Faktor lain seperti perubahan ekosistem yang mengganggu tempat bertelur, pencemaran bahan kimia seperti logam berat, racun perosak dan bahan kimia lain yang mengganggu sistem endokrina haiwan juga boleh mengancam populasi tuntung.

Memandangkan kehidupannya di kawasan sungai air tawar dan muara sungai, maka kehidupan mereka lebih dekat dengan manusia dan terdedah kepada kesan aktiviti manusia.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pecinta Alam Malaysia (MNS), Dana Sedunia Alam Semula Jadi (WWF) dan Persatuan Konservasi Penyu (TCS) memberi perhatian serius tentang ancaman ini yang boleh menyebabkan tuntung pupus. Semua pihak mestilah memberikan respons positif kepada perhatian pihak NGO berkaitan. Mengikut Kesatuan Antarabangsa Bagi Konservasi Alam Semula Jadi (IUCN) haiwan ini kini berada dalam senarai merah IUCN sebagai amat terancam.

Tuntung yang disenaraikan sebagai spesies yang dilindungi sepenuhnya oleh Akta Perlindungan Hidupan Liar 2010. Ini bermakna tuntung tidak boleh ditangkap, dimakan, dijual beli telurnya, sarangnya tidak boleh dirosakkan dan habitatnya tidak boleh diganggu sekiranya kita inginkan tuntung ini meneruskan kehidupan mereka dalam alam semula jadi. Telur tuntung masih lagi dikutip oleh penduduk untuk dimakan atau dijual.

Oleh kerana ada permintaan dan bekalan terhad tambahan lagi dikawal undang-undang, maka harga telur tuntung kini meningkat sekitar RM5 hingga RM6 sebiji dan lebih mahal berbanding harga telur penyu.

Sekiranya aktiviti ini tidak dibendung, dengan kadar tuntung bertelur setahun tidak melebihi 40 biji, masa hadapan tuntung amatlah terancam.

Sejarahnya tuntung hidup di hampir semua sungai utama yang mengalir ke Laut China Selatan. Sekarang populasi tuntung terus menurun. Mengikut laporan IUCN, di Kemboja dalam tempoh antara 2002 hingga 2009 hanya 23 sarang ditemukan. Di Thailand pula, antara tahun 1989 hingga 1990, tuntung ada dilaporkan di Phattalung, Songkhla dan Ranong dan pada tahun 2000 tuntung diisytiharkan pupus di habitat liar walaupun ada laporan tuntung ada dijumpai di Sungai Klong Langu pada tahun 2007.

Di Malaysia pula, tuntung sangat biasa ditemukan di sungai utama di Semenanjung Tanah Melayu pada tahun 1912. Namun selepas Perang Dunia Kedua, spesies ini mengalami penurunan populasi yang teruk sehingga sekarang sangat terancam.

Kawasan seperti Sungai Kemaman, Sungai Perak dan beberapa sungai lain yang diiktiraf sebagai habitat tuntung perlu diberi perhatian untuk pemuliharaan. Tuntung sungai merupakan spesies yang asli dan endemik kepada beberapa sistem sungai sahaja di Semenanjung Tanah Melayu.

Aktiviti pengumpulan telur, penetasan dan pelepasan untuk tujuan pemuliharaan perlu diteliti dengan membanyakkan kajian dari segi biologi, ekologi dan genetik, penggunaan tanah, kesedaran masyarakat setempat, kerjasama antara jabatan kerajaan dan sokongan orang ramai terutama penduduk setempat.

Misalnya, kerjasama program pemuliharaan tuntung oleh TCS, Jabatan Perhilitan, komuniti setempat dan universiti tempatan di Kampung Pasir Gajah, Kemaman boleh dijadikan contoh dan merupakan satu langkah yang baik. Namun pemantauan secara teknikal perlu diteruskan sepanjang masa untuk melihat kemandirian mereka di habitat semula jadi. Bagi menjayakannya, maka penduduk tempatan perlu terlibat dan diberi pengetahuan dan kesedaran tentang biologi, ekologi dan kepentingan pemuliharaan spesies tersebut.

Kerjasama dan projek jangka panjang menunjukkan peningkatan pengumpulan telur dari 348 kepada 760 biji adalah satu penambahbaikan yang sedang berlaku. Usaha sejak 2011 itu menyelamatkan sebanyak 4,523 telur tuntung dan 2,701 dilepaskan di Sungai Kemaman.

