat dan tidak mudah putus asa untuk menghasilkan inovasi berkenaan.

Dengan adanya mesin berkenaan, ia akan memudahkan kerja pengasingan biji cili kering, dapat menjimatkan masa penyediaan cili giling atau cili boh dan dalam masa yang sama dapat memastikan kesihatan terjamin.

Jelasnya, sistem operasi mesin tersebut adalah menerusi proses pemotongan cili kering menggunakan bilah pisau yang terdapat dalam corong.

Cili kering yang telah dipotong akan melalui proses pengasingan menggunakan pemutar seperti kincir air yang terdapat dalam mesin berkenaan.

“Mesin ini beroperasi secara automatik dan ini merupakan satu perkara yang sangat membanggakan kerana ia adalah satu kejayaan buat kumpulan kami.

“Namun begitu, jika mesin ini mahu dikomersialkan, beberapa penambahbaikan perlu dilakukan mengikut kesesuaian industri,” ujarnya.

Justeru, menurut pelajar yang berasal dari Shah Alam itu, setiap maklum balas dan input berguna yang diterima sepanjang pertandingan tersebut akan digunakan untuk penambahbaikan mesin pengasing biji cili kering yang dihasilkan bersama kumpulannya.

Dalam pada itu, sebagai sebuah institut kemahiran, sudah pasti pelajar-pelajarnya dilengkapi dengan ilmu kemahiran yang sangat tinggi dan untuk melengkapkan lagi ilmu tersebut, pelajar juga didedahkan dengan ilmu keusahawanan dan ‘soft skill’ atau dipanggil kemahiran insaniah.

Sebagaimana tiga pelajar yang mengambil kursus Mekanikal Servis dalam program sijil Teknologi Kejuruteraan Penyaman Udara dan Penyejukan, mereka juga menyediakan perkhidmatan memasang dan membaiki penyaman udara.

Pelajar tersebut, Adib Danial Mohd. Usaini, 20, Muhammad Fauzan Abdul Rani, 19, dan Muhammad Syahzuan Mohd. Sani, 19, menjelaskan aktiviti perkhidmatan itu dilakukan pada setiap hujung minggu di bawah pemantauan IKM KL.

Apa yang menarik, melalui usaha yang dilakukan IKM KL ini, secara tidak langsung pelajar juga dapat mencari sumber pendapatan tambahan selain berpeluang mengusahakan syarikat sendiri.

Menurut Muhammad Fauzan, melalui aktiviti itu, mereka dapat mencabar diri sendiri supaya lebih ke hadapan dan memantapkan kemahiran yang dipelajari dan sedia ada.

“Kami dapat merasai pengalaman menguruskan syarikat sendiri dan ini adalah satu perkara yang sangat membanggakan buat pelajar yang masih muda seperti kami.

“Selain itu, kami juga harus belajar membahagikan masa untuk belajar dan bekerja dan ini adalah satu cabaran yang agak rumit buat kami,” katanya.

Tidak dinafikan, budaya keusahawanan yang turut diterapkan dalam pembelajaran dapat membantu pelajar untuk membangunkan kemahiran insaniah sebagaimanan yang disarankan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Melalui aktiviti sebegini, apa yang diterapkan kepada pelajar bakal melahirkan pelajar yang cemerlang tidak kira dari segi akademik mahupun personaliti.

Seiring dengan matlamat untuk membentuk minat dan kebolehupayaan inovasi serta kreativiti, pertandingan itu turut menjadi platform kepada pelajar untuk menyumbang idea dan pengetahuan mereka dalam bidang tersebut selain dapat menguji kemampuan mencipta dan menghasilkan sesuatu yang baharu.

Selain itu, ia juga dapat menjadi satu pendekatan bagi negara untuk melahirkan pelajar yang dapat bersaing di peringkat antarabangsa seterusnya memacu aspirasi untuk menjadi negara maju dan berdaya saing.

Timbalan Pengarah Akademik IKM KL, Rosnani Mohd. Rosdi berkata, pertandingan yang julung kali diadakan dengan tema Knowledge Wealth Creation itu adalah bertujuan mencungkil bakat mereka cipta dalam kalangan pelajar.

“Program ini adalah mekanisme untuk menggalakkan setiap warga dan pelajar IKM KL memberi dan berkongsi idea kreatif selain bernas dalam memudah cara tugas seharian supaya lebih efisien dan efektif.

“Inovasi tidak semestinya mencipta sesuatu yang baharu, sebaliknya ia mungkin menghapuskan perkara lama yang sepatutnya luput, tetapi masih juga dilakukan.

“Matlamat utama pertandingan ini adalah untuk memberi pendedahan terlebih dahulu kepada pelajar yang merangkumi semua kemahiran reka cipta termasuk pemasaran, keusahawanan dan sebagainya selain dapat membantu meningkatkan keyakinan diri mereka,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Rosnani, IKM memberi sokongan melalui modal minumum kepada pelajar yang menyertai pertandingan ini iaitu sebanyak RM100 hingga RM200 untuk setiap projek yang hendak dihasilkan.

Kemudian, juara pertandingan akan dipilih melalui inovasi terbaik dan akan mengkomersialkan inovasi tersebut.

Seterusnya Mara akan menentukan inovasi terpilih untuk dipatenkan dan dibawa ke pertandingan lain yang lebih tinggi.

Dalam pertandingan tersebut, peserta bebas untuk menyertai mana-mana kategori antaranya, aviasi, agrikultur, automotif, reka bentuk industri, mesin dan kelengkapan, produk pejabat, sukan dan permainan, bahan pendidikan dan alam sekitar.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain