Biotechnology Corporation Sdn. Bhd. (BiotechCorp) kini sedang berusaha gigih bagi memastikan sektor bioekonomi bakal terus berkembang lancar.

Agensi tersebut melaksanakan pelbagai program kesedaran dalam kalangan institusi kewangan, pelabur-pelabur penting, penyumbang, koridor, dan kerajaan agar terus menyokong dengan menyediakan dana secukupnya untuk sektor itu.

Menurut ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Dr. Mohd. Nazlee Kamal, bioekonomi merupakan produksi dan utilisasi berdasarkan sumber biologi, inovasi berasaskan proses biologi dan prinsip penghasilan produk dan perkhidmatan yang mampan merentasi semua sektor ekonomi.

Jelasnya lagi, penglibatan BiotechCorp pada Persidangan Bioekonomi Global di Jerman baru-baru ini merupakan kesungguhan pihaknya dalam mengembangkan bioekonomi sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Sesi Jaringan Pelaburan Bioekonomi merupakan salah satu usaha menyedarkan semua pihak akan kepentingan sektor ini.

“Sehingga kini, BiotechCorp. telah berjaya menjana pelaburan sekitar RM25 bilion dan berjaya menepati sasaran NBP (Dasar Bioteknologi Kebangsaan) sekitar RM9 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Sesi Jaringan Pelaburan Bioekonomi yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini.

Tambahnya, antara pelabur terbesar adalah Genting Elevance di POIC, Lahad Datu, Sabah, Biocon dari India, Verdezyne dari Amerika Syarikat serta Sunlight Inno Seafood yang mencecah nilai pelaburan RM5 bilion.

Pelaburan tersebut juga merupakan hasil pengenalan Program Transformasi Bioekonomi (BTP) pada 2012.

BTP merupakan program penerusan daripada NBP yang memfokus kepada industri berasaskan bio.

Program itu juga merupakan program transformasi berasaskan potensi bioekonomi bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi, inklusif dan mampan.

Menerusi BTP, bioekonomi akan memberi manfaat kepada masyarakat dan negara melalui peningkatan produktiviti agrikultur, penemuan-penemuan baharu dalam sektor penjagaan kesihatan dan pelbagai lagi seperti di negara-negara maju.

Selain itu katanya, mekanisma pelaburan dan perolehan dana yang begitu menggalakkan di negara ini dilihat dapat membantu syarikat berasaskan bio berkembang daripada berstatus tempatan kepada antarabangsa.

“Perkembangan pelaburan berasaskan bio dalam negara menunjukkan kita bergerak di atas landasan yang betul.

“Saya juga amat positif tentang masa depan bioekonomi dalam negara membangun seperti Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, program GTP juga bakal menyediakan GNI (Gross National Income) sekitar RM48 bilion serta menyediakan peluang pekerjaan sebanyak 170,000 malah turut menarik minat pelaburan sebanyak RM50 bilion lagi menjelang tahun 2020.

Antara projek yang dilaksanakan menerusi GTP adalah seperti pengembangan kilang cGMP Stearic Acid Powder dam MCT (Middle Chain Triglyceride) oleh Lipidchem Sdn. Bhd. di Masai, Johor.

Seterusnya projek Liquid Immersion Biorector Method untuk mengkomersialkan nanas MD2 oleh Agrovery Sdn. Bhd. di Gemencheh, Negeri Sembilan.

“Projek ini menggunakan teknologi kultur tisu tempatan untuk meningkatkan pengeluaran benih nanas MD2,” katanya.

Antara lain, projek pembiakan besar-besaran Haematococus pluvialis untuk penghasilan Natural Astaxanthin oleh Sciencegates Biotech Sdn. Bhd. di Kuala Muda, Kedah.

Sehingga kini, BiotechCorp telah berjaya menghasilkan hampir 267 syarikat berstatus BioNexus.