Teknik belajar sains tidak lagi boleh dilakukan semata-mata di dalam kelas dengan hanya melibatkan pelajar sekolah dan guru sebaliknya perlu melibatkan segenap lapisan masyarakat agar tidak ketinggalan dan arus teknologi yang sentiasa berkembang pesat.

Justeru, langkah proaktif diambil oleh MajalahSains.com dengan kerjasama Agensi Nuklear Malaysia; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI); Agensi Angkasa Negara (Angkasa) Malaysia; dan Technology Park Malaysia menganjurkan Pertandingan Fotografi Gerhana Bulan Penuh pada 31 Januari sehingga 3 Februari lalu antaranya bertujuan meningkatkan kesedaran tentang sains, teknologi dan inovasi (STI) dalam kalangan rakyat di negara ini selain menjadi platform berkongsi hasil inovasi dan kreativiti melalui lensa fotografi.

Pada masa sama, usaha itu diharap dapat memupuk minat dalam kalangan masyarakat serta mengukur keupayaan melalui cetusan idea yang dipaparkan.

Menurut Ketua Editor merangkap pengasas MajalahSains.com, Mohd. Faizal Aziz, objektif utama pertandingan tersebut adalah bagi menggalakkan orang ramai menghayati fenomena astronomi yang berlaku di alam semesta.

Menerusi cara ini, katanya, secara tidak langsung akan mencetuskan minat orang ramai terhadap sains dan teknologi.

“Ia juga membuka ruang perbahasan dan perbincangan tentang isu-isu perkembangan semasa bidang pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) seterusnya membudayakan bidang ini dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada majlis penyampaian hadiah Pertandingan Fotografi Gerhana Bulan Penuh di ibu negara baru-baru ini, yang disempurnakan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohd. Diah.

Sementara itu, Editor MajalahSains.com selaku penganjur pertandingan, Hasfazilah Hassan berkata, ia diadakan bertujuan supaya pengetahuan dan pembelajaran sains berlaku secara tidak langsung, menyeronokkan dan berbeza berbanding kaedah yang biasa dilakukan di dalam bilik darjah.

Pihaknya tidak menjangka menerima penyertaan yang menggalakkan dalam tempoh empat hari pertandingan itu berlangsung.

“Kami menerima lebih 65 penyertaan dari seluruh negara bukan sahaja dalam kalangan pelajar malah golongan pencinta fotografi, profesional dan kelab astronomi.

“Saya berpuas hati melihat pemenang pertandingan gembira walaupun mereka datang dari jauh, namun pengalaman dan penghargaan sebegini jauh lebih berharga berbanding hadiah yang ditawarkan.

“Harapan saya agar misi kami dalam melahirkan generasi cilik Sains akan menjadi realiti,” katanya.

Dalam pada itu, Abu Bakar ketika ditemui pada majlis minum petang tersebut berkata, Pertandingan Fotografi Gerhana Bulan Penuh itu merupakan satu inovasi dalam mencari kelainan untuk menarik minat orang ramai mendalami ilmu sains.

“Selain mengambil gambar, orang ramai akan tertanya-tanya bagaimana keadaan sebenar di cakerawala.

“Apabila berbicara soal cakerawala ia secara langsung berkait dengan ilmu sains. 
Siapa sangka di cakerawala pada masa ini telah dipenuhi dengan satelit

“Inilah yang kita perlu dalami, bagaimana mahu mengurangkan ‘kesesakan’ di cakerawala dengan menghantar satelit yang telah habis riwayat untuk ke kubur. Inilah sains dan ini yang perlu kita pelajari,” jelasnya.

Tambah beliau, pertandingan seperti itu membantu memberi pendedahan kepada pelajar sekolah berhubung isu berkaitan gerhana bulan penuh yang hanya oleh dilihat pada setiap 150 tahun sekali.

Pemenang teruja

Bidang fotografi begitu diminati pelbagai golongan sehingga mendorong masyarakat di negara ini mendapat kemahiran secara formal di institusi berkaitan atau tidak formal. Mereka mendapat peluang tersebut menerusi pembelajaran di laman sesawang atau melalui YouTube.

Ternyata bagi pemilik kamera digital lensa tunggal (DSLR), ia memberi impak positif sehingga mendorong penggunanya melibatkan diri dalam bidang fotografi tanpa batasan. Ini kerana bidang fotografi juga kini dianggap mampu untuk menjana pendapatan selain minat.

Demikian pengalaman pemenang tempat pertama Pertandingan Fotografi Gerhana Bulan Penuh, Adeela Alias dari Baling, Kedah. Bermula dengan suka-suka sahaja, Adeela, 28, tidak menjangka minat dalam bidang fotografi memberi impak besar dalam hidupnya untuk terus menghasilkan karya-karya fotografi bermutu terutama dalam astronomi.

Dia yang merupakan ahli perniagaan memberitahu gambar gerhana bulan tersebut dirakam dari kawasan rumahnya menggunakan sebuah kamera yang mampu menangkap objek dari jauh seperti bulan.

“Saya memang minat mengambil gambar seperti bulan, awan dan bintang. Apabila mengetahui mengenai fenomena gerhana bulan penuh yang berlaku pada setiap 150 tahun pastinya tidak mahu ketinggalan.

“Sebelum ini banyak gambar saya rakam dimuat naik dalam laman Facebook mendapat likes dan dikongsi ramai sehingga ada dalam kalangan rakan-rakan mendorong saya menyertai pertandingan ini.

“Saya tidak menjangka pula boleh menang hadiah utama. Saya amat teruja dan akan terus berkarya pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, pemenang tempat ketiga, Tosiah Sadi, 52 dari Semenyih, Selangor berasa terharu apabila galakan daripada suaminya untuk menyertai pertandingan ini membuahkan hasil.

Katanya, dia dan suami berkongsi minat yang sama dalam bidang fotografi dan sering merakam gambar-gambar sebagai koleksi untuk dikongsi bersama anak-anak.

“Suami telah memilih tiga keping gambar untuk dihantar bagi peraduan ini dan tidak menjangka gambar pertama yang dipilih berjaya menambat hati juri.

“Alhamdulillah, bukan mudah bagi saya yang baru berjinak-jinak dalam bidang fotografi untuk menerima penghormatan seperti ini,” ujarnya.

Bagi pemenang hadiah sagu hati, Nazri Ab. Rahman, 51 dari Kuantan, Pahang dia percaya tuah memenangi hadiah sagu hati dalam pertandingan tersebut akan membawa makna besar dalam hidupnya terutama dalam bidang fotografi. Nazri yang bekerja sebagai Penolong Pegawai Hutan Daerah juga bekerja secara sambilan sebagai jurufoto perkahwinan menganggap kejayaannya hari ini akan terus mendorong dia untuk terus berjaya dalam bidang fotografi.

“Kejayaan hari ini membantu menarik kepercayaan pelanggan untuk memilih saya sebagai jurufoto pilihan untuk majlis seperti perkahwinan, hari jadi, cukur jambul dan sebagainya.

“Pertandingan ini juga sebagai platform untuk saya terus berkarya walaupun bidang ini memerlukan tahap kesabaran dan kreativiti yang tinggi,” katanya.

Adeela dan Tosiah dan beberapa pemenang sagu hati itu berpeluang minum petang bersama Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah di ibu negara baru-baru ini.