Pulau Banding seluas 243 hektar (ha) merupakan sebuah pulau yang terbentuk akibat daripada kawasan yang ditenggelamkan untuk pembinaan Empangan Temenggor pada tahun 1960-an. Pulau Banding dilintasi oleh Lebuhraya Timur Barat antara antara Gerik di Perak dan Jeli di Kelantan.

Pada 31 Julai 2007, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar daripada Kumpulan Syarikat Emkay telah memulakan pembangunan di Pulau Banding sebagai destinasi pelancongan utama di dunia.

Pulau Banding sebagai pintu masuk ke Kompleks Hutan Belum-Temenggor (KHBT) yang berusia 130 juta tahun sudah tentu menjadi lokasi strategik untuk aktiviti pelancongan dan pendidikan alam semula jadi bagi KHBT.

Kompleks Hutan Belum-Temenggor (KHBT) terdiri daripada kawasan Taman Negeri Royal Belum, Hutan Simpan Belum dan Hutan Simpan Temenggor.

Pembangunan di kawasan Pulau Banding yang berjalan perlahan-lahan demi menjaga kelestarian alam semula jadi mengambil masa 10 hingga 15 tahun dengan anggaran kos melebihi RM600 juta.

Kemudahan chalet, jeti, pusat maklumat, restoran dan pusat penyelidikan dibina bagi memenuhi keperluan pelancongan, pendidikan dan pemuliharaan Pulau Banding dan KHBT amnya.

Antara tujuan penubuhan PBF ialah mempromosikan pendidikan, penyelidikan dan ekopelancongan untuk kelestarian KHBT. Dalam mencapai tujuan PBF, semua pihak dalam kalangan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta perlu bekerjasama menyumbang kepada aktiviti yang dijalankan. Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) misalnya sebagai sebuah NGO tertua yang mula menerokai KHBT sentiasa bekerjasama dengan PBF menjayakan seminar, persidangan dan ekspedisi saintifik. Hasil kerjasama itu beberapa prosiding saintifik telah diterbitkan.

Kedudukan dan keunikan Pulau Banding menjadikan ia sebagai satu tempat strategik bagi menjalankan aktiviti pendidikan alam semula jadi di samping membangunkan jati diri rakyat Malaysia tentang penjagaan warisan semula jadi negara.

Menerusi kerjasama Yayasan Emkay dan PBF, satu program yang dinamakan Green Ranger telah dibentuk bagi memberikan pendidikan dan kesedaran tentang kepelbagaian biologi khasnya di KHBT.

Menerusi aktiviti tersebut adalah diharapkan masyarakat Malaysia lebih bertanggung jawab menjaga alam sekitar .

GREEN RANGER berperanan memberi penerangan kepada pelajar mengenai ilmu kehutanan.
GREEN RANGER berperanan memberi penerangan kepada pelajar mengenai ilmu kehutanan.

Pelbagai aktiviti menerusi modul disediakan bagi mencapai tujuan ini.

Aktiviti tidak terhad kepada mengenali flora dan fauna tetapi juga ekologi amnya termasuk Orang Asli yang mendiami hutan berkenaan.

Menerusi program tersebut, peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah berumur antara enam hingga 17 tahun memperoleh pengetahuan asas tentang Hutan Hujan Tropika, mempunyai kesedaran tinggi dalam melindungi dan memulihara hutan, belajar berfikir ke arah penyelesaian isu permuliharaan alam semula jadi khazanah negara dan mengembangkan ilmu yang diperoleh kepada rakan sekolah dan rakan sebaya.

Pelajar dibawa melihat ke lapangan sebenar untuk melihat hutan tropika semula jadi dan memahami apa itu hutan tropika semula jadi, peranannya kepada manusia dan kehidupan serta kelastariannya. Menerusi aktiviti amali dalam hutan, merentasi lereng bukit dan menaiki bot merentasi tasik yang luas, peserta melibatkan diri secara langsung dengan alam semula jadi, memberi pengetahuan dan melatih mereka berfikir tentang pembangunan yang lestari dan pemuliharaan. Dalam pembelajaran sains pelajar terlalu didedahkan kepada teknologi dan sains fizikal.

Mereka kurang diberikan pengalaman tentang sains alam semula jadi yang hijau.

Tidak hairanlah generasi sekarang kurang menghayati kepentingan alam semula jadi yang mengakibatkan hutan diterokai untuk pembangunan dan kurang kreatif dalam pemuliharaan sumber semula jadi. Mudah-mudahan program Green Ranger inisiatif PBF ini membentuk generasi baharu dalam pemuliharaan.

Apabila pelajar berada dalam ekosistem hutan sebenar yang kompleks, mereka dibimbing untuk memahami bagaimana interaksi antara faktor biotik dan abiotik berperanan menjadikan ekosistem Hutan Hujan Tropika unik dan berfaedah kepada manusia.

Konsep pembelajaran dalam perkhemahan yang dijalankan ini memberikan pelajar pengetahuan, kemahiran berfikir, kreatif dan kritis iaitu pelajar menggunakan minda untuk memahami sesuatu dan mencari penyelesaian.

Sebagai contoh, apakah penilaian mereka apabila melihat fenomena dan struktur tumbuhan hutan dan haiwan seperti burung serta serangga.

Pokok-pokok yang memanjat pokok lain untuk mendapatkan cahaya dan memahami tentang adaptasi pokok untuk mendapat cahaya kerana cahaya diperlukan untuk fotosintesis.

Menerusi pengetahuan asas dalam bilik darjah, pelajar dapat mengaitkankan dengan kehidupan.

Begitu juga apabila pelajar melihat kawasan lapang di bawah pokok yang rendang seperti rumpun pokok bertam. Kurang anak-anak pokok yang tumbuh di bawahnya.

Pelajar juga belajar tentang peranan daun-daun tua yang gugur dan mereput menjadi baja.

Begitu juga peranan serangga dalam pendebungaan dan kawasan parasit.

Di dalam hutan semula jadi, tidak ada baja dan racun serangga diberikan namun pelbagai jenis pokok dapat hidup dengan subur.

Banyak contoh lain boleh dilihat dan dikaitkan dengan apa yang di pelajari dalam bilik darjah terutamanya apabila dikaitkan dengan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

Aktiviti perkhemahan menjadikan pelajar lebih kreatif, kerja berkumpulan, berkongsi idea, membentuk jati diri, kepimpinan dan banyak lagi kemahiran insaniah yang boleh diterapkan dalam perkhemahan alam semula jadi melalui modul yang direka bentuk dengan baik.

Kemahiran berfikir secara kritis ialah kebolehan untuk menilai kemunasabahan sesuatu idea dan bersifat evaluatif manakala kemahiran berfikir secara kreatif ialah kebolehan untuk mencerna idea asli dan bersifat generatif.

Dalam menyemai sifat berfikir secara saintifik kedua-dua kemahiran ini sangat penting.

Banyak persoalan dan hipotesis dapat diketengahkan. Misalnya jujukan soalan tentang pokok memanjat tadi.

Kenapa pokok memanjat? Kenapa memerlukan cahaya matahari? Daripada mana oksigen untuk keperluan haiwan bernafas?

Pelajar akan berasa perbezaan dari segi kesegaran udara di hutan hujan tropika berbanding dengan bandar raya seperti Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Pulau Pinang.

Soalan-soalan seperti apa dia, mengapa, bila, di mana dan bagaimana melatih pelajar mencari jawapan melalui pemikiran yang kreatif dan kritis. Kemahiran mencirikan, membezakan dan mengkelaskan diikuti memberikan alasan membangunankan keupayaan berfikir pelajar.