Namun, sikap manusia yang tamak dan mementingkan diri sendiri dengan melakukan aktiviti perburuan, pembalakan secara haram mahupun proses pembangunan menyebabkan kebanyakan spesies haiwan terancam kehilangan habitat yang sesuai sehingga mereka mati atau mencerobohi kawasan penempatan manusia serta berhadapan bahaya dengan menjadi mangsa pemburuan manusia.

Justeru, Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) baru-baru ini melancarkan Program Konservasi Beruang Madu atau turut dikenali sebagai beruang matahari dalam usaha menyelamatkan hidupan liar itu daripada ancaman aktiviti pemburuan, pemerdagangan dan perubatan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad berkata, program secara komprehensif yang pertama seumpamanya di negara ini memberi tumpuan kepada pengurusan, penyelidikan dan mewujudkan kesedaran tentang beruang matahari.

Pemilihan beruang matahari itu ekoran terdapat potensi konservasi yang tinggi berbanding spesies lain yang terancam seperti harimau, badak sumatera iaitu potensi konservasi spesies berkenaan semakin tipis.

Selain itu, faktor kejadian beruang matahari yang memasuki ladang-ladang FGV dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mendorong FGV memilih haiwan berkenaan sebagai salah satu projek bagi menjayakan misi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Kami memilih haiwan unik ini kerana ia merupakan beruang paling kecil di dunia dan hanya terdapat di Asia Tenggara termasuk Malaysia.

“Jika China menganggap beruang panda sebagai ikon negara mereka, kita sepatutnya berbangga kerana turut memiliki spesies unik seperti beruang matahari,” katanya selepas Majlis Pelancaran Program Konservasi Beruang Matahari di Felda Residence Trolak, Perak baru-baru ini.

Yang turut hadir Timbalan Dekan Pascasiswazah Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Talib Latif; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Fakhrul Hatta Musa dan Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Henry Goh.

Tambah Zakaria, bagi merealisasikan hasrat untuk memastikan beruang matahari diberi perlindungan dengan baik, satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani pada tahun 2015 bersama Perhilitan, UKM dan MNS.

Malah FGV bersetuju menyumbang sebanyak RM2.3 juta sepanjang program itu dilaksanakan untuk tempoh sehingga 2019.

“Program ini diurus tadbir oleh FGV bersama Jabatan Perhilitan, UKM dan MNS sebagai jawantankuasa kerja.

“Perhilitan diberi peranan dalam hal-hal berkaitan pengurusan sementara MNS dalam hal kesedaran manakala UKM mengetuai perkara berkaitan penyelidikan,” ujarnya.

Katanya lagi, hasil daripada kerjasama itu maka lahirlah program seperti Sahabat Beruang Matahari (SBM), pelancaran buku Pengurusan Beruang Matahari dan Kelestarian Alam Sekitar, seminar Projek Konservasi Beruang Matahari serta pameran berkaitan konservasi dan kelastarian.

FGV lepaskan 25 beruang matahari

FGV yang turut bekerjasama dengan Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) berjaya menyelamatkan 36 ekor beruang matahari dan 25 daripadanya berjaya dilepaskan ke habitat asal selepas melalui proses pemulihan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad berkata, ia merupakan rekod jumlah pelepasan semula beruang matahari ke habitat asal paling tinggi di dunia.

“Tahun ini sahaja sebanyak tujuh ekor beruang matahari berjaya dilepaskan dan saya yakin lebih banyak lagi akan dilepaskan tahun ini.

``Saya berharap satu hari nanti Pelan Tindakan Pemuliharaan Beruang Matahari Kebangsaan boleh digunakan di seluruh negara,” katanya lagi.

Beliau juga berharap dengan lantikan SBM membolehkan semua ahli sentiasa komited dengan tanggungjawab yang diberikan serta menjadi mata dan telinga kepada FGV, FELDA dan rakan-rakan agensi yang terlibat dalam usaha konservasi itu.

Pada majlis itu juga turut dilancarkan dua buku iaitu Pengurusan Beruang Matahari di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan dan Kelestarian Alam Sekitar serta Garis Panduan Pengurusan Beruang Matahari.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Fakhrul Hatta Musa memberitahu, beruang matahari yang ditemukan ketika memasuki ladang atau terperangkap pada jerat yang dipasang oleh pemburu haram.

“Kita selamatkan beruang-beruang tersebut, pulihkan dan sekiranya telah baik mereka akan dilepaskan semula ke habitat mereka agar dapat meneruskan kehidupan. Ada di antara beruang tersebut yang dipasang cip sistem penetuka kedudukan global (GPS) bagi membolehkan kami mengesan kedudukannya,” jelasnya. Dalam perkembangan sama, FGV turut menghasilkan produk kacang mentega yang diberi jenama Sun Bear bagi mengingati usaha membantu memberi kehidupan yang lebih baik buat beruang harimau.