Disebabkan itu, tidak dinafikan mereka mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam mengenai selok belok hutan belantara serta manfaat-manfaat tumbuhan herba di dalamnya melalui pengetahuan tradisi daripada nenek moyang mereka.

Pengetahuan tradisi bermakna ilmu mengenai hutan dan manfaat khazanah-khazanah yang ada di dalamnya yang diturunkan secara mulut ke mulut daripada golongan tua kepada golongan muda secara turun-temurun dalam salasilah keturunan Orang Asli.

Justeru itu, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) mengambil inisiatif menjalankan Projek Pendokumentasian Pengetahuan Tradisi Tumbuhan Ubatan dan Beraroma dalam usaha mengekalkan serta memelihara ilmu pengetahuan tradisi yang dimiliki oleh masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan) FRIM, Dr. Ismail Harun, inisiatif ini berperanan untuk mengumpul dan mendokumentasikan pengetahuan tradisi secara sistematik.

Katanya, pengetahuan-pengetahuan tradisi yang diperoleh daripada kaum Orang Asli akan didokumentasikan dalam bentuk buku dan disimpan sebagai rujukan untuk generasi akan datang.

“Tujuan utamanya ialah supaya pengetahuan tradisi ini tidak hilang dibawa arus masa dan dibiarkan begitu sahaja tanpa memanfaatkannya.

“Pengetahuan tradisi ini sangat penting untuk dikekalkan kerana boleh digunakan untuk menghasilkan sesuatu yang baharu seperti bahan-bahan makanan tambahan, hiasan dan pelbagai guna lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pemuliharaan dan Pemerkasaan Pengetahuan Tradisi 2018 di FRIM, Kepong baru-baru ini.

Pada majlis itu juga FRIM telah melancarkan buku Legasi Waris Rimba dan satu prototaip produk, Ka- Herbs daripada subetnik Kensiu Kampung Lubok Legong, Baling, Kedah yang berpotensi untuk dikomersialkan.

Selain itu, tambah Ismail, projek ini juga akan menjamin kelestarian tanaman herba yang terdapat di dalam hutan melalui usaha memupuk dan memberi kesedaran kepada masyarakat Orang Asli mengenai kepentingan menanam tanaman herba.

“Kita tidak hanya menggunakan pengetahuan tradisi ini untuk menghasilkan produk, tetapi juga menggalakkan mereka (Orang Asli) untuk menanam herba untuk kegunaan masa hadapan.

“Setelah itu, dengan sumber yang ada kita akan bantu mereka untuk menghasilkan produk dan seterusnya mengkomersialkannya bagi menjana pendapatan kepada mereka,” ujarnya.

Elak eksploitasi

SEMENTARA itu, Felo Penyelidik FRIM, Dr. Norini Haron menjelaskan, projek tersebut memberi keadilan kepada Orang Asli yang selama ini dieksploitasi oleh sesetengah pihak yang berniaga.

Katanya, mereka ini menggunakan pengetahuan tradisi daripada Orang Asli untuk menghasilkan sesuatu produk herba atau makanan tambahan dan seterusnya mengaut keuntungan bersendirian tanpa memberikan faedah atau pulangan kepada sumber iaitu Orang Asli.

Oleh itu, katanya, projek yang berteraskan adil dan saksama ini akan memanfaatkan semua pihak seperti kerajaan sebagai pemilik tanah, agensi sebagai penyelidik dan masyarakat Orang Asli yang akan sama-sama berkongsi hasil produk yang telah diusahakan.

“Kita bukan sahaja hendak mengelakkan pengetahuan tradisi Orang Asli itu hilang, tetapi berharap mereka ini tidak terus teraniaya dan diekspoitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Kita juga akan menandatangani perjanjian akses dan perkongsian faedah bersama Orang Asli tidak lama lagi supaya sumber biologi atau pengetahuan tradisi tidak disalah guna.

“Dalam masa sama, pemilik sumber atau pengetahuan tradisi mendapat faedah hasil daripada pengkomersialan sumber itu.

Dalam pada itu, Tok Batin Kampung Lubok Legong, Razali Kulim berpendapat, kerjasama antara Orang Asli dan agensi penyelidikan turut memberikan pengetahuan yang baharu kepada mereka.

“Seperti prototaip yang dilancarkan hari ini, pada mulanya pengetahuan tradisi kami hanya mengetahui tumbuhan KLL092 ini boleh mengubati lelah atau asma.

“Tetapi apabila pihak FRIM menjalankan kajian mereka mendapati produk ini juga boleh merawat diabetes.

“Oleh itu, ia sesuatu yang sangat bagus dan kami sangat menyokong usaha ini,” ujarnya.