Antaranya adalah Hari Hidupan Liar Sedunia yang disambut pada 3 Mac, Hari Hutan Antarabangsa pada 21 Mac dan Hari Air Antarabangsa pada 22 Mac.

Ketiga-tiga hari ini sangat penting untuk kesejahteraan manusia dan pengekalan kepelbagaian biologi negara.

Di Malaysia, pada umumnya masyarakat sudah mengetahui tentang komitmen kerajaan dalam memastikan kelestarian ekosistem yang menyumbang kepada hutan sebagai habitat hidupan liar, kepelbagaian biologi, sumber air bersih dan kawalan suhu. Selalunya sambutan hari-hari berkaitan dijalankan berasingan dan mempunyai sasaran dan tema yang berbeza.

Mungkin pada tahun hadapan pihak berkaitan dapat melaksanakan sambutan secara bersepadu, paling kurang berkaitan hutan, hidupan liar, kepelbagaian biologi dan air.

Sambutan boleh dilaksanakan pada peringkat sekolah dan universiti di seluruh negara sambil mengaitkan dengan kurikulum sekolah secara bersepadu merentas kurikulum dan menerangkan secara jelas tentang kepentingan hutan dalam memberikan perkhidmatan untuk kesejahteraan manusia.

Dengan pengetahuan yang mendalam dan besepadu maka generasi akan datang akan mempunyai kesedaran yang tinggi untuk diamalkan dalam pemuliharaan habitat, melindungi hutan simpan bagi kesejahteraan manusia dan kehidupan lainnya. Pelajar adalah generasi masa hadapan yang akan mewarisi kepelbagaian biologi negara.

Oleh kerana Malaysia sebuah negara yang ke-12 teratas di dunia dalam aspek kepelbagaian biologi, maka sepatutnyalah generasi masa hadapan mempunyai pengetahuan dan kesedaran yang tinggi.

Komitmen kerajaan dalam menyediakan sistem pendidikan berkaitan pemuliharaan kepelbagaian biologi, menyediakan polisi dan penguatkuasaan undang-undang mestilah diambil peluang oleh semua masyarakat untuk menyokongnya.

Pada 20 Disember 2013, pada sesi Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Ke-68 telah mengisytiharkan 3 Mac sebagai Hari Hidupan Liar Sedunia bagi menyambut dan meningkatkan kesedaran tentang haiwan dan tumbuhan liar.

Sekarang ini Hari Hidupan Liar Sedunia telah menjadi satu hari sambutan yang penting dengan pelbagai tema. Tahun ini memfokuskan kepada “Big Cats: Predators under threat”.

Di Malaysia, masalah harimau dan spesies kucing lain dari keluarga Felidae sudah banyak dibincangkan pada pelbagai peringkat.

Harimau lebih menarik perhatian masyarakat umum kerana ia lebih banyak menimbulkan konflik dengan manusia.

Harimau Malaya (Panthera tigris malayensis atau Panthera tigris jacksoni) atau dikenali sebagai harimau belang merupakan subspesis harimau yang hanya wujud di Semenanjung Malaysia.

Harimau ini sangat terancam dan sekiranya tidak dijaga akan pupus suatu hari nanti. Komitmen kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sangat tinggi dalam usaha pemuliharaan harimau belang ini.

Kawasan hutan seperti Taman Negara, Taman-taman negeri Endau-Rompin dan Belum Temenggor menjadi hutan-hutan utama untuk pemuliharaan harimau. Pada tahun 2015, haiwan ini telah disenaraikan antara haiwan yang terancam.

Dengan jumlah sebanyak 3,000 pada tahun 1950, kini harimau belang hanya tinggal lebih kurang 300 sahaja. Bilangan ini masih memerlukan pengesahan secara saintifik. Pemburuan haram dan penyeludupan adalah antara ancaman populasi harimau belang.

Antara tahun 2000-2012, media melaporkan sebanyak 100 harimau yang masih hidup dan anggota haiwan itu telah dirampas pihak berkuasa.

Pemburuan haram yang serius ini perlu diberikan perhatian khas o9leh pihak bertanggung jawab.

Kestabilan hutan sebagai habitat mereka dari segi mangsa dan kawasan keliaran sangat penting bagi kelestarian harimau ini.

Selain daripada harimau belang, harimau bintang (Panthera pardus), kucing batu (Prionailurus bengalensis) dan harimau dahan atau akar (Neofelis nebulosa) juga dalam keadaan yang terancam.

Mengikut IUCN (International Union for Conservation of Nature), harimau dahan yang tersebar di Asia Tenggara terancam dengan populasinya kurang daripada 10,000 ekor. Populasi mereka terus menurun sejak 2008. Pada 2014, Data Bank Dunia menunjukkan 70 daripada 336 spesis mamalia terancam di Malaysia diambang kepupusan.

Malaysia juga menduduki tempat kedua selepas Indonesia apabila mempunyai 184 spesies mamalia terancam.

Kebanyakan spesies mamalia dipercayai semakin pupus di seluruh dunia disebabkan aktiviti manusia yang tidak bermoral seperti pembalakan, pembangunan melampau, penyeludupan haiwan liar dan pemburuan haram.

