Fokus yang dinyatakan itu adalah pembangunan industri tuna dengan menggalakkan pendaratan dan mengeksploitasi sumber tuna di negara ini secara mapan dan memberi sumbangan yang signifikan kepada industri perikanan.

Ini kerana industri berkenaan dilihat berpotensi menjana pendapatan dengan usaha pengeksportan produk tuna yang lumayan dan mendapat permintaan tinggi.

Fokus seterusnya dalam Program Transformasi Nelayan melalui pemodenan vesel tangkapan ikan yang perlu dipergiat dengan sasaran menjelang tahun 2050, semua bot pukat jerut dan pukat tunda zon C dan ke atas akan dibina mengikut Garis Panduan Pembinaan Vesel Penangkapan Ikan yang disediakan oleh jabatan tersebut.

Perkara itu dinyatakan oleh bekas ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan pada majlis meraikan persaraannya di Putrajaya baru-baru ini.

Beliau digantikan oleh Datuk Abdul Munir Mohd. Nawi.

Ismail juga menggesa supaya usaha menjadikan Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzudin Shah, Lumut sebagai salah satu institut pengajian tinggi awam (IPTA) sektor perikanan yang penting di negara ini.

“Adalah menjadi satu kebanggaan buat Jabatan Perikanan atas perkenan Paduka Seri Sultan Perak menamakan Kolej Perikanan atas nama baginda dan merupakan satu cabaran yang besar kepada jabatan untuk mengekalkan reputasi dan kualiti terbaik menjunjung nama yang begitu tinggi dalam memacu industri perikanan negara, ‘’ ujarnya.

Menurutnya lagi, menjadi tanggungjawab jabatan untuk memastikan bekalan ikan yang mencukupi pada harga yang berpatutan di sepanjang tahun.

Justeru katanya, aspek kemudahan bilik sejuk untuk simpanan ikan perlu diberi penekanan bagi peningkatan pasaran tempatan dan juga eksport.

Lebih jauh dari itu lagi katanya, ia boleh menjejaskan kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara Malaysia ini.

Ismail turut berkongsi rasa syukurnya berhubung keseluruhan fasa kemajuan industri perikanan negara.

Menurutnya selama ini Jabatan Perikanan melaksanakan peranan yang amat penting dan signifikan.

Beliau berkata, khidmat pengembangan dan teknologi daripada R&D memberi impak yang jelas kepada industri perikanan tempatan.

Kerjasama erat antara kerajaan dan industri menerusi usaha secara rakan kerjasama awam swasta membangunkan industri perikanan ke tahap yang lebih berjaya, bukan sahaja membekalkan protein untuk rakyat, ia juga menyediakan peluang pekerjaan dan pelaburan serta perniagaan.

Dalam pada itu, Munir juga berkongsi beberapa kejayaan jabatan tersebut antaranya termasuklah menyediakan struktur pelaksanaan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang kemas dan teratur sehingga membolehkan projek permulaan (EPP) akuakultur muncul sebagai peneraju pelaksanaan program NKEA Pertanian yang menyumbang kepada transformasi ekonomi negara.

Kejayaan lain adalah pembangunan industri tuna dengan menggalakkan pendaratan dan mengeksploitasi sumber tuna di negara ini secara mapan dan memberi sumbangan yang signifikan kepada industri perikanan serta Program Transformasi Nelayan.

“Ia dilakukan menerusi pemodenan vesel tangkapan ikan yang perlu dipergiat dan menjelang tahun 2050, semua bot pukat jerut dan pukat tunda zon C dan ke atas akan dibina mengikut Garis Panduan Pembinaan Vesel Penangkapan Ikan yang disediakan oleh jabatan,” ujarnya.

Apa yang pasti pembangunan industri perikanan akan memberi impak kepada Dasar Agro Makanan Negara (2011-2020) terutama dalam sektor akuakultur.