Aktiviti pendidikan mengenai hutan dan alam sekitar sangat penting dan seharusnya melibatkan pelbagai golongan lapisan masyarakat termasuklah golongan kelainan upaya.

Oleh demikian, Program Pendidikan Alam Semula Jadi (PPAS) untuk pelajar sekolah bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) kategori masalah pembelajaran yang dicadangkan adalah untuk kanak-kanak kategori kelainan upaya masalah pembelajaran yang bersekolah di sekolah-sekolah di daerah Sepang, Selangor.

Tujuan aktiviti adalah untuk mendedahkan murid-murid PPKI kepada persekitaran dan kepelbagaian sumber hutan, di samping membantu meningkatkan keyakinan diri.

Program yang dicadangkan ini adalah siri permulaan kepada program pendidikan alam semula jadi yang berterusan khusus untuk PPKI daerah Sepang.

Program ini diharap dapat menjadi perintis kepada penghasilan modul pendidikan hutan atau alam semula jadi kepada golongan kelainan upaya kategori masalah pembelajaran yang lebih baik pada masa hadapan serta pembentukan jaringan bersama sekolah pendidikan khas yang peka dan aktif dalam aktiviti pendidikan alam sekitar.

Justeru pihaknya berharap, menerusi program PPAS PPK itu peserta berupaya untuk mengenali elemen-elemen asas alam semula jadi hutan, memahami perkaitan dan saling kebergantungan hidupan flora fauna terhadap elemen, elemen asas alam semula jadi, berkomunikasi dengan lebih efektif dan mampu bekerjasama dalam kumpulan serta menghargai fungsi dan peranan hutan serta alam semula jadi.

Beri impak positif

MENURUT Pengarah Program Pendidikan Alam Semula Jadi (PPAS), Dr. Norzanalia Saadun, idea menganjurkan program tersebut tercetus setelah pihaknya terfikir untuk memberi pendedahan kepada golongan murid-murid mengenai alam sekitar.

"Belum ada program pendidikan yang membawa murid-murid keluar dari bilik darjah dan masuk ke kawasan alam semula jadi iaitu hutan untuk belajar subjek berkenaan sains, alam sekitar dan sosial," ujarnya.

Kata beliau, menyedari murid-murid PPKI mengalami pelbagai kesukaran untuk belajar seperti daya tumpuan yang singkat, susah mengingat dan menganalisis dan sukar berkomunikasi, Fakulti Perhutanan UPM mengambil inisiatif untuk mengadakan program yang ditujukan khas untuk golongan berkenaan.

Membawa pelajar keluar dari bilik darjah dan belajar di dalam suasana hutan sedikit sebanyak dapat membantu mereka untuk lebih mudah memahami sesuatu konsep yang mungkin sukar diterangkan di dalam bilik darjah.

Kata beliau lagi, program tersebut dimulakan sejak tahun 2016 dan sehingga tahun ini, sebanyak lima sesi program telah dianjurkan hasil sokongan dan kerjasama Jabatan Pendidikan serta sekolah, dan sumbangan swasta serta individu.

Sepanjang tempoh penganjuran sebanyak 10 buah sekolah dari Putrajaya dan daerah Sepang menyertai program ini.

Program tersebut berjaya memberi impak yang positif kepada murid-murid PPKI.

Ia berjaya menimbulkan minat dan keseronokan untuk belajar berkenaan alam semula jadi serta berupaya membentuk sikap lebih prihatin terhadap persekitaran alam semula jadi.

Selain itu, program itu turut memberikan inspirasi kepada guru-guru yang untuk lebih banyak membuat aktiviti lapangan semasa mengajar.

Sambutan baik daripada ibu bapa juga turut mendorong kelangsungan program.

Sebelum ini ibu bapa agak gusar untuk melepaskan anak-anak istimewa mereka masuk ke dalam hutan untuk belajar.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Fakulti Perhutanan UPM, Dr. Ummi Hani Abdullah berkata, hasil tinjauan bersama guru, aktiviti yang dijalankan sepanjang program sangat berkesan dalam membantu perkembangan kognitif murid dalam pembelajaran ilmu alam semula jadi.

"Ia juga merangsang deria murid terhadap persekitaran alam semula jadi dan meningkatkan fokus serta kemampuan berkomunikasi dalam kalangan pelajar," ujarnya.