Walau bagaimanapun, beberapa kajian khas perlu dijalankan bagi mengetahui kesannya terhadap alam sekitar terutama hutan yang khusus di negara-negara tropika seperti Malaysia.

Untuk itu, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berkaitan kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang ekologi hutan tropika.

Dalam pada itu, kedua-duanya turut merasmikan projek kajian sistem Free Air CO2 Enrichment (FACE) di Stesen Penyelidikan FRIM, Jengka, Pahang.

Menurut Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod, penyelidikan sistem FACE itu nanti, apa yang diharapkan adalah lebih banyak maklumat dan pemahaman yang lebih baik berkenaan hutan tropika dalam jangka masa panjang akan diperoleh.

“Antaranya adalah persoalan kesan perubahan iklim yang berlaku ke atas ekosistem hutan khususnya pada hutan pengeluaran.”

“Keberhasilan kajian ini dijangka dapat membantu kerajaan dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) membentuk langkah-langkah adaptasi untuk melindungi hutan dari kesan perubahan iklim,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran projek penyelidikan tersebut di Jerantut, Pahang baru-baru ini.

Yang turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UKM, Prof. Dr. Mohd. Ekhwan Toriman dan Pengarah Perhutanan Negeri Pahang, Datuk Mohd. Paiz Kamaruzaman.

Jelas Dr. Mohd. Ekhwan, sistem FACE pada awalnya dipelopori penyelidik UKM dalam skala yang kecil di universiti tersebut.

“Penyelidikan awal FACE adalah bagi mendapatkan maklumat terhadap peningkatan kesan gas CO2 ke atas ekosistem hutan.

“Projek penyelidikan yang bakal dijalankan oleh penyelidik UKM dan FRIM dilihat dapat memberi maklumat bagaimana ekosistem hutan beradaptasi terhadap peningkatan gas rumah hijau, terutamanya gas CO2,” katanya.

Tambahnya lagi, sistem FACE adalah suatu sistem bagi membolehkan CO2 disuntik secara bebas kepada ekosistem hutan yang mana nasib gas CO2 tersebut mungkin akan diserap oleh tumbuhan, atau diserap ke dalam tanah, atau hilang begitu saja.

Kesan daripada penyelidikan tersebut akan melibatkan pemantauan jangka panjang dari aspek ekologi, fisiologi dan aspek-aspek lain yang berkaitan dengan tumbesaran vegetasi hutan.

Kepakaran dan pengalaman penyelidik UKM serta FRIM membolehkan lebih banyak maklumat berkaitan dengan proses adaptasi ekosistem hutan tropika berkait dengan peningkatan kesan karbon dioksida di atmosfera diperoleh dan boleh dijadikan rujukan kepada penyelidik di dalam dan di luar negara.

Bagi UKM pula, projek tersebut di ketuai Timbalan Pengarah Institut Perubahan Iklim UKM, Prof. Dr. Mohd. Nizam Mohd. Said.

FACE digunakan untuk mengkaji adaptasi habitat hutan di kawasan tertentu terhadap perubahan tahap karbon dioksida (CO2) bagi mengetahui kesan penambahan CO2 kepada ekosistem hutan.

Melalui sistem ini, penyelidik dapat memantau tumbesaran dan produktiviti hutan terhadap pertambahan CO2, serta menjalankan kajian mengenai tindak balas binatang, fisiologi tumbuhan, fenologi, tanah, mikrob dan biji benih dalam keadaan yang sama.

Melihat kepada potensi kajian tersebut yang dilihat dapat membantu melestarikan hutan negara, FRIM tampil mengembangkannya di stesen mereka pada skala yang lebih besar.

Pembinaan infrastruktur FACE di Kompartmen 84, Hutan Simpan Tekam, Jerantut, Pahang bermula pada Oktober 2016 dan siap dipasang pada 12 Februari lalu.

Lokasi tersebut dipilih kerana ia melibatkan hutan pengeluaran dan pengurusan hutan yang sebenar, sekali gus boleh menjadi contoh kepada kawasan yang lain.

Projek tersebut merupakan hasil kerjasama FRIM-UKM melalui memorandum perjanjian (MoA) yang ditandatangani pada 12 April 2016 dengan penglibatan JPSM serta Jabatan Perhutanan Negeri Pahang

Salah satu projek seumpamanya telah dimulakan di hutan milik UKM di Bangi yang dijalankan oleh Dr. Mohd. Nizam sebelum ini.

