Terbaharu agensi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar itu menganjurkan program Ceramah Biodiversiti yang bertema, Pemuliharaan Mamalia di Malaysia di kampus institut berkenaan, di Kepong baru-baru ini.

Menariknya, dua pakar fauna terkenal, Dr. Lim Boo Liat dan Prof. Datuk Dr. Tajuddin Abdullah masing-masing membentangkan tajuk penyelidikan Pengalaman Dari 1947 sehingga sekarang dan Biodiversiti, Biogeografi dan Evolusi.

Boo Liat yang merupakan bekas pakar zoologi Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Kementerian Kesihatan dianggap sebagai perintis bidang zoologi di Malaysia.

Beliau telah mendedikasikan kerjaya profesionalnya dalam penyelidikan bioperubatan berkaitan haiwan kecil dan penyakit zoonotik seperti scrub typhus, leptospirosis dan penyakit hawar hitam. Beliau juga merupakan perunding kehormat zoologi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia.

Tajuddin pula merupakan pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), juga merupakan Pengarah Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari (IBTPL).

Dalam pada itu, Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod berkata, objektif penganjuran program tersebut adalah sebagai platform perkongsian ilmu dan pengalaman mengenai konservasi mamalia di Malaysia bersama individu berkepentingan dan masyarakat.

Program tersebut juga bertujuan mengukuhkan kerjasama dengan pihak berkepentingan dalam meningkatkan usaha konservasi fauna di negara ini.

“Kita sedia maklum, penyelidikan flora dan fauna adalah satu proses yang dinamik.

“Saya dimaklumkan sebanyak 37 organisasi yang merangkumi agensi-agensi kerajaan, universiti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah dijemput untuk menghadiri program ini.” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian pada ucapan perasmian Ceramah Biodiversiti di kampus FRIM Kepong baru-baru ini. Teks ucapannya telah dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FRIM, Dr. Khali Aziz Hamzah.

Yang turut hadir, Pengarah Biodiversiti Hutan FRIM, Dr. Lillian Chua dan Ketua Cawangan Zoologi, Mohammad Shahfiz Azman.

Program tersebut yang dihadiri hampir 200 peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai kementerian, Perhilitan, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), IMR, penyelidik FRIM, pakar-pakar, ahli-ahli akademik, dan wakil NGO serta universiti.

Katanya lagi, Bahagian Biodiversiti Hutan FRIM mengenal pasti kepentingan dan keperluan cawangan yang bertanggungjawab dalam menjalankan penyelidikan fauna khususnya Cawangan Zoologi. Cawangan tersebut menjalankan kajian fauna bermula dari bidang taksonomi sehingga pengurusan landskap yang melibatkan ekosistem yang lebih besar seperti Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) dan Central Forest Spine (CFS).

Maklumat penyelidikan yang diperoleh dikongsi bersama semua pihak berkepentingan melalui jurnal, prosiding, poster dan risalah.

Program anjuran Cawangan Zoologi Biodiversiti Hutan FRIM itu adalah yang pertama dalam satu siri Ceramah Biodiversiti yang akan diadakan untuk menggalakkan perkongsian pengetahuan, pengalaman, status terkini dan hala tuju berkaitan isu-isu biodiversiti, ekologi serta pemuliharaan di negara ini.

Di samping itu, menurut Abd. Latif lagi, FRIM juga merupakan habitat bagi pelbagai spesies fauna.

Menurutnya, sehingga kini, penyelidik FRIM berjaya merekodkan mamalia sebanyak 58 spesies, burung (185 spesies), amfibia (32 spesies) dan reptilia sebanyak 82 spesies reptilia di kampus FRIM.

Antara spesies yang terancam adalah tenggiling (Manis javanica), kongkang/ kera duku (Nycticebus coucang) dan kubung (Gelopterus variegatus).

Usaha FRIM untuk mendapatkan status Tapak Warisan Dunia (WHS) Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa Bangsa Bersatu (UNESCO) akan turut menyumbang kepada pemeliharaan dan kelestarian kepelbagaian biologi termasuk flora dan fauna di kampus FRIM.Walau bagaimanapun, usaha ini tidak mungkin tercapai tanpa sokongan dan dorongan.

“Saya berharap agar perkongsian maklumat berkaitan konservasi mamalia di Malaysia serta cabaran yang dihadapi termasuk kepupusan spesies-spesies mamalia besar seperti badak Sumatera, perubahan guna tanah yang pesat, fragmentasi hutan, penyakit zoonotik dan kemalangan jalan raya akan mencetuskan idea dan cadangan yang dapat diguna pakai dalam penggubalan polisi bagi menangani isu-isu ini.

“Saya juga berharap agar sesi-sesi dialog seperti ini diadakan dengan lebih kerap pada masa akan datang dan banyak lagi topik yang dapat dibincangkan,” ujarnya.

Setakat ini, FRIM terlibat dengan beberapa penyelidikan fauna yang tertumpu kepada vertebrata bersaiz sederhana dan kecil termasuk:

 

1. Pemantauan Kepelbagaian Biologi Vertebrata Terpilih di Kawasan-kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).

Objektif utama kajian ini adalah mengenal pasti vertebrata yang wujud di kawasan sensitif alam sekitar, di samping membangunkan parameter biologi bagi pengkelasan kawasan sensitif alam sekitar di Malaysia. Hal ini jelas berdasarkan Dasar 22, Rancangan Fizikal Negara Kedua yang menetapkan bahawa KSAS perlu diintegrasikan dalam perancangan dan pengurusan guna tanah dan sumber alam semula jadi.

Perkara ini turut ditekankan dalam Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (2016-2025), bawah Sasaran 3 yang menyatakan bahawa konservasi ke atas biodiversiti perlu diarusperdana kan dalam perancangan di peringkat negeri dan nasional menjelang 2025.

2. Kajian Vertebrata Kecil di Koridor-Koridor Ekologi CFS Terpilih Di Semenanjung Malaysia.

Terdapat 37 koridor ekologi yang telah dikenal pasti di seluruh Semenanjung Malaysia. Walau bagaimanapun, maklumat vertebrata kecil dan sederhana di koridor ekologi ini masih berkurangan.

Oleh demikian, projek tersebut menyasarkan agar sekurang-kurangnya maklumat vertebrata kecil di 11 koridor ekologi dapat dikumpul menjelang 2020.