Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Gajah spesies terancam

 3

Gajah merupakan haiwan terbesar yang hidup di darat. Gajah mempunyai belalai yang panjang, telinga yang lebar dan kaki yang besar. Ada dua kumpulan gajah di dunia iaitu Gajah Afrika dan Gajah Asia yang tinggal di benua yang berbeza. Gajah Asia lebih kecil jika berbanding dengan Gajah Afrika. Gajah Afrika mempunyai gading yang besar pada kedua-dua gajah jantan dan betina, manakala hanya sebahagian Gajah Asia jantan mempunyai gading.

Lebih kurang 50 peratus Gajah Asia betina mempunyai gading yang pendek. Gajah Afrika dapat dikenal pasti dengan telinganya yang lebar dan bentuk telinga gajah seakan-akan benua Afrika, manakala Gajah Asia telinganya lebih kecil bulat di atas dan rata di bahagian bawah. Telinga gajah penting dalam kawalan haba tubuh gajah yang besar.

Gajah diburu kerana gadingnya. Gading gajah digunakan untuk membuat barangan perhiasan, sebahagian barang kemas wanita, alat cap, bahagian daripada peralatan muzik dan banyak lagi keperluan dan kegemaran manusia. Walaupun perburuan gajah untuk gading banyak berlaku di Afrika, gajah juga di buru untuk gading di Asia. Pada tahun 1989, Konvensyen Antarabangsa Perdagangan Spesies Terancam (CITES) mengharamkan perdagangan gading dan pemburuan gajah untuk gading.

Walaupun perburuan gajah secara amnya sudah diharamkan, pemburuan Gajah Afrika untuk gadingnya masih lagi aktif.

Ribuan Gajah Afrika yang masih diburu setiap tahun untuk gadingnya. Berdasarkan rekod, China merupakan pengguna terbesar barangan berkaitan. Gajah Asia juga tidak terlepas daripada aktiviti pemburuan haram.

Banyak negara Afrika menunjukkan kehilangan gajah yang mendadak akibat kemusnahan habitat dan perburuan haram.

Kebanyakan negara besar di dunia termasuk Amerika Syarikat dan Perancis mengharamkan perdagangan gading gajah hampir sepenuhnya. China juga yang merupakan negara tertinggi permintaan gading gajah turut mengharamkan import gading gajah.

Bagi mengawal masalah perburuan haram gajah, perdagangan gading dan pemuliharaan umumnya, maka Hari Gajah Sedunia disambut.

Hari Gajah Sedunia bertujuan bagi menarik perhatian dunia pada 12 Ogos setiap tahun menyokong program pemuliharaan gajah. Sejak sambutan Hari Gajah Sedunia mula diadakan pada 2012, masih banyak perkara yang perlu dilakukan tentang kesedaran pemuliharaan gajah dalam kalangan masyarakat.

Semua pihak daripada orang perseorangan, peminat gajah dan produk berasaskan gajah, badan bukan kerajaan (NGO), ahli perniagaan, kerajaan dan ahli sains perlu bersama menggembleng tenaga mengikut kemampuan masing-masing bagi memastikan pemuliharaan gajah berada pada tahap yang terbaik. Di Malaysia sambutan Hari Gajah Sedunia 2017 disambut di Kuala Gandah, Pahang, baru-baru ini.

Banyak isu yang menjadi fokus dalam perbincangan Hari Gajah Sedunia. Antaranya adalah perburuan untuk gading gajah dan perlindungan habitat mereka.

Lebih kurang 27,000 Gajah Afrika masih dibunuh untuk gadingnya, manakala Gajah Asia juga tidak terkecuali.

Gajah Asia di Myanmar misalnya perburuan haram masih dilaporkan. Myanmar adalah negara yang mempunyai populasi Gajah Asia yang tinggi.

Dalam tempoh 50 tahun populasi gajah terus menurun dengan mendadak.

