Walau bagaimanapun, teknologi yang semakin canggih memungkinkan kos untuk merawat juga meningkat dan membebankan pesakit yang kurang berkemampuan. Lebih mendukacitakan, apabila kos meningkat tetapi pesakit tidak juga sembuh. Justeru, kaedah rawatan kos efektif dan berkesan amat dinantikan oleh pesakit dan menjadi tanggungjawab penyelidik menghasilkan inovasi yang boleh membantu golongan tersebut. Satu daripada teknologi perubatan yang dapat membantu pesakit antaranya adalah mengoptimumkan penggunaan ubat yang kosnya meningkat.

Rawatan kanser terutama amat kritikal dan sukar diubati menyebabkan kos rawatannya tinggi. Antara penyakit kanser yang biasa menyerang adalah kanser kolon atau usus besar dan rawatan penyakit seumpama ini mahal. Pesakit kanser usus besar biasanya diberi pilihan kaedah rawatan secara kimoterapi atau pun perlu menjalani pembedahan.

Namun bagi seorang penyelidik di Pusat Sains Asas Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr. Laili Che Rose, kajian terkini beliau adalah mencari kaedah penghantaran dos ubat secara oral bagi merawat penyakit kanser terutama kanser yang menyerang usus besar.

Kaedah tersebut adalah alternatif kepada rawatan kimoterapi ataupun pembedahan yang sering dilakukan terhadap pesakit kanser usus besar.

Dr. Laili yang juga pensyarah kanan di pusat tersebut berkata, kajian awal beliau bermula semasa menyempurnakan pengajian doktor falsafah (PhD) di Universiti of East Anglia, United Kingdom (UK). Dalam kajian itu, beliau telah berjaya membuktikan satu konsep penghantaran ubat secara oral dengan menggunakan pembawa yang sesuai bagi merawat pesakit kanser usus besar.

Dengan menggunakan pembawa

ubat yang sesuai, pesakit akan dapat menerima dos ubat yang cukup dan dapat mengelakkan atau mengurangkan kesan sampingan.

“Namun bagi saya, kajian ini mencabar kerana perlu mencari bahan yang sesuai dan memenuhi kriteria sebagai pembawa ubat yang selamat terutama secara oral dan melibatkan di bahagian usus besar manusia.

“Adalah penting dalam kajian kami untuk memastikan adakah selaput atau bahan salutan kapsul yang digunakan mempunyai ciri-ciri yang mesra kepada badan dan tidak toksik di samping memastikan pembawa ubat tadi dapat melepaskan ubat dengan dos yang cukup ke kawasan yang memerlukan ’’ katanya.

Berkongsi lebih lanjut, Dr. Laili berkata, tiga syarat penting untuk menghasilkan penyalut kapsul tersebut adalah bahannya mestilah biocompatible (sesuai) , selamat tidak mudah rosak pada pH (tahap keasidan) perut 1.2 dan pH di dalam usus besar iaitu 6.5.

Selain itu, takat lebur bahan salutan mestilah antara 37.5 darjah Celsius hingga 42 darjah Celsius.

Penyalut kapsul itu perlu mempunyai satu bahan penting yang boleh menghasilkan sedikit haba apabila pesakit tadi didedahkan kepada radioterapi ,dan ia adalah nanomagnet yang dihasilkan di dalam makmal beliau sendiri. Nanomagnet berkenaan kata Dr. Laili mempunyai sifat magnetik yang apabila didedahkan kepada gelombang radio (RF) menyebabkan menjadi panas, bergetar dan menghasilkan tenaga.

Tenaga tersebut katanya, akan ditukar kepada haba dan seterusnya dapat menyebabkan bahan salut tadi melebur pada suhu tertentu dan dapat melepaskan ubat ke kawasan sekitar usus besar yang memerlukan rawatan.

Dengan menggunakan geran penyelidikan untuk tempoh tiga tahun, bermula Disember 2014 hingga November 2017 iaitu Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS), Kementerian Pengajian Tinggi berjumlah sebanyak RM148,000, beliau meneruskan kajian bersama kumpulan penyelidik terdiri daripada Prof. Dr. Hamdan Suhaimi, Dr. Khairul Anuar Mat Amin, pelajar sarjana Nur Faezatil Farhana dan Razinah Kadir dan juga beberapa pelajar tahun akhir beliau di UMT.

Beliau dan kumpulan penyelidik beliau meneruskan kajian mencari bahan-bahan yang sesuai sebagai pembawa ubat yang sesuai dan selamat ke bahagian usus besar pesakit.

Sehingga kini bahan yang dikaji adalah terdiri daripada asid lemak yang dihasilkan daripada kelapa sawit.

Kajian ke atas haiwan

Kajian beliau akan diteruskan secara in vivo iaitu akan menggunakan tikus bagi memastikan proses tersebut benar-benar befungsi di dalam badan mamalia atau persekitaran sebenar (in vivo).

Pada peringkat ini, kajian beliau telah berjaya diterbitkan di dalam jurnal berimpak tinggi iaitu di dalam Scientific Report, terbitan Nature Scientific Group (NPG) 2016 dan dalam Journal of Material Chemistry B, terbitan Royal Society Chemistry (2016).

Selain itu, pelajar tahun akhir beliau yang membuat kerja penyelidikan dalam tajuk ini telah memperoleh pingat emas dalam pertandingan Novel Research and Innovation Competition (NRIC) pada 2015.

Baru-baru ini, Dr. Laili dan kumpulan penyelidik beliau telah berjaya mendapat pingat perak dalam pertandingan Pameran Inovasi dan Reka Cipta Antarabangsa ke- 27 (ITEX 2016). Dr Laili mengharapkan agar hasrat beliau untuk meneruskan kajian beliau secara in vivo akan beroleh kejayaan dan seterusnya dapat memberi sedikit sumbangan dalam teknologi sistem penghantaran ubat di dalam tubuh manusia terutama bagi pesakit kanser usus besar.