Penulis yang sebelum ini tidak pernah menjejakkan kaki di tanah rancangan, berasa begitu kagum sebaik sahaja memasuki kawasan perkampungan Felda. Berbeza sekali dengan kampung-kampung tradisional.

Sudahlah rumah milik peserta besar dan cantik, penempatannya pula tersusun rapi dengan dihiasi landskap-landskap yang indah. Begitu sedap mata memandang.

Suasananya juga sangat aman. Masyarakat peneroka di sesebuah tanah rancangan dilihat bagaikan sebuah keluarga besar, mereka hidup dalam keadaan yang begitu harmoni.

Tidak hairanlah sebahagian besar tanah rancangan yang dilawati seperti Felda Ulu Penggeli, Felda Ulu Belitong dan Felda Lok Heng Barat pernah dinobatkan sebagai juara Anugerah Keceriaan Kampung Felda (AKKF) yang menawarkan hadiah wang tunai RM1 juta.

AKKF yang dipertanding setiap tahun sejak 2007 dianugerahkan kepada tanah rancangan terbaik yang berjaya menguruskan kebersihan, keceriaan dan keindahan kawasan kampung dengan cemerlang.

Inisiatif itu bukan sahaja dilihat dapat meningkatkan kebersihan dan keindahan kampung, malah telah membentuk peneroka Felda menjadi komuniti yang bersatu padu dan harmoni.

Ternyata matlamat asal penubuhan Felda dalam membebaskan penduduk luar bandar daripada kemiskinan, sekali gus menjadikan mereka sebagai komuniti contoh, berjaya dilaksanakan.

Sesungguhnya pembukaan tanah rancangan telah membuka peluang kepada peneroka untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Walaupun pada mulanya kesemua peneroka bergantung kepada hasil perladangan, namun kini tidak lagi.

Atas keazaman kuat mahu mengubah kualiti kehidupan keluarga, sebahagian besar peneroka kini memiliki perusahaan masing-masing yang menyumbang kepada pendapatan sampingan mereka.

Seorang peneroka dari Felda Bukit Tongkat, Jaafar Subaki, 55, misalnya, menjana pendapatan sampingan dengan mengusahakan penternakan rusa.

Jaafar memulakan perusahaan itu sejak dua tahun lalu dengan bermodalkan RM60,000 bagi membangunkan kandang dan membeli enam ekor rusa.

Bapa kepada empat orang anak itu kini bukan sahaja memiliki 35 ekor rusa, malah turut menternak burung mutiara, ayam selasih, ayam belanda, burung unta dan arnab.

Menurutnya, dalam sebulan dia mampu menjual sehingga dua ekor rusa dengan seekor berharga RM3,000.

“Saya bersyukur kerana pengurusan Felda Bukit Tongkat memberi sokongan dengan membenarkan tanah kosong yang ada sini untuk saya bangunkan kandang rusa.

“Perancangan masa hadapan, saya hendak bekalkan daging sejuk beku rusa, kebetulan saya juga pembekal daging sejuk beku ayam daripada Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ),” katanya.

Dua peneroka dari Felda Lok Heng Barat, Ribon Jajri, 59, dan Jaies Ahmad, 58, pula berkongsi perniagaan mengusahakan projek ternakan ayam daging bawah Skim Insentif Usahawan Felda (SIUF).

Melalui skim itu, mereka diberi pinjaman RM400,000 untuk membangunkan reban pada 2004 dan kini, hutang pinjaman itu telah pun berjaya diselesaikan.

Menurut Jaies, dia dan Ribon mungkin tidak berpeluang memiliki perusahaan itu jika tidak menyertai Felda Lok Heng Barat yang dibuka pada 1982.

“Dulu semasa saya di kampung, tanah pun tiada, dana apatah lagi. Tapi sejak menjadi peneroka, jalan itu menjadi mudah.

“Dengan adanya projek ternakan ayam daging ini, kami dapat menjana pendapatan bersih kira-kira RM6,000 sebulan sebagai pendapatan sampingan,” ujarnya.

Seorang lagi peneroka dari Felda Lok Heng Barat, Kamal Othman, 62, telah empat tahun mengusahakan sarang burung walet.

Menurut Kamal, dia dan beberapa lagi peneroka yang melakukan perusahaan sama menjadi pembekal tetap kepada pengedar sarang burut walet di Negeri Sembilan.

“Felda banyak membantu saya. Tanah rizab yang dimohon untuk bangunkan rumah burung walet tidak sampai tiga bulan diluluskan. Saya juga mendapat pinjaman melalui SIUF.

“Alhamdulillah, saya boleh jual sehingga dua kilogram sarang burung walet ini. Sekilogram harganya lebih kurang RM2,700.

