“Kita perlu minum untuk hidup dan sumber air kita dikawal oleh tumbuhan dalam hutan yang memastikan aras air bawah tanah dan curah hujan cukup untuk mengairi sungai-sungai kita. Kita perlu oksigen dan tumbuhan jugalah yang menyediakan oksigen itu.’’.

Demikian kata-kata Timbalan Naib Canselor, Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Prof. Dr. Wahid Razzaly semasa merasmikan Festival Biodiversiti 2016 (BioDFest 2016) di kampus universiti berkenaan di Batu Pahat, Johor baru-baru ini.

Berkongsi lebih lanjut, beliau berkata, orang ramai wajar menghargai anugerah Tuhan itu, menghayati kepentingannya, memastikan kesejahteraan alam dan kemandirian manusia.

Dr. Wahid berkata, bakteria, virus yang tidak nampak dengan mata kasar adalah biodiversiti, kulat, tumbuhan, haiwan juga biodiversiti.

Malah katanya, manusia dan semua benda hidup yang dicipta Allah terdapat dalam berbagai-bagai bentuk dan itu adalah biodiversiti.

“Hari ini dicatatkan sebanyak 1.8 juta biodiversiti yang telah mempunyai nama tetapi berjuta-juta lagi yang menanti untuk ditemukan dan diberikan nama.

“Tentunya biodiversiti yang dicipta Allah sejak 3.5 bilion tahun dulu sebagai persiapan ketibaan manusia 350,000 tahun yang lalu.

“Semuanya mempunyai sebab dan fungsi tersendiri yang sebahagian besarnya belum dikaji dan diketahui manusia,’’ ujarnya lagi.

Program BioDFest 2016 dianjurkan Pusat Penyelidikan bagi Pemuliharaan dan Penggunaan Mapan Sumber-sumber Semula Jadi (SUNR) dan Fakulti Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan (FSTPI) univerisiti berkenaan.

Yang turut hadir pada majlis perasmian itu adalah Pendaftar UTHM, Abdul Halim Abdul Rahman; Penolong Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Abdul Razak Omar; Dekan

Fakulti Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan, Prof. Madya Dr. Mohd. Kamarulzaki Mustafa ; Ketua SUNR, Prof. Datin Dr. Maryati Mohamad dan Pengerusi MNS Cawangan Johor, Vincent Chow.

Matlamat utama program tersebut adalah untuk mempromosi pemuliharaan biodiversiti bukan sahaja kepada komuniti di UTHM bahkan juga kepada masyarakat.

Justeru, segala aktiviti yang dijalankan memberi penekanan mengenai fungsi dan kegunaan biodiversiti dalam kehidupan seharian.

Program tersebut dihadiri wakil dari pelbagai agensi seperti Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Persatuan Pencinta Alam Cawangan Johor (MNS-Johor), Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar (WCS) dan penduduk Kampung Parit Jelutong dan mahasiswa UTHM.

Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abd. Latif Momod menyampaikan ucaptama berkenaan biodiversiti manakala penyelidik FRIM menyampaikan ceramah mengenai herba serta kepentingan penanamannya kepada penduduk kampung, pelajar serta staf UTHM.

Acara lain termasuklah antaranya menandatangani pelanjutan memorandum kesefahaman (MoU) antara UTHM dan FRIM.

MOU yang ditandatangani adalah berkaitan dengan kerjasama dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan penerbitan pada 2015 dilanjutkan hingga ke tahun 2021. 
– LAUPA JUNUS