Sebagai langkah pemuliharaan tuntung yang lebih agresif pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) membangunkan satu pusat pembiakan tuntung di Kampung Bota Kanan, Perak. Kawasan di tebing Sungai Perak seluas satu hektar telah diperuntuk bagi program pemuliharaan tuntung. Di pusat tersebut, telur tuntung dikutip, dieram, dijaga selepas menetas dan setelah sesuai dilepaskan ke Sungai Perak.

Program pembiakan dan pemeliharaan tuntung dalam kurungan telah dimulakan oleh Jabatan Mergastua Negeri Perak pada tahun 1968 bertujuan memahami tabiat reptilia ini membiak untuk tujuan pemuliharaan. Usaha pemuliharaan tuntung di pusat diteruskan memandangkan populasi tuntung telah berkurangan dalam tempoh 30 tahun lepas khususnya di sekitar Sungai Perak.

Terancam dan hampir pupus

Status tuntung kini berada pada tahap terancam dan hampir pupus. Jabatan Perhilitan juga menjalankan penguatkuasaan dan pengawalan untuk pemuliharaan tuntung. Kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan orang ramai mestilah menyokong usaha Jabatan Perhilitan untuk kepentingan negara dalam kepelbagai biologi.

Di Perak, pernah dilaporkan sebelum tahun 1940 lebih 10,000 tuntung bersarang dengan 375,000 hingga 500,000 telur setiap tahun. Pada zaman pemerintahan Jepun telur tuntung menjadi sumber protein kepada penduduk tempatan kerana kekurangan makanan. Tinjauan pada 1976 mendapati antara 400 hingga 1,200 sarang dengan telur sebanyak 20,000 setahun. Pada 1989 hingga 1990 pula merekodkan 20,608 biji telur dengan 849 sarang. Pada tahun 1999 hanya 677 sarang dilaporkan dan pada tahun 2003 hanya tinggal lapan sarang.

Pada tahun 2004 pula, sebanyak 20 sarang dilaporkan manakala pada tahun 2005 dan 2009 Jabatan Perhilitan melaporkan 40 sarang dijumpai.

Berdasarkan laporan, sejarah pemuliharaan tuntung bermula sejak tahun 1630-an lagi apabila Sultan Mudzaffar Shah II melepaskan tuntung di Sungai Perak. Sepatutnya sejarah hampir 400 tahun itu difahami dan dihayati semua rakyat bersama-sama memulihara tuntung di Malaysia dan khususnya di Perak.

Sekiranya dilakukan sejak dahulu Perak sekarang sudah menjadi tarikan utama pendidikan, penyelidikan dan pelancongan berasaskan tuntung. Negara lain seperti Thailand, Vietnam dan Singapura tuntung sudah dikategorikan sebagai pupus. Kita tidak mahu Malaysia juga mengalami peristiwa yang sama.

Aktiviti penyelidikan tentang tuntung perlu dipertingkat terutama tentang tekanan terhadap habitat mereka, biologi, ekologi dan genetik. Peruntukan kewangan dan mengenal pasti kumpulan penyelidik perlu segera dilakukan.

Tindakan yang lebih sistematik mestilah diberikan agar tidak terlambat dalam menyediakan maklumat tentang tuntung. Dengan maklumat yang lengkap maka program pendidikan dan kesedaran masyarakat dapat berjalan dengan lebih berkesan. Program pembangunan yang boleh mengancam habitatnya boleh merujuk dan aktiviti melombong pasir akan lebih terkawal.

Perubahan cuaca yang menyebabkan hujan lebat yang di luar jangkaan, mempengaruhi suhu sarang tuntung dan banjir kilat. Pembangunan kawasan sungai yang tiada kawasan penampan menyebabkan air permukaan tanah tidak ditapis masuk terus ke dalam sungai, pembangunan dan hakisan tanah dari hulu sungai menambah tekanan kepada populasi tuntung. Aktiviti melombong pasir yang tidak terkawal meningkat dan tidak mengambil kira pemuliharan tuntung perlu diberikan perhatian segera. Semua agensi berkaitan perlu berganding bagi membantu pengurangan populasi tuntung.