Penganjurannya pada kali ini melibatkan lima sektor inovasi iaitu teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga, teknologi sisa dan pengurusan serta pengilangan hijau.

IGEM yang dianjurkan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar (MESTECC) dan menarik pengunjung tempatan serta antarabangsa.

Metropolitan Tokyo, Institut Teknologi dan Industri Alam Sekitar Korea (KEITI), serta Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah-Malaysia (EUMCCI) antara yang menyertai persidangan kali ini dan membuka gerai pameran bagi kategori astaka semasa sepanjang IGEM berlangsung.

IGEM kali ini juga berjaya menarik penyertaan syarikat utama pengeluar produk fotovoltaik atau solar seperti Jinko Solar, Ditrolic, Hanwa Q Cells, Path Green, Plus Solar, First Solar, Gading Kencana bersama peserta-peserta baharu seperti Cenviro dan Cenergi.

Menterinya, Yeo Bee Yin berkata, IGEM merupakan sebuah acara yang berjaya kerana pertumbuhan pesat industri hijau di rantau ini.

Malah transaksi perniagaan ketika IGEM berlangsung dapat menjana dan melonjakkan industri tersebut secara lebih meluas.

“IGEM diiktiraf sebagai acara perdagangan bertaraf dunia bagi penyelesaian teknologi hijau dan eko yang terbesar di Asia Tenggara. Ini kerana peranannya sebagai platform penyedia peluang dan perniagaan dalam semua sektor industri hijau.

“Setakat ini, IGEM menyediakan peluang yang berpotensi tinggi kepada pasaran ASEAN yang terus berkembang pesat dengan mempamerkan inovasi baharu bawah jenama IGEM kepada penggubal dasar, pelabur organisasi kerajaan dan pasaran massa,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pada majlis perasmiannya semalam Bee Yin berkata, sejak beberapa tahun pengajurannya, IGEM memainkan peranan penting dalam pertumbuhan agenda hijau negara.

"IGEM juga menyediakan platform untuk menonjolkan kemajuan teknologi hijau, pelaburan perniagaan dalam bidang berkenaan," ujarnya.

Yang turut hadir pada majlis perasmian tersebut adalah timbalannya, Isnaraissah Munirah Majilis dan Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

Dalam dan pada itu, penganjuran pameran IGEM sebelum ini berjaya menjana transaksi perniagaan sehingga lebih RM9 bilion dan mampu menarik lebih 34,000 pengunjung dari 38 buah negara termasuk perwakilan, orang kenamaan dan syarikat dari China, Jepun, Korea Selatan, Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan negara anggota ASEAN.

“Tahun ini, IGEM 2018 akan terus menampilkan program-program pemadanan perniagaan yang mendorong pempamer dan pengunjung untuk melihat sendiri dan mengembangkan pengetahuan pada hari penganjuran itu nanti.

“Antara topik yang akan dibincangkan dalam Kongres IGEM termasuk sesi dewan bandar, pengurusan sisa, kewangan hijau dan banyak lagi,” Bee Yin.

IGEM 2018 yang membawa tema Ekonomi Hijau dan Industri 4.0: Ke Arah Mencapai Pembangunan Mampan berdasarkan perkembangan industri hijau sedunia dan juga Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY).

MCY merupakan satu usaha kerajaan untuk mengkomersialkan pengeluaran hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menggerakkan agenda Sains, Teknologi dan Inovasi negara (STI).

“Sempena MCY juga, IGEM 2018 akan terus mengiktiraf produk dan teknologi R&D tempatan yang dikomersialkan.

Pengunjung IGEM 2018 juga dapat menyaksikan Anugerah MCY 2018, Stargazer Mentoring, Angels on the Plane, Young and Futurist dan pameran yang selaras dengan tema IGEM 2018,” jelasnya.

Pada majlis perasmiannya kerajaan mengumumkan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Sisa Plastik sebagai satu pendekatan mengurangkan pencemaran bahan berkenaan.

Buat kali pertama juga, IGEM menjadi tuan rumah Kongres Sedunia Mengenai Perkongsian Bandar Raya - Datuk Bandar yang dianjurkan oleh DBKL.

Empat datuk bandar dan delegasi daripada 11 ahli akan meneroka peluang kerjasama berkenaan pembangunan teknologi alam sekitar bagi mewujudkan bandar raya hijau.

Platform dengar kehendak rakyat

Dalam pada itu, Yeo Bee Yin berharap penganjuran IGEM 2018 dapat memberi manfaat kepada pembangunan teknologi khususnya berkaitan teknologi hijau negara.

“Kerajaan sentiasa menyokong penganjuran IGEM yang dilihat memberi faedah dan manfaat kepada negara. Pada empat hari penganjuran IGEM, kami akan hadir dan mendengar kehendak rakyat Malaysia.

“Kita juga berharap Malaysia menjadi negara pertama dalam membangunkan pelbagai produk berkaitan industri teknologi hijau dan produk eko,” katanya.

Malah, Bee Yin turut berpandangan positif bahawa IGEM dilihat sebagai platform terbaik bagi mengubah landskap Malaysia dalam bidang sains dan teknologi agar negara tidak lagi menjadi mengikut, sebaliknya meneraju industri tersebut pada mata dunia.

“IGEM merupakan platform terbaik untuk menguar-uarkan arah baharu Malaysia dalam landskap sains dan teknologi. Saya percaya sepanjang empat hari penganjuran itu, Malaysia akan lebih berfikir secara global untuk memajukan negara.

“Akan ada pelan tindakan yang akan dilakukan oleh pihak kementerian selepas sesi town hall (baru-baru ini). Kemudian kita akan membuat perubahan terbaik agar Malaysia membangun selari dengan negara-negara maju lain.

“Dalam masa sama, saya juga berharap IGEM membuka peluang besar kepada pempamer untuk memperluas produk mereka ke pasaran ASEAN,”jelasnya.

IGEM merupakan peluang terbaik kepada usahawan teknologi hijau dan ahli perniagaan untuk mempromosikan produk sepanjang persidangan dan pameran berlangsung.

Adalah dijangkakan seramai 40 pembentang terlibat pada IGEM 2018.

Unutk maklumat lanjut, boleh layari laman sesawang www.igem.my.