Kelulusan penubuhan FRIM Inc. merupakan satu lonjakan harapan dan cabaran baru ke arah usaha pengkomersialan daripada dapatan penyelidikan berasaskan hutan dan hasilan hutan.

“Ini membuktikan usaha FRIM selama ini diiktiraf dan dihargai kerajaan apatah lagi dalam usaha mempercepat bidang bioekonomi sebagai pencetus baharu kekayaan negara.

“Suka atau tidak, kita perlu bergerak segera dalam memastikan bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) mampu menjadi teras kepada kemajuan negara dalam erti kata sebenar yang boleh diaplikasi dan diperdagang dalam perspektif seimbangkan kemajuan tanpa mengorbankan kemampanan sumber asli dan alam sekitar yang kita miliki.’’

Itulah antara harapan dan cabaran yang dikongsikan oleh ketua pegawai eksekutif syarikat tersebut, Mohd. Shahidan Mohamad Arshad dalam satu pertemuan di pejabatnya dalam kampus FRIM di Kepong, Kuala Lumpur baru baru ini.

FRIM Inc. dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Kepong baru-baru ini. FRIM merupakan agensi bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE).

Yang turut hadir menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar; timbalan menteri, Datuk Ir. Dr Hamim Samuri; Ketua Setiausaha NRE yang juga Pengerusi FRIM, Datuk Seri Azizan Ahmad dan Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod.

Usaha tersebut boleh disimpulkan secara mudah bahawa FRIM berada pada landasan betul dalam usaha pengkomersialan R&D dan seterusnya mampu menjana pendapatan sendiri .

FRIM bertuah kerana memiliki aset perhutanan yang banyak dan boleh dimanfaatkan untuk tujuan penyelidikan.

Berdasarkan sejarah, penyelidikan perhutanan di negara ini bermula seawal tahun 1894 dengan kajian untuk membuat pelapik rel (railway sleepers) di Sentul, Kuala Lumpur.

Usaha memindahkan stesen penyelidikan tersebut ke Kepong bermula sekitar tahun 1920-an. Ketika itu, kampus berkenaan merupakan kawasan bekas lombong yang diusahakan sebagai kebun sayur.

Petak percubaan penanaman pokok yang diusahakan ketika penubuhan kampus FRIM itu berjaya membangunkan sebuah kawasan hutan tropika buatan manusia yang terbesar di dunia.

Beliau berkata, pada masa ini, penyelidik FRIM akan berfungsi sebagai ‘kakitangan syarikat’ yang akan berperanan sebagai pakar runding bagi menggerakkan syarikat membantu pelanggan mereka, manakala fasiliti yang ada akan membantu ke arah tersebut.

Dengan kepakaran dan kemudahan tersebut, FRIM Inc. mempunyai kekuatan bekerjasama dan membantu pelanggan merancang pelan perniagaan dan mengkomersialkan produk yang berpotensi untuk dipasarkan.

“Selama ini banyak penyelidik FRIM menghasilkan produk, tetapi berdepan cabaran untuk dikomersialkan.

“Begitu juga penyelidikan luar yang ingin mendapat kepakaran FRIM, kita bantu mereka merealisasikan hasrat untuk mengembangkan produk yang boleh dikomersialkan .

“Kehadiran kita bukan untuk bersaing tetapi sama-sama membantu syarikat merancang pelan perniagaan,’’ ujarnya lagi.

FRIM Inc. juga kata beliau, menawarkan khidmat perundingan kepada mana-mana pihak terutama pemegang taruh (stakeholders) serta bidang-bidang lain seperti pembangunan produk daripada ekstrak, produk kayu dan perabot buluh serta pengurusan hutan bandar dan ekopelancongan.

Menurut beliau lagi, usaha tersebut juga sekali gus merapatkan hubungan dengan pelbagai pihak dan mampu menjana keuntungan berkonsepkan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Mekanisme kerjasama tersebut, kata beliau, menerusi memorandum persefahaman (MoU), memorandum perjanjian (MoA) dan khidmat perundingan.

“Sebelum ini, semua usaha tersebut telah pun sejajar dengan misi dan visi penubunan FRIM tetapi peranan kita lebih menyeluruh dan meliputi pelbagai aspek yang akhirnya memberi manfaat kepada masyarakat,‘’ ujarnya.

Sebagai agensi kerajaan yang menerima bantuan dalam bentuk dana adalah jelas matlamat akhir adalah apa sahaja yang diusahakan adalah untuk kebaikan masyarakat.