Di manakah kita memperoleh sumber perikanan ini secara berterusan?

Sumber ikan untuk makanan kita diperoleh daripada dua punca iaitu perikanan laut dan akuakultur.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebelum ini menyasarkan pengeluaran perikanan meningkat kepada 3.02 juta tan metrik menjelang 2020 iaitu 1.57 juta tan metrik ikan laut dan 1.44 juta tan metrik daripada akuakultur.

Jabatan Perikanan pula turut memfokus kepada pembangunan akuakultur menerusi projek utama bawah Bidang Keberhasilan Ekonomi Utama Negara (NKEA) sektor pertanian sehingga 2020.

Sasaran pengeluaran akuakultur bawah Dasar Agromakanan Negara (DAN) adalah sebanyak 1.443 juta tan metrik bernilai RM2.07 bilion iaitu 50 peratus daripada jumlah keseluruhan pengeluaran ikan 3.02 juta tan yang bernilai RM13.02 bilion.

Justeru sektor perikanan ini mampu menjana keuntungan dan bernilai tinggi dari segi ekonomi dan pasarannya pula besar.

Sejajar dengan matlamat tersebut, industri akuakultur antara yang kini diberi perhatian besar sebagai antara penyumbang utama dalam bidang pertanian dan makanan negara. Mudahnya, senario perikanan negara menjanjikan sesuatu yang mengujakan dalam konteks ekonomi dan penjanaan pendapatan.

Berdasarkan laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian(FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pada 2016, sektor akuakultur membekalkan kira-kira 10.42 kg ikan sebagai sumber makanan kepada manusia.

Namun, industri ini sebenarnya berdepan dengan isu alam sekitar seperti penebangan hutan bakau dan pembuangan sisa daripada kolam ternakan.

Bagi menepis tanggapan bahawa sektor berkenaan tidak boleh beroperasi secara lestari, seorang penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr. Nor Azman Kasan berjaya menghasilkan teknologi yang mampu mengatasi isu alam sekitar terutama berkaitan pencemaran.

Hasil penyelidikan tersebut dikenali sebagai Rapid Biofloc iaitu teknologi hijau bagi pengurusan kualiti air serta kesihatan udang ternakan.

Penyelidikan tersebut dilaksanakan oleh sekumpulan penyelidik dari Institut Akuakultur Tropika (Akuatrop) UMT, Kuala Terengganu.

Kumpulan tersebut diketuai Dr. Nor Azman Kasan dan dianggotai Prof. Dr. Najiah Musa, Prof. Dr. Mhd. Ikhwanuddin Abdullah, Dr. Sharifah Noor Emilia Syed Jamil Fadaak, Arif Azizi Che Harun, Nor Aini Huda Mohammad, Amyra Suryatie Kamaruzan dan Ahmad Najmi Ishak.

Dr. Nor Azman berkata, biofloc merupakan sejenis agregat yang mengandungi mikroorganisma dan partikel-partikel bahan organik yang membantu untuk mengekalkan kualiti air serta menyediakan protein mikrob tambahan dalam industri ternakan udang.

Inovasi Rapid Biofloc merupakan satu kejayaan bagi mengurangkan masalah kerosakan alam sekitar dan memaksimumkan pengeluaran udang putih (Penaeus vannamei).