Dalam pada itu, Ketua Projek Penyelidikan FACE FRIM, Azian Mohti berkata, FACE yang dibina dalam bentuk heksagon, bersisi enam meter (m) lebar dan berketinggian 12 m.

“Ia dibina menggunakan tiang berasaskan keluli tahan karat berfungsi untuk menambah gas CO2 dalam persekitaran semula jadi.

“Infrastuktur FACE juga dilengkapi dengan penderia CO2, suhu, kelembapan dan kelajuan angin untuk menjana data dalam analisis adaptasi hutan nanti,” katanya.

Selain kajian berkaitan pelepasan gas CO2 ke persekitaran hutan, menerusi MoU tersebut terdapat beberapa bidang kajian yang turut dijalankan.

Antara bidang kerjasama dalam MoU tersebut termasuklah antaranya penyelidikan berkaitan ekologi hutan tropika, penyelidikan dalam kesan perubahan iklim terhadap ekosistem hutan, pembinaan kapasiti dan pembangunan modal insan serta menjalankan aktiviti kerjasama lain seperti mana diputuskan bersama oleh kedua-dua pihak.

Daripada sistem FACE itu diharap lebih banyak maklumat dan pemahaman yang lebih baik tentang hutan tropika dalam jangka masa panjang akan diperoleh terutama dalam beberapa persoalan perubahan iklim yang berlaku dalam ekosistem hutan khususnya hutan pengeluaran.

“Keberhasilan atau outcome kajian ini dijangka dapat membantu kerajaan dan Jabatan Perhutanan membentuk langkah-langkah adaptasi untuk melindungi hutan dari kesan perubahan iklim,” tambahnya.

Kerjasama menang-menang 

Kerjasama penyelidikan FRIM-UKM yang dijalankan selama lima tahun bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) atas projek bertajuk Penilaian Kesan Perubahan Iklim Terhadap Ekosistem Hutan dan Pembentukan Strategi Adaptasi yang Bersesuaian.

Projek itu juga melibatkan Penyelidikan dan Pembangunan Dalam Bidang Ekologi Hutan Tropika yang mana menjadi satu platform kerjasama menang-menang serta kos efektif bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang ekologi hutan tropika, kesan perubahan iklim terhadap ekosistem hutan, kerjasama dalam pembinaan kapasiti (capacity building) dan modal insan serta aktiviti penyelidikan lain yang berkaitan antara FRIM dan UKM.

Sistem FACE telah dibangunkan berhampiran Stesen Penyelidikan FRIM (SPF) Jengka di Kompartment 84 Hutan Simpan Tekam untuk memberi peluang penyelidikan dan pembelajaran kepada kedua-dua pihak dan penyelidik luar.

Kerjsama antara Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar FRIM dengan Pusat Perubahan Iklim UKM itu mengambil inisiatif menjalinkan kerjasama penyelidikan bagi mengkaji kesan karbon dioksida (CO2) ke atas sistem ekosistem hutan.

Kemudahan tersebut dilihat amat bersesuaian dengan visi dan misi FRIM untuk menjadi peneraju peringkat global dalam penyelidikan perhutanan tropika menjelang 2020 serta menghasilkan inovasi dan penyelesaian permasalahan secara saintifik bagi memenuhi keperluan perhutanan masa kini dan akan datang.

Kedua-dua pihak juga berharap lebih banyak maklumat dan pemahaman yang lebih baik tentang hutan tropika dalam jangka masa panjang akan diperoleh. Seterusnya ia akan membantu Jabatan Perhutanan mengambil langkah adaptasi untuk melindungi hutan daripada kesan perubahan iklim.

Penyelidikan sistem FACE yang digunakan untuk mengayakan persekitaran semula jadi bagi mengukur sejauh mana persekitaran hutan sihat kerana aktiviti perindustrian yang pesat meningkatkan jumlah gas karbon dioksida.

Sebenarnya sistem FACE telah dibangunkan di UKM pada 2010, manakala stesen FACE dilancarkan pada Disember 2014 oleh ahli majlis Yayasan Sime Darby, Tan Sri Dr. Wan Zahid Wan Noordin.

Setakat ini kajian mengenai FACE yang dibangunkan UKM diaplikasikan di dua hutan yang dipilih menerusi kerjasama antara Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan UKM.

Kawasan yang dipilih adalah Hutan Simpan Tekam, Pahang; dan Hutan Simpan Pasoh, Negeri Sembilan iaitu hutan dipterokarp pamah darat.