Antara ancaman dihadapi gajah di Myanmar ialah menangkap gajah untuk industri pembalakan, kemusnahan habitat akibat daripada pembalakan haram dan pemburuan haram untuk gading, daging dan bahagian lain gajah. Penangkapan anak gajah untuk dilatih bagi tujuan industri pelancongan juga antara ancaman. Aktiviti pembunuhan gajah terus berlaku walaupun kerajaan Myanmar telah mengharamkan secara rasmi pada tahun 1994.

Menurut International Zoo Yearbook 2006, Myanmar mempunyai kawasan keliaran gajah seluas 115,000 kilometer (km) persegi dengan bilangan gajah sebanyak antara 4,000 hingga 5,000 ekor. Jumlah gajah dalam kurungan atau dijinakkan melebihi 5,000 ekor.

Gajah menggunakan belalai untuk mengangkat barang, membuat bunyi bising, minum, bau dan mengawal suhu badan.

Apabila panas Gajah Afrika akan menyedut air dan siram badannya menggunakan belalai. Berdasarkan National Geographic, belalai gajah mempunyai lebih daripada 100,000 otot. Kulit gajah boleh mencapai ketebalan satu inci tetapi masih sensitif kepada matahari. Gajah selalu melindungi kulitnya dengan lumpur atau debu.

Gajah menggunakan gading untuk mempertahan diri, menyerang, mengorek, mengangkat, mengumpul makanaan, mengoyak kulit pokok dan melindungi belalai yang sangat penting bagi gajah. Gajah juga menggunakan gading di samping belalai dan kaki untuk mengorek tanah bagi mendapatkan air semasa kemarau. Gading yang selalu digunakan nampak lebih lusuh.

Gading gajah merupakan satu set gigi yang istimewa yang terus tumbuh sepanjang hayat mereka. Kadang-kadang gading gajah patah hasil daripada pergerakan semula jadi seperti mengorek, menolak pokok atau bergaduh dengan gajah lain. Gading gajah akan terus tumbuh sekiranya pangkalnya masih ada.

Gajah di Thailand adalah jenis Gajah Asia dari spesies Elephas maximus indicus. Gajah merupakan ikon penting bagi negara Thailand yang telah memberikan impak kepada budaya dan ekonomi negara. Pada tahun 1900-an dianggarkan sebanyak 100,000 gajah di Thailand dijinakkan. Pada pertengahan 2007 dianggarkan 3,456 ekor gajah jinak di Thailand manakala lebih kurang 1,000 gajah liar. Pada tahun 1986 gajah di Thailand sudah diisytiharkan terancam.

Pada tahun lepas sahaja banyak gading dimusnahkan akibat daripada pembunuhan dan perdagangan gading gajah berterusan. Misalnya di Thailand 2,100 kg, Sri Lanka (1,500 kg), Malawi (2,600 kg) , Itali (400 kg) Malaysia (9,550 kg), Cameroon (2,000 kg) dan Kenya (105,000 kg).

Gajah Sumatera (Elephas maximus sumatranus) adalah satu lagi subspesies Gajah Asia yang asli di Indonesia. Pada tahun 2011, IUCN mengistiharkan Gajah Sumatera sangat terancam. Gajah ini berkurangan sebanyak 80 peratus dalam masa 75 tahun kebelakangan. Spesies ini terancam oleh kemusnahan habitat gajah dan perburuan haram. Lebih 70 peratus habitat gajah di Sumatera telah musnah dalam masa 25 tahun.

Gajah di Semenanjung Malaysia daripada spesies Elephas maximus indicus adalah merupakan spesies yang sangat terancam.

Di Semenanjung Malaysia dilaporkan kurang daripada antara 1,200 hingga 1,500 ekor di habitat liar. Gajah di Semenanjung Malaysia didapati di kawasan tanah pamah negeri-negeri Pahang, Perak, Kelantan, Kedah, Johor dan Negeri Sembilan.

