Penjenayah seboleh-bolehnya mahu menghapuskan bukti dengan sebaik mungkin dengan pelbagai cara.

Antara yang paling popular adalah dengan menanam mayat mangsa pembunuhan sama ada di dalam tanah mahupun konkrit.

Bagaimana pihak berkuasa mahu mengesan kedudukan mayat mangsa sekali gus mendapatkan bukti yang kukuh bagi mendakwa penjenayah tersebut?

Terbaharu, pihak berkuasa mendapatkan perkhidmatan Radar Penembusan Bahan (GPR) hasil inovasi penyelidik Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia), Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi membantu mereka.

Menurut Pengarah Bahagian Teknologi Industri (BTI) Nuklear Malaysia, Dr. Mohamad Pauzi Ismail, GPR yang dihasilkan adalah bagi mengesan objek atau struktur di bawah tanah atau di dalam bahan-bahan seperti konkrit.

“Teknologi yang sama membolehkan kita memetakan struktur bawah tanah bagi menentukan kedudukan air atau objek-objek yang tertentu.

“Teknologi GPR bukanlah baharu atau asing dalam bidang radar namun pemahaman dan proses mengendali analisis data selepas ujian yang dilaksana memerlukan tenaga pakar seperti yang ada di Nuklear Malaysia,” katanya.

Beliau menyatakan demikian semasa menunjukkan demonstrasi penggunaan GPR yang turut dihadiri pegawai penyelidik, Mohamad Ridzuan Ahmad dan pelatih, Maydatul Husna di Bangi baru-baru ini. GPR menggunakan alat Radar Penembusan Tanah iaitu teknik forensik menggunakan teknologi nuklear.

Jelasnya apabila GPR diperkenalkan pada tahun 2005 untuk menjalankan kajian ketebalan tanah di kawasan pembuangan sampah.

Setelah itu, perkhidmatan GPR turut diguna pakai dalam pelbagai lagi aktiviti berkaitan arkeologi di kawasan bersejarah Long Jaafar, 2005 dan bekerjasama dengan Muzium Cangkat Menteri, Perak, 2006.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya bagaimanakah konsep GPR yang sebenarnya.

GPR sebenarnya adalah satu teknik ujian tanpa musnah (NDT) iaitu penyelidik tidak perlu mendapatkan sampel atau memusnahkan kawasan yang diuji.

Kaedah ini amat sesuai digunakan dalam pengesanan dan penentuan kedudukan kecacatan yang boleh terjadi di dalam struktur konkrit yang diperkuat atau konkrit biasa.

Sekiranya kecacatan yang terdapat di dalam konkrit boleh dikesan dengan mudah, pastinya kehadiran benda asing di dalamnya juga mudah untuk ketahui.

Teknologi yang sama juga boleh digunakan bagi mengesan lohong atau rongga, mengesan kawasan tanah mendap,

Kebocoran paip, pengesanan laluan paip dan pelbagai aktiviti berkaitan bawah tanah.

GPR juga boleh digunakan dalam bidang lain selain industri pembinaan antaranya adalah geofizik, arkeologi, pengesanan utiliti, pengukuran ketebalan lapisan alsfalt, pengesanan objek di dalam tanah serta membantu siasatan forensik pihak berkuasa.

Teknologi tersebut menggunakan gelombang mikro yang mempunyai aplikasi tidak terbatas kepada bidang geofizik sahaja.

Kadang-kala GPR juga turut dikenali sebagai radar impuls atu radar sahaja yang membawa singkatan daripada Pengesanan Radio dan Jarak (Radio detection and ranging).

Radar tersebut (GPR) merupakan analogi elektromagnetik kepada bidang sonik atau diistilahkan sebagai ultrasonik denyut gema.

Keberkesanan radar adalah bergantung kepada penembusan gelombang elektromagnet dalam menembusi bahan dengan pemalar dielektrik yang berbeza.