Seperti biasa parti politik yang bertanding mengemukakan manifesto bagi memancing undi rakyat agar memilih mereka dalam pilihan raya umum. Walaupun tiada parti yang bertanding menyatakan dengan jelasnya tentang isu berkaitan alam sekitar dalam manifesto, mereka yang aktif dalam hal berkaitan alam sekitar dan pemuliharaan kepelbagaian biologi terus menaruh harapan terhadap penjagaan dan perlindungan alam sekitar.

Adalah diharapkan agar barisan Kabinet akan memberi keutamaan terhadap isu-isu alam sekitar dan alam semula jadi.

Malaysia sangat beruntung kerana muka buminya yang masih hijau, mempunyai kepelbagaian biologi yang tinggi dan pendirian kerajaan dalam melindungi alam sekitar melalui komitmen serta perundangan yang ada.

Majoriti rakyatnya pula terdidik dan mendapat pendedahan dalam hal-hal berkaitan alam sekitar secara fomal dan tidak formal.

Tambahan pula, Malaysia mempunyai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam menjaga alam sekitar, menjalankan aktiviti pendidikan dan mengajukan pandangan kepada pihak yang bertanggunggungjawab dalam menjaga dan melindungi alam sekitar.

Banyak contoh aktiviti yang menimbulkan konflik antara pembangunan dan pemuliharaan hidupan liar yang sedang dan akan berlaku.

Sekiranya kerajaan bersama masyarakat antarabangsa bersetuju dan komited melindungi dan memulihara Kawasan Penting Burung dan Biodiversiti (IBA), laluan East Australian Asia Flyway (EAAF) untuk burung berhijrah pantai, Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS), Central Forest Spines (CFS) untuk pergerakan hidupan liar dan ekopelancongan untuk menyokong industri pelancongan sebagai pendapatan ketiga negara, sepatutnya kerajaan mempunyai polisi dan melaksanakannya dengan baik.

Pembangunan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Santuari Burung Laut di Kuala Gula dan pembangunan hutan bersempadan Taman Negara antara contoh yang perlu diberikan perhatian segera kerajaan.

AKTIFKAN penyelidikan

Dalam usaha melindungi dan memulihara kepelbagaian biologi negara, Malaysia perlu mengaktifkan penyelidikan berkaitan kepelbagaian biologi memberikan penekanan kepada habitat, ekologi, genetik dan spesies.

Peruntukan kewangan perlu disediakan bagi menggalakkan penyelidikan, menarik minat generasi muda dan menyediakan peluang pekerjaan yang spesifik.

Kurang kepimpinan, bakat dan minat dalam kalangan saintis muda dalam bidang kepelbagaian biologi sukar untuk Malaysia terus memertabatkan kepelbagaian biologi Malaysia.

Kedudukan Malaysia ke-12 di dunia dalam kepelbagaian biologi dan mempunyai kepentingan ekonomi dari segi ekopelancongan, di samping menambah baik perkhidmatan ekosistem yang berterusan, kerajaan baharu yang dibentuk mesti melihat isu alam sekitar dan alam semula jadi ini secara bersepadu dan sebagai keutamaan negara.

Usaha meningkatkan kesedaran orang ramai sama-sama menjaga alam sekitar mestilah diteruskan.

Sumbangan pihak NGO dan korporat mestilah diiktiraf kerajaan serta terus mempromosi sumbangan semua pihak dalam menjaga alam sekitar dan alam semula jadi. Isu alam sekitar adalah isu semua orang.

Pencemaran udara, pencemaran air, sumber bekalan air bersih, tahap ekonomi luar bandar dan bandar adalah isu berkaitan alam sekitar dan alam semula jadi.

Semua pihak mesti bersama-sama menjaganya dan kerajaan mestilah mempunyai polisi yang mantap serta pelaksanaan dan pendekatan bersepadu oleh semua agensi kerajaan.

Perkongsian pintar ke arah kelestarian alam sekitar (Smart Partnership Towards Sustainable Environment) antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam pengurusan alam sekitar mestilah lebih erat dan dipertingkat. Pendekatan yang bersepadu antara pelbagai agensi seperti NGO, agensi swasta, individu dan sebagainya mestilah digalakkan dalam usaha pemuliharaan alam semula jadi.

Kerajaan melalui Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (2016-2025) telah memetakan hala tuju dan panduan kepada semua agensi kerajaan termasuk kerajaan negeri mengenai pemuliharaan dan pengurusan kepelbagaian biologi di negara ini. Adalah diharapkan semua penggiat alam sekitar, NGO dan swasta dapat difahamkan dengan jelas berkenaan dasar kerajaan dan menggalakkan mereka komited dan terlibat sama dalam melaksanakan dasar kerajaan.

Oleh kerana isu kepelbagaian biologi merupakan isu yang kompleks dan merentas sektor yang memerlukan pendekatan yang lebih sofistikated dan holistik.

Kerajaan Pusat bolehlah mengaudit semua aktiviti oleh agensi kerajaan, NGO dan swasta serta memberikan penghargaan dan pengiktirafan.

Mungkin semua pegawai tertinggi termasuk menteri perlu memahami dasar berkenaan.

Aktiviti-aktiviti seperti pembukaan hutan, pembangunan yang tidak terancang, maklumat tentang kepelbagaian biologi, kesedaran masyarakat serta perhatian pihak berkuasa tentang perlindungan dan pemuliharaan kepelbagaian biologi menjadi cabaran berterusan kepada dasar yang kerajaan sediakan.

Dasar Kepelbagaian Biologi yang dibangunkan pada tahun 1998, disemak dan dilancar semula pada 2016 akan menjadi sia-sia sekiranya tidak ditangani dengan baik. Dasar Kepelbagaian Biologi tersebut menyediakan satu panduan terbaik bagi pemuliharaan kepelbagaian biologi dan kelestariannya.

Gabungan antara maklumat penyelidikan, pendidikan, kesedaran awam, pelaksanaan polisi dan penguatkuasaan undang-undang boleh menjamin kelestarian kepelbagaian biologi negara.