Konflik gajah manusia

Konflik manusia dengan gajah bermula sejak lama dahulu. Pada 1950 kerajaan mula menguruskan konflik gajah ini sehinggalah pembukaan tanah secara agresif apabila bermulanya skim Felda dan Felcra. Jabatan Taman Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) selalunya menghalau atau memindahkan gajah yang mengganggu tanaman ke tempat lain.

Malaysia dipisahkan oleh Laut China Selatan dan mempunyai dua subspesies gajah. Di Semenanjung Malaysia dipanggil Gajah Asia Elephas maximus indicus, manakala di Borneo di kenali sebagai Gajah Kerdil Borneo, Elephas maximus borneensis. Ia juga dikenali sebagai Gajah Kalimantan di Indonesia. Kajian asid deoksiribonukleik (DNA) Gajah Kerdil Borneo menunjukkan persamaan genetik dengan kelompok asal gajah tanah besar Asia dan Sumatera. Kajian DNA ini menunjukkan Elephas maximus borneensis merupakan subspesies Gajah Asia. Gajah ini boleh didapati di timur Sabah dan utara Kalimantan. Gajah ini mungkin telah berpisah dengan Gajah Asia lebih 300,000 tahun dahulu.

Gajah Kerdil Borneo yang berusia enam bulan mempunyai ketinggian 1.5 meter, sementara gajah dewasa yang berusia 5 tahun boleh mencapai ketinggian 2.4 meter dengan berat badan kurang dari 1,800 kilogram. Gajah kerdil ini merupakan herbivora yang memakan pokok jenis palma, rumput dan pisang. Mereka memakan lebih kurang 150 kg tumbuhan sehari.

Seperti gajah lain juga sebagai tambahan mereka memerlukan garam galian. Gajah kerdil ini melahirkan anak seekor sekali, boleh melahirkan 7 ekor sepanjang hayatnya dan boleh melahirkan anak setiap empat hingga enam tahun. Tempoh buntingnya adalah antara 19 hingga 22 bulan dan tempoh menyusu anak tiga hingga empat tahun.

Gajah boleh hidup antara 60 tahun di habitat semula jadi dan 80 tahun dalam kurungan. Gajah kerdil hidup berkumpulan diketuai gajah betina dewasa atau ibu gajah diikuti anak-anak, dan jantan yang belum matang. Gajah jantan selalunya bergerak dalam kawasan yang lebih luas bertindih dengan kumpulan lain. Ini penting untuk kepentingan genetik populasi gajah dalam sesuatu kawasan.

Di Sabah, gajah ini selalunya terdapat berhampiran Sungai Kinabatangan. Dana Sedunia Alam Semula jadi (WWF) menganggarkan gajah ini dalam linkungan 1,500 ekor di habitat liar Sabah.

Aktiviti pembalakan, pemburuan dan pertanian didapati mengganggu populasi gajah di Sabah.

Kajian aktiviti harian Elephas maximus borneensis di Sabah menggunakan satelit menunjukkan kawasan legar gajah ini terhad di kawasan hutan sekunder tanah rendah dan lembah-lembah 300 meter (m) dari paras laut.

Gajah memerlukan kawasan yang luas dan dengan nisbah jantan betina yang sesuai. Kekurangan kawasan keliaran mereka menyebabkan konflik dengan manusia.

Di Semenanjung Malaysia, pengurusan gajah bawah tanggungjawab Perhilitan. Perhilitan telah menubuhkan Pusat Pemuliharaan Gajah Kebangsaan pada tahun 1989 untuk memulakan program perpindahan gajah pada tahun 1974.

Gajah yang bermasalah seperti mengganggu tanaman, konflik dengan manusia atau hilang dari kumpulan gajah dipindahkan ke habitat yang lebih selamat dan sesuai seperti Hutan Simpan Royal Belum, Taman Negara dan Taman Negara Endau Rompin.

Lebih 40 tahun pasukan ini telah dapat membantu mengurangkan konflik gajah dan manusia dengan memindahkan lebih daripada 700 gajah liar.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain