Dasar tersebut menunjukkan komiten dan rasional Malaysia untuk menceburi bidang sains dan teknologi angkasa serta faedahnya kepada negara dan rakyat.

Malaysia telah lama terlibat dalam bidang sains dan teknologi angkasa dengan penghantaran satelit dan angkasawan, tetapi masih banyak bidang lain boleh diterokai ke arah pembangunan bidang tersebut, pengalakan penyertaan generasi muda dan mencetuskan pