Kawasan seperti Merbok di Kedah, Matang (Perak); Kuala Bernam Sekinchan, Kuala Selangor, Pulau Kelang dan Sungai Sepang (Selangor); Sungai Linggi (Negeri Sembilan); serta Sungai Muar, Pulau Kukup dan Tanjung Piai (Johor) sudah terkenal dengan hutan bakau.

Begitu juga di Pantai Timur seperti Sungai Setiu di Terengganu; Cherating, Tanjung Agas, Kuala Rompin (Pahang); dan Sungai Johor di selatan adalah antara hutan bakau yang penting di Semenanjung Malaysia. Begitu juga di Sabah dan Sarawak yang masing-masing mewakili 60 peratus dan 23 peratus hutan bakau di Malaysia berbanding hanya 17 peratus di Semenanjung Malaysia.

Sebelum ini, masyarakat kurang memahami pentingnya hutan bakau kepada manusia. Kebanyakan negara mengganggap kawasan hutan bakau merupakan kawasan yang tidak produktif atau kawasan paya yang tidak berguna. Akibatnya kawasan bakau dibersih dan dibangunkan untuk kegunaan lain seperti perbandaran, industri dan akuakultur. Tambahan pula, di antara 55 hingga 60 peratus dan ada yang 80 peratus penduduk dunia tinggal di tepi pantai. Ini memaksa pembangunan pesat di kawasan pantai untuk tempat tinggal, perniagaan, bekerja dan lain-lain.

Pelabuhan juga sudah tentu di pantai dan menggalakkan lagi pembangunan kilang, gudang, jalan raya, tempat tinggal dan ruang perniagaan.

Keperluan ini memberikan tekanan kepada ekosistem hutan bakau ditebus guna untuk dibangunkan. Banyak juga kawasan hutan bakau diteroka untuk perusahaan kolam udang dan akuakultur lain. Banyak negara di dunia telah kehilangan hutan bakau termasuk negara Malaysia.

Penebangan hutan bakau memberikan kesan kepada aktiviti perikanan, mengancam burung berhijrah, kualiti air bersih, kemasinan tanah kawasan pantai, hakisan pantai dan menghasilkan karbon dioksida ke atmosfera. Kini kurang daripada setengah hutan bakau asli yang tinggal dan sejumlah 50 peratus hutan bakau dimusnahkan adalah untuk kolam udang.

Laporan Wetlands International dalam kajian antara 1983 hingga 1986 dan antara 2004 hingga 2006 menunjukkan penurunan 22.4 peratus bilangan burung berhijrah pantai akibat daripada gangguan hutan bakau dan pantai terutama di laluan East Asian Australia Flyway (EAAF).

Kerajaan dan masyarakat perlu meningkatkan kefahaman tentang pentingnya hutan bakau dan perlunya pemuliharan hutan bakau di sepanjang pantai. Semua pihak berkaitan perlu bekerjasama dalam menyelaras pembangunan kawasan pantai dan muara sungai agar kawasan hutan bakau dapat dilindungi dan dipulihara. Pembangunan di kawasan pedalaman juga boleh memberikan kesan kepada ekosistem bakau di muara sungai dan pantai.

Undang-undang, pelaksanaan undang-undang dan panduan pemuliharaan hutan bakau mestilah dimantapkan. Kajian tentang hutan bakau juga perlu dipertingkat. Kurang maklumat saintifik, pengetahuan dan kesedaran awam, undang-undang dan panduan serta kerjasama semua pihak dalam perlindungan dan pemuliharaan hutan bakau, membuatkan hutan bakau antara habitat yang paling terancam di dunia.

Setiap tahun seluruh dunia menyambut Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa (International Day for the Conservation of Mangrove Ecosystem). Hari tersebut disambut pada 26 Julai 2016 bagi menandakan kepentingan kritikal bakau untuk sekuriti makanan. perlindungan pantai dan mitigasi kesan perubahan iklim.

Di Malaysia juga disambut dengan pelbagai aktiviti seperti pendidikan, seminar saintifik, program kesedaran awam dan menanam pokok bakau.

Sempena sambutan hari tersebut pada tahun ini yang jatuh pada 26 Julai nanti, marilah semua rakyat Malaysia memahami kepentingan hutan bakau dan bersama menyumbang ke arah pemuliharaan hutan bakau yang terbaik di Malaysia.

Di semua sekolah, bagi pelajar yang telah mempelajari tentang ekosistem bakau bolehlah mengulang kaji tajuk berkaitan, berkongsi dan menerangkannya kepada rakan-rakan dan keluarga.

Mengiktiraf konservasi bakau

Persidangan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan (UNESCO) ke-38 pada 6 November 2015 di Paris (Perancis) telah mengisytiharkan 26 Julai sebagai Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa.

Hutan bakau adalah suatu yang unik, istimewa dan ekosistem yang terancam terdedah kepada penebangan kawasan hutan, tebus guna tanah dan mudah terjejas kualiti habitatnya. Menurut UNESCO, perkhidmatan ekosistem yang boleh diberikan oleh hutan bakau ialah menyediakan biomas, hasil hutan dan kelestarian sumber perikanan.

Hutan bakau juga melindungi pantai daripada hakisan yang melampau, ombak kuat seperti tsunami, melindungi kesan perubahan iklim dan kejadian cuaca melampau.

Oleh kerana sifat dan peranan hutan bakau memerangkap dan menapis bahan-bahan dari laut dan darat seperti sedimen permukaan akibat hakisan darat dan laut serta sisa pepejal seperti plastik, maka pengurusan kawasan hutan bakau menjadi lebih penting.

UNESCO melakarkan pelbagai program bagi melindungi ekosistem bakau seperti program manusia dan biosfera, program hidrologi antarabangsa, kerjasama antara kerajaan, program sistem pengetahuan tempatan dan penduduk asli yang dilaksanakan di seluruh dunia dari Mexico ke Brazil, Nigeria ke Bangladesh, dan Malaysia ke Australia.

Sebagai menyambut usaha UNESCO menerusi pelbagai program untuk pemuliharaan, perlindungan, pemulihan dan kelestarian penggunaan ekosistem pantai dan bakau, Malaysia juga tidak ketinggalan melaksanakan usaha berkenaan.

Di Malaysia agensi kerajaan, pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi pendidikan ada menjalankan aktiviti pendidikan dan penyelidikan ke arah kesedaran rakyat dan pemuliharaan hutan bakau secara berterusan. Misalnya pusat pendidikan bakau di Matang, Perak yang diuruskan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Taman Alam Kuala Selangor dan Ecocare di Kertih yang diuruskan oleh Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dan beberapa lagi pusat yang diuruskan oleh NGO tempatan.

Hutan bakau Matang, Perak yang diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK) sejak 1906 kaya dengan kepelbagaian spesies flora dan fauna memang sudah diiktiraf oleh UNESCO sebagai salah satu hutan bakau yang terbaik dari pengurusannya di dunia dan menjadi tumpuan pelancong antarabangsa.

Namun begitu beberapa tempat sensitif hutan bakau seperti Kuala Gula di Perak yang diiktiraf sebagai santuari burung laut, Tapak Ramsar di Tanjung Piai, Johor dan Langkawi Geopark perlu diberikan perhatian segera.

Semua kawasan hutan bakau di Malaysia mesti dikenal pasti kepentingannya dan mempunyai maklumat lengkap melalui kajian berterusan di lokasi berkenaan melibatkan pakar, aktivis dan penduduk tempatan.