Kadar perubahan iklim yang dialami kini berbeza berbanding sebelumnya, ekoran pertambahan projek pembangunan dan perbandaran yang akhirnya membawa kepada penggondolan hutan yang banyak menyimpan khazanah alam.

Oleh itu, jelas dilihat bahawa perubahan iklim ini sebenarnya berpunca daripada manusia sendiri yang merupakan daya dominan ke atas alam semula jadi.

Meskipun manusia dan alam sekitar mempunyai saling hubungan, namun manusia juga menjadi penyebab kepada penyelewengan dan kemusnahan yang boleh menamatkan kehidupan di bumi ini secara keseluruhannya.

Peka dengan keadaan itu, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) baru-baru ini menganjurkan Seminar Maqasid Syariah dan Perubahan Iklim bagi membincangkan isu-isu penting seperti pemuliharaan alam sekitar, pengurusan bencana dan pengukuhan kesedaran untuk mencintai serta menghargai alam sekitar.

Program itu juga bertujuan bagi memberi penekanan bahawa perspektif maqasid syariah iaitu kaedah yang mematuhi syariah dan seharusnya diterapkan dalam masyarakat dan diguna pakai bagi menangani isu pengurusan ekosistem alam sekitar.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki ketika merasmikan seminar tersebut berkata, perubahan iklim dan bencana alam yang berlaku secara mendadak ketika ini adalah kesan daripada ketidakseimbangan dalam mengamalkan prinsip-prinsip Islam.

Katanya, mengikut prinsip maqasid syariah, sebarang kegiatan atau apa sahaja perbuatan yang menuju ke arah kemusnahan mahupun kemudaratan seharusnya dielakkan.

“Hari ini, aspek menjaga kemaslahatan keseluruhan kehidupan seperti tidak diambil kira.

“Oleh itu, perspektif maqasid syariah perlu dihayati dan mengaplikasikannya dalam konteks perubahan iklim dan penjagaan alam sekitar secara keseluruhannya,” katanya.

Yang turut hadir adalah Ketua Pengarah IKIM, Prof. Datuk Dr. Azizan Baharuddin.

Dalam pada itu, Azizan berkata, dalam pembinaan peradaban, kesejahteraan persekitaran dan kelestarian alam juga perlu diberikan perhatian semaksimum mungkin.

Katanya, tidak akan wujud kelestarian sesebuah peradaban sekiranya bimbingan adab, cara dan manhaj pembangunannya tidak wujud.

“Perubahan iklim yang melanda dunia dan membawa bersama-samanya impak buruk terhadap kesihatan, kesejahteraan serta kelangsungan hidup manusia menuntut kerjasama serta komitmen tinggi warga dunia.

“Pada peringkat tempatan pula, segenap masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan kedudukan perlu memainkan peranan untuk memastikan kita turut menyumbang dalam menyelesaikan isu yang menggugat kepentingan bersama ini,” ujarnya.

Tidak keterlaluan jika dikatakan kewujudan Revolusi Perindustrian (IR) dan peningkatan populasi manusia telah membawa impak negatif kepada kesihatan alam sekitar dan menjadikan bumi semakin tenat.

Secara keseluruhannya, manusia telah melakukan perubahan yang amat besar terhadap ekosistem pada separuh kedua abad ke-20 berbanding dalam tempoh lain sepanjang sejarah peradaban manusia apabila perubahan itu membawa kesejahteraan kepada manusia dan sebaliknya kepada alam sekitar.

Aktiviti manusia seperti penebangan hutan dan pelepasan gas rumah hijau memberikan tekanan kepada alam sekitar melalui pembangunan yang tidak mengambil kira limitasi terhadapnya.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Pengurusan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Jaya Singam A. Rajoo berkata, pencapaian negara dalam melaksana program pembangunan dalam semua sektor menunjukkan kejayaan dan dikagumi negara membangun yang lain.

“Namun, usaha dan penekanan terhadap isu berkaitan alam sekitar dan perubahan iklim masih belum mencapai tahap yang setara dengan sektor berkaitan sedangkan negara membangun lain sedang mengorak langkah ke arah itu.

“Usaha pada peringkat global terhadap perubahan iklim kini menjadi agenda utama dan sangat wajar bagi Malaysia mengimbangi kecemerlangan dalam bidang alam sekitar dengan bidang yang lain,” katanya.

Sangat penting bagi manusia peka akan isu perubahan iklim kerana sekiranya isu ini tidak ditangani segera ia akan membawa kesan terhadap survival manusia pada ketika ini dan masa akan datang.

Pakar Klimatologi dan Oseanografi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Fredolin Tangang menjelaskan, julat suhu, taburan hujan, corak tiupan angin, pancaran radiasi matahari dan pelbagai ciri-ciri iklim yang lain mempengaruhi corak aktiviti dan kehidupan manusia.

Katanya, perkhidmatan ekosistem alam sekitar yang sihat mampu menyumbang kepada keperluan asas dan sumber utama yang mencukupi kepada manusia untuk kesejahteraan kehidupan seharian.

Bagaimanapun, menurutnya, aktiviti manusia berkait dengan pembangunan telah mencetuskan isu degradasi alam sekitar seperti perubahan iklim, pencemaran mikroplastik di lautan dan penipisan lapisan ozon.

Justeru, sekiranya tidak ditangani dengan segera, ia dikhuatiri akan memberi impak kepada akses manusia terhadap sumber utama seperti makanan, air dan kesihatan yang seterusnya menggugat survival manusia ke arah kehidupan yang tidak kondusif.

Kesimpulannya, manusia harus sedar bumi juga mempunyai batasan yang tidak seharusnya dikorbankan demi mengejar sebuah pembangunan.