Sebagai contoh pada 31 Januari lalu, ratusan peminat atronomi mengunjungi Planetarium Negara bagi menyaksikan mencerap gerhana bulan penuh. Dalam masa yang sama, beberapa lokasi lain di seluruh negara juga menjadi tumpuan orang ramai yang mahu merasai sendiri pengalaman tersebut sambil berkongsi maklumat. Beberapa balai cerap terpilih seperti Port Dickson, Kuala Terengganu, Tanjung Bidara (Melaka) antara yang menjadi tumpuan. Namun menurut Agensi Angkasa Negara (Angkasa) mereka yang terlepas melihat fenomena tersebut, berpeluang menyaksikannya sekali lagi pada 28 Julai ini.

Dalam pada itu, satu lagi fenemena astronomi yang berlaku Mac ini adalah ekuinoks.

Ekuinoks merupakan fenomena tahunan matahari yang berlaku dua kali setiap tahun iaitu pada bulan Mac dan September. Perkataan ekuinoks berasal daripada perkataan Latin, yang bermaksud ‘malam yang sama’. Ketika berlakunya fenomena Ekuinoks, seluruh dunia akan mengalami tempoh waktu siang dan malam yang hampir sama iaitu 12 jam. Selain itu, fenomena Ekuinoks juga menandakan permulaan musim bunga dan musim luruh di Hemisfera Utara dan Selatan.

Paksi putaran Bumi adalah sendeng sebanyak 23.4° berbanding satah orbit bumi.

Oleh itu, kedudukan matahari tidak akan berada tegak di atas garisan Khatulistiwa melainkan sewaktu berlakunya Ekuinoks.

Penduduk yang tinggal di sekitar kawasan garisan Khatulistiwa juga dapat melihat Matahari yang dijangka berada tegak di atas kepala pada waktu tengah hari, bergantung kepada waktu tempatan masing-masing. Cahaya matahari boleh dikatakan serenjang dengan garisan Khatulistiwa semasa fenomena ini berlaku.

Pada tahun ini, Ekuinoks pertama dijangka berlaku pada 21 Mac ini. Matahari akan berada tepat (kosong darjah) di atas garisan Khatulistiwa pada pukul 12.15 pagi. Dengan sinaran matahari yang diterima penuh setiap hari, kita yang tinggal di sekitar Khatulistiwa mungkin tidak merasakan perbezaan panjang siang dan malam ini. Oleh itu, isu berkaitan Ekuinoks bukan sesuatu yang luar biasa.

Namun, Ekuinoks Mac ini adalah permulaan bagi musim bunga di Hemisfera Utara dan musim luruh di Hemisfera Selatan. Ekuinoks kedua pula dijangka berlaku pada 23 September ini.

Matahari akan berada tepat di atas garisan Khatulistiwa pada pukul 9.54 pagi. Ekuinoks September pula adalah permulaan bagi musim luruh di Hemisfera Utara dan musim bunga di Hemisfera Selatan.

Perubahan cuaca dan kepanasan melampau disebabkan oleh pelbagai faktor tetapi fenomena Ekuinoks bukanlah salah satu daripada faktor tersebut. Walaupun Ekuinoks berlaku pada bulan Mac dan September, suhu tertinggi hanya direkodkan pada bulan Mac, tetapi tidak pada bulan September berdasarkan laporan laman sesawang weather-and-climate.com.

Perubahan kitaran kedudukan matahari semasa Ekuinoks hanya menyebabkan adanya pertukaran musim yang kita alami di Bumi. Hemisfera Utara akan menerima banyak sinaran matahari berbanding Hemisfera Selatan selepas Ekuinoks Mac berlaku dan sebaliknya apabila berlaku Ekuinoks September ini.