Maka sambutan Hari Hidupan liar sedunia tahun ini yang bertemakan “Big Cats: Predators under Threat” patut mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia.

Memperkasa kepelbagaian hutan

Seperti yang di promosikan oleh kerajaan “Hutan Untuk Kesejahteraan Masyarakat” peranan hutan perlu diperkembang ke seluruh negara termasuk habitat hidupan liar dan sumber air bersih.

Kawasan tadahan hujan yang diklasifikasikan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) perlu dilaksanakan seperti dijanjikan selaras dengan Dasar Fizikal Negara (DFN).

Malaysia sudah mempunyai garis panduan yang lengkap tentang KSAS dan DFN.

Kerjasama semua pihak dalam jabatan kerajaan pada peringkat negeri dan Persekutuan diperlukan dalam merancang sesuatu perancangan pembangunan selari dengan komitmen kerajaan ke arah memastikan khazanah hutan di Malaysia diuruskan secara mampan.

Ini bagi menjamin kepentingan negara dan masyarakat dapat dipelihara memandangkan khazanah hutan adalah bawah bidang kuasa kerajaan negeri seperti dinyatakan bawah Akta Perhutanan Negara 1984. Tindakan positif kerajaan negeri penting bagi memastikan khazanah hutan negara terus terjamin untuk generasi akan datang.

Kebergantungan kepada sumber balak perlu dikurangkan dan seterusnya memperkasa kepelbagaian guna hutan dan sumbangan perkhidmatan hutan seperti ekopelancongan berasaskan hutan, pemerkasaaan industri herba dan farmaseutikal serta memantapkan kaedah sistem bayaran perkhidmatan ekosistem hutan (Payment for Ecosystem Services atau PES).

Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2018 ini dapat mengingatkan rakyat Malaysia agar berusaha mengekalkan bumi Malaysia terus subur dengan kehijauan kawasan berhutan yang kaya dengan kepelbagaian flora dan fauna demi kesejahteraan hidup generasi kini dan akan datang.

Gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Hulu Selangor yang melibatkan lebih dua juta penduduk telah menjadi heboh.

Gangguan bekalan air yang melibatkan kerja-kerja teknikal telah memberikan tekanan politik dan emosi rakyat.

Bayangkan kalau gangguan itu disebabkan kekurangan sumber bekalan air. Mungkin akan menimbulkan masalah dan tekanan yang lebih hebat lagi.

Dengan itu, hari-hari sambutan berkaitan hidupan liar, air dan hutan sedunia ini memberikan kita pengetahuan, kesedaran dan peringatan akan pentingnya pelindungan dan pemuliharaan hutan yang boleh memberikan kebaikan kepada manusia dari segi sosioekonomi, moral dan kejahteraan rakyat amnya.

Pertahan kawasan hijau bandar raya

Hari Hutan Antarabangsa yang disambut pada 21 Mac setiap tahun menyokong kepada perlindungan habitat hidupan liar dan kawasan tadahan air.

Sambutan Hari Hutan Antarabangsa ini telah dipersetujui Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO UN) pada 21 Mac 1972 dalam usaha untuk menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan hutan, pemeliharaan dan pemuliharaannya untuk kesejahteraan masyarakat dan kestabilan alam sekitar.

Tema sambutan Hari Hutan Sedunia tahun ini ialah “Forests and Sustainable Cities”. Ia adalah bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan hutan di kawasan bandar dari segi sosial, ekonomi, alam sekitar dan kesihatan.

Dijangkakan di seluruh dunia pada tahun 2050 lebih enam bilion manusia atau 70 peratus akan tinggal di kawasan bandar. Keperluan ruang, tempat bekerja dan pembangunan industri serta pusat komersial akan memberikan tekanan kepada sosioekonomi dan kesihatan manusia.

Bagi mengurangkan isu-isu berkaitan tekanan masyarakat bandar, kawasan yang hijau perlu disediakan bagi menapis pencemaran debu, bunyi dan bahan kimia lain serta bahang panas di bandar, di samping menangani isu perubahan iklim.

Menghutankan bandar mungkin boleh dapat membantu menjimatkan tenaga yang digunakan untuk penyejukan sehingga sebanyak antara 20 hingga 50 peratus, di samping habitat kepada hidupan liar yang sesuai. Ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari iaitu Bandar dan Komuniti Lestari dan Tindakan Iklim bagi menangani perubahan iklim dan kesannya. Justeru itu usaha penanaman pokok-pokok di kawasan bandar dipertingkat, di samping memberikan tumpuan kepada perlindungan kawasan hijau yang sedia ada.

Misalnya di bandar raya Kuala lumpur, kawasan Tasik Perdana, Bukit Tugu yang dicadangkan untuk meningkatkan kehijauan serta kawasan Bukit Persekutuan yang sedia hijau dikekalkan.

Pihak swasta dan NGO khasnya Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) patut bersama-sama mempertahan kawasan Bukit Persekutuan sebagai kawasan hijau bandar raya Kuala Lumpur.