Sebab itu, banyak pihak mula melihat kepentingan bidang berkenaan dan pelbagai elemen yang boleh dijadikan bahan penyelidikan yang hasilnya nanti boleh digunakan untuk membangunkan industri tersebut.

Atas tujuan yang sama,  Institut Kejuruteraan Berfokuskan Manusia (IHCE) , Universaiti Teknologi Malaysia (UTM) menjalankan kajian  bertajuk Inovasi Sukan dan Kecergasan Berteknologi Tinggi  sejak 2012  dan siap pada April tahun lalu.

Projek tersebut  menurut  pengarah kanan  institut berkenaan, Prof. Dr. Abdul Hafidz Omar, dijalankan dalam pelbagai fasa dengan melibatkan enam dimensi, pengumpulan, analisis data dan pengkomersialan.

Tujuan kajian adalah menggunakan persekitaran  tiruan (virtual reality) sebagai gantian kajian sebenar, mengkaji perubahan fisiologi kesan daripada latihan yang dijalankan dan mengkaji kesan psikologi daripada latihan yang dijalankan.

“Showcase Simulasi 6 Dimensi yang dilengkapi dengan beberapa persekitaran yang berbeza seperti basikal, haji dan banjir untuk membantu pengguna menghayati suasana sebenar dengan hanya berada dalam suasana tersebut.

“Dalam masa yang sama, pengguna dapat meningkatkan prestasi fizikal, mental dan fisiologi yang diukur dengan perkakasan serta perisian yang sah dan dipercayai ketepatannya bagi mendapatkan data yang bebas daripada ralat,’’ katanya yang juga ketua penyelidik.

Penyelidikan tersebut melibatkan Fakulti Biosains dan  Kejuruteraan Perubatan tajaan Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UTM.

Projek tersebut dibangunkan oleh beberapa saintis  dan penyelidik UTM terdiri daripada pelbagai disiplin seperti sains sukan, elektrikal, mekanikal dan sains komputer yang diketuai Dr. Abdul Hafidz.

Ahli kumpulan penyelidikan tersebut terdiri daripada Dr. Mohd. Najeb Jamaludin, Dr. Dayang Tiawa, Dr. Ardiyansyah Syahrom, Dr. Muhammad Amir As’ari, Mohamad Hasnul Hafifi  Ahmad,  Rosniah Abdullah dan Muhammad Iqbal Tariq  Idris
Berkongsi lebih lanjut , Dr. Abdul Hafidz berkata, projek tersebut bermula daripada simulator haji.

Katanya, oleh kerana latihan basikal memerlukan persekitaran pelbagai seperti jalan raya dan bukit bakau, dan terdedah kepada cabaran dan bahaya maka persekitaran tiruan amat berguna dan menjimatkan.
Penilaian melalui kajian juga amat mudah dapat dijalankan mengunakan simulator dan lebih tepat. Penyelidik juga dapat mengawal kepelbagaian seperti kebangkitan, bimbingan dan keyakinan diri atlit semasa kayuhan yang dipengaruhi oleh persekitaran maya.

Kajian 1 Berbasikal

a. Persekitaran sebenar seperti Le Tour de Langkawi (LTdL) dapat digunakan sebagai simulasi. Keadaan muka bumi yang berbeza dilakukan pada gajet basikal yang akan memberi daya tambahan kayuhan pada atlet. Intensiti tambahan akan membuat atlet berusaha untuk mempertingkat daya kayuhan dan membaiki mutu latihan.
b. Suhu boleh ditinggikan atau direndahkan untuk memberi penyesuaian kepada atlet bertanding di lokasi berbeza contohnya musim sejuk atau di kawasan panas. Pendingin hawa atau alat pemanas dipasang untuk mengawal suhu.
c. Jarak kayuhan juga boleh ditambah dari semasa ke semasa tanpa perlu dilakukan di lokasi sebenar.

Perubahan fisiologi
a. Latihan dalam showcase ini akan meningkatkan tahap kecergasan bergantung pada program latihan yang dirancang.
b. Berbagai-bagai ujian boleh dilakukan seperti kadar nadi, tekanan darah, kandungan oksigen dalam darah dan pengembalian kolari tenaga.

Perubahan psikologi
a. Penggunaan persekitaran tiruan dapat meningkat motivasi kayuhan atlet, kebangkitan dan mengurangkan proses bimbingan semasa pertandingan. Kaedah  latihan dalam persekitaran ini membantu membiasakan atlet dalam keadaan sebenar.

Kajian 2 Simulasi Haji

Peserta didedahkan kepada situasi mengerjakan ibadah haji. Selain latihan mengenali hukum haji atau umrah peserta juga dapat membiasakan apa yang perlukan dilakukan. Latihan yang sistematik akan dapat meningkatkan kecergasan dan keyakinan diri peserta di Tanah Suci kelak.

Kajian 3 Banjir

Kajian ini mendedahkan peserta pada latihan kecemasan untuk menyelamatkan diri semasa berlakunya banjir. Persekitaran banjir disimulasikan pada lokasi banjir sebenar. Kawasan selamat dikenal pasti dan peserta diminta bergerak untuk menyelamatkan diri dalam masa yang ditetapkan sebelum terperangkap pada keadaan banjir sebenar. Latihan kecemasan untuk menyelamatkan diri ini akan membiasakan peserta untuk bergerak dengan lebih sistematik semasa berlakunya bencana nanti.

Kajian 4 Permainan bola tampar

Latihan simulasi ini memberi tumpuan pada simulasi ramai (crowd simulation) untuk membiasakan diri dalam suasana kebisingan semasa pertandingan seperti sorakan penonton. Hasilnya atlet akan dapat membiasakan diripada pertandingan yang akan diwakili. Ini akan dapat meningkatkan ketahanan mental akibat sorakan penonton. Kesannya simulasi ini dapat menurunkan kebimbangan atlet semasa bertanding. Elemen animasi juga akan meningkatkan motivasi atlet dan juga kebangkitan untuk lebih berusaha.