Terdapat tujuh spesies penyu di lautan pada hari ini. Daripada jumlah itu, empat spesies penyu disahkan mendarat dan bersarang di pantai-pantai sekitar Malaysia setiap tahun.

Aktiviti manusia memberi kesan besar kepada populasi penyu di seluruh dunia. Kegiatan seperti penangkapan penyu dan pengambilan telur mereka memberikan kesan langsung kepada populasinya. Sebagai contohnya, ribuan penyu hijau dikorbankan untuk ritual keagamaan dan kebudayaan di sekitar Asia Tenggara setiap tahun.

Kejadian penangkapan sampingan atau bycatch yang melibatkan penyu juga meningkatkan kadar kematian haiwan liar ini dengan jangkauan kematian sehingga lebih kurang 15,000 penyu setiap tahun di seluruh dunia.

Selain itu, penyu juga diancam oleh penyakit dan jangkitan organisma yang berbahaya. Terdapat banyak istilah merujuk kepada jenis organisma ini, dan ia berbeza-beza mengikut jenis hubungan, dan kesan hubungan tersebut terhadap perumah.

Hubungan dan interaksi antara perumah dengan organisma komersial kadangkala membawa kepada kerosakan serius kepada haiwan perumah seperti penyu.

Misalnya, jangkitan pelbagai parasit boleh menyebabkan kerosakan dalaman dan luaran yang teruk kepada penyu. Beberapa jenis organisma parasit telah dikenal pasti berkaitan dengan kesihatan penyu adalah seperti lintah, protozoa dan helminth. Bagi sesetengah organisma lain seperti teritip dan isopod, ia biasa dijumpai di permukaan luar penyu.

Pelbagai permukaan substrata seperti dok kapal, pelampung, dan ceracak batu kapur boleh menampung komuniti organisma yang lazimnya dirujuk sebagai organisma tempel atau pun fouling. Organisma tempel atau organisma yang tumbuh di permukaan organisma hidup yang lain juga boleh dipanggil sebagai epibiota.

Permukaan luaran penyu boleh diduduki pelbagai jenis epibiota, sama ada tumbuhan atau haiwan. Penyu bertindak sebagai substrata atau platform untuk penjajahan dan penyebaran pelbagai spesies flora dan fauna laut. Menurut kajian, epibiota didokumentasikan daripada semua jenis spesies penyu.

Ini kerana, permukaan penyu yang berbeza-beza memberi substrata yang sesuai untuk penempatan pelbagai jenis epibiota. Beberapa faktor menentukan kehadiran atau ketiadaan spesies epibiota pada penyu termasuklah dinamik rekrutmen, gangguan, persaingan, tekanan fizikal dan pemangsaan.

Penempatan epibiota bermula dengan proses biokimia yang melibatkan kehadiran bakteria dan diatom yang menarik larva atau spora organisma epibiota untuk menempel.

Selain itu, substrat yang sedikit tenggelam boleh membentuk lapisan ‘lendir’ yang terdiri daripada alga dan bakteria, yang menyediakan nutrien yang menarik larva epibiota untuk melekat pada substrat.

Kehadiran komuniti epibiotik mungkin secara langsung atau tidak langsung berkaitan dengan jangkitan penyakit pada penyu laut, atau sekurang-kurangnya menunjukkan tahap kesihatan penyu tersebut.

Pelekatan yang terlalu banyak atau sarat di atas cengkerang boleh memberikan tekanan kepada penyu serta meningkatkan seretan permukaan semasa berenang.

Mereka juga boleh bertindak sebagai vektor (pembawa) yang memangkin kepada penyebaran pelbagai organisma penghasil penyakit sekunder.

Sebagai contoh, teritip daripada kumpulan Coronuloid mampu menanamkan diri mereka ke dalam tisu keras dan lembut badan penyu dan meninggalkan luka dalam yang boleh sampai sehingga ke tulang berdekatan. Epibiota jenis tertanam juga boleh menyebabkan kerosakan tisu yang mendedahkan penyu kepada patogen luar. Kapasiti pengambilan makanan juga boleh berkurangan apabila terdapat deformiti bentuk paruh penyu akibat daripada pelekatan organisma epibiota.

Selain itu, kajian mendapati penyu yang dilekati teritip-teritip lebih cenderung untuk tidak sihat berbanding penyu yang tidak mempunyai pelekatan tersebut.

Walaupun terdapat banyak kesan negatif epibiota terhadap penyu, ia juga boleh memberi manfaat tidak langsung kepada penyu melalui penyamaran optik, kimia atau elektrik, yang dihasilkan oleh komuniti ini.

Ini kerana, komuniti epibiotik secara visual atau kimia mampu menyerupai komuniti benthik (dasar) di sekeliling yang menjadikan penyu-penyu tidak dapat dikenali menjadi pemangsa yang berpotensi.

Di samping itu, komuniti epibiotik yang padat pada cengkerang penyu juga boleh mengganggu sebaran tenaga yang dihasilkan oleh penyu, seterusnya menghalang pemangsa yang menggunakan tenaga elektrik (electrocution) untuk mencari mangsa, contohnya jerung, dan mengelakkan penyu daripada pemangsa.

Selain itu, kajian mengenai kelimpahan komuniti organisma epibiota boleh memberikan maklumat tentang ekologi basibiota (organisma substratum). Kajian rentas ekologi serta geografi epibiota dan penyebaran mereka di atas badan penyu boleh memberi maklumat mengenai tingkah laku dan habitat penyu tersebut.

Pengetahuan mengenai sejarah kehidupan penyu adalah penting untuk mencari penyelesaian kepada penurunan populasi penyu peringkat global. Terdapat pelbagai kajian mengenai penghijrahan penyu telah dijalankan seperti kajian semula penanda kaki sirip (flipper tagging), kajian molekular genetik dan telemetri satelit.

Walau bagaimanapun, terdapat sedikit kelemahan tersendiri kajian tersebut.

Sebagai contohnya, kajian telemetri satelit memberikan bias geografi, di samping keperluan peralatan yang mahal.

Tambahan pula, kajian tentang populasi yang lebih luas serta corak jangka masa panjang tidak dapat dicapai kerana tempoh penggunaan pemancar yang terhad dan singkat.

Kajian mengenai perkaitan antara penyu dan organisma epibiota mereka boleh menjadi alternatif untuk mengkaji sejarah kehidupan penyu. Ini kerana, untuk memastikan epibiota melekat pada penyu, ia memerlukan pertindihan masa dan julat geografi yang tertentu antara penyu dan organisma epibiota.

INFO

  • Penyu mendiami habitat tertentu semasa melakukan aktiviti yang berbeza seperti mencari makan, berehat dan mengawan pada masa-masa yang berlainan sepanjang tahun.
  • Kehadiran epibiota spesifik yang mempunyai sebaran yang terhad dapat memberi perincian mengenai pergerakan penyu laut.
  • Terdapat tujuh spesies penyu di lautan pada hari ini. Daripada jumlah itu, empat spesies penyu disahkan mendarat dan bersarang di pantai-pantai sekitar Malaysia setiap tahun.

Kepentingan kajian epibiotik

Menyedari hakikat bahawa organisma epibiotik memberikan kesan kepada kelestarian kesihatan penyu, di samping mampu menjadi petunjuk kepada sejarah hidup dan populasi penyu, kajian mengenai epibiota penyu dilihat sangat penting.

Kajian mengenai epibiotik penyu dilakukan di seluruh dunia termasuklah di Malaysia.

Diharapkan dengan pengumpulan dan analisis data organisma epibiotik daripada spesies penyu di negara ini, ia dapat diguna pakai secara tidak langsung dalam aktiviti pemuliharaan dan kesedaran mengenai penyu.

Penemuan kajian hubung kait antara penyu dengan epibiota itu penting untuk pelaksanaan supaya langkah-langkah konservatif kawasan geografi yang didiami penyu boleh diramalkan berdasarkan pertindihan geografi dengan kedua-dua organisma ini.

Ia juga merupakan alternatif kos dan masa yang berkesan untuk menjelaskan sejarah kehidupan penyu. Kajian epibiota ini dilihat mampu memberi impak yang lebih besar melalui pengesahan spesies epibiota pada tahap molekul serta hubungan filogenetik mereka.

Epibiota kebiasaannya dapat ditemukan pada cengkerang atau badan ibu penyu yang naik ke pantai untuk bertelur dan bersarang. Bagi kajian tersebut, pengumpulan epibiota dilakukan ke atas dua spesies penyu di Semenanjung Malaysia iaitu penyu karah dan penyu hijau.

Pengumpulan organisma epibiotik ini hendaklah dilakukan hanya dalam tempoh bersarang tersebut dengan gangguan yang sangat minimum bagi mengelakkan tekanan kepada ibu penyu.

Epibiota yang muncul di badan penyu dikumpulkan menggunakan pisau bedah, pengikis dan forsep. Pemerhatian komprehensif ke atas cengkerang penyu perlu dilakukan untuk mengurangkan kemungkinan kehilangan organisma epibiota tersebut, di samping memastikan tiada sebarang kecederaan yang terdapat pada badan penyu yang dikaji.

Sampel kemudian diletakkan di dalam botol pensampelan dan diawetkan dengan formalin atau alkohol 70 peratus untuk haiwan terutama epibiota jenis krustasea.

Setiap botol dilabel menggunakan label kalis air dengan maklumat seperti nama pemungut, bilangan spesimen, tarikh dan masa persampelan, lokasi persampelan dan tempat epibiota dijumpai, direkodkan.

Spesimen dibawa balik ke makmal untuk analisis lanjut.

Sampel dibawa kembali ke makmal untuk analisis dan pengenalpastian. Spesimen pertama dibersihkan menggunakan berus dan alatan bedah. Pemeriksaan terperinci spesimen epibiota dilakukan dengan menggunakan mikroskop kompaun atau mikroskop bedah bagi membolehkan ciri-ciri utama spesimen direkodkan menggunakan kamera digital.

Selain itu, asid dioksiribonukleik (DNA) daripada tisu epibiota terutama teritip, diekstrak bagi mendapatkan jujukan genetik yang membolehkan pengenalpastian dijalankan dengan lebih mendalam. Hasil daripada ujian DNA ini kelak akan memberi maklumat sokongan mengenai taburan penyu melalui pertindihan geografi organisma epibiota.