“Bagi saya, kita mesti ada wawasan untuk mengubah hidup menjadi lebih baik. Jika orang lain boleh buat, kenapa kita tidak. Soalnya ialah usaha dan bersyukur dengan rezeki yang diperolehi,” katanya.

Sementara itu, peneroka dari Felda Ulu Belitong, Kasnin Kasah, 65, pula memiliki kilang membuat mi kuning dan tauhu.

Menurutnya yang menyertai tanah rancangan itu pada 1984, jualannya dalam sebulan boleh mencecah RM9,000 bagi mi kuning dan RM10,000 untuk tauhu.

“Saya bermula dengan membuat mi kuning kira-kira 30 tahun lalu. Pada mulanya hanya bermodalkan lima kilogram tepung menggunakan alat membuat karipap, tetapi kini saya memiliki mesin yang besar hasil sumbangan Felda.

“Selain berjaya ubah kehidupan kami sekeluarga, perusahaan ini juga telah membuka peluang pekerjaan kepada warga di tanah rancangan ini,” ujarnya. - Gambar MOHD. SHAHARANI SAIBI

Generasi baharu jana ekonomi tanah rancangan

Tatkala ramai generasi baharu keluar dari tanah rancangan kerana mahu mencari peluang lebih baik di luar, namun masih ada yang percaya bahawa tanah kelahiran mereka itu mampu memberikan rezeki.

Lebih membanggakan, keputusan diambil itu adalah sebagai usaha untuk merancakkan lagi ekonomi di tanah rancangan, sekali gus menjadi kehidupan warganya lebih stabil dan makmur.

Anak peneroka Felda Ulu Penggeli, Mohd. Faizal Sulaiman, 34, berkata, dia lebih berminat untuk menjana ekonomi di tanah rancangan kerana selain sewa kedainya yang murah dan mudah mendapatkan bahan mentah untuk perusahaannya, dia mahu berbakti kepada kampung kelahirannya dengan menawarkan peluang pekerjaan.

Mohd. Faizal memiliki perusahaan membuat bingkai cermin mata kayu di bawah jenama A’Wood di Felda Ulu Penggeli sejak 2013 dan produk-produk yang dihasilkan bersama tiga orang pekerjanya bernilai antara RM200 dan RM1,000 seunit.

“Tanah rancangan Felda ini masih ekonomik, bahkan di sini terdapat banyak orang muda yang berbakat dan berkemahiran yang boleh membantu saya menguruskan perusahaan ini.

“Walaupun bengkel saya ini mungkin terletak di kawasan pedalaman, namun produk-produk yang dihasilkan telah pun terjual sehingga ke luar negara dengan menggunakan media sosial sebagai medium pemasaran,” katanya.

Seorang lagi anak peneroka dari Felda Ulu Penggeli, Mohd. Norrashidi Md. Hashim, 34, pula berkata, masih banyak perkara yang boleh dibuat generasi baharu di tanah rancangan namun mereka haruslah kreatif dan berwawasan tinggi dalam mencipta peluang tersebut.

Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Ulu Penggeli itu sendiri mengusahakan trek lumba motosikal di tanah rancangan tersebut bagi menggalakkan industri pelancongan di situ.

“Sehingga kini, kira-kira 60 kejohanan motorcross bertaraf kebangsaan dan antarabangsa telah diadakan di sini. Apabila ada acara, ramai pelawat luar akan masuk ke kampung ini. Ini sekali gus akan membuka peluang ekonomi kepada penduduk kampung.

“Saya harap generasi baharu dapat membuka mata dan tidak lupa bahawa tanah rancangan ini yang telah banyak berbakti kepada mereka sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, beliawanis dari Felda Ulu Belitong, Mastura Ramlan, 35, berkata, dia tidak mahu mengikut kebanyakan generasi baharu yang berhijrah ke luar sebaliknya mahu terus tinggal di tanah rancangan bagi membantu meningkatkan ekonomi warganya.

Pengurus Surelike Training Services Sdn. Bhd. itu bahkan mahu mengangkat warga tanah rancangan ke tahap lebih baik terutama dari segi mutu pendidikan dan modal insan waris-waris peneroka.

Surelike Training Services yang ditubuhkan sejak 2014 merupakan syarikat yang menawarkan perkhidmatan latihan dan konsultan kepada individu, agensi kerajaan serta syarikat korporat.

“Generasi baharu yang berfikir bahawa mereka tiada peluang di tanah rancangan, mereka salah. Peluang itu ada tetapi mereka perlu bijak mencarinya,” ujarnya yang juga membekalkan ayam sejuk beku daripada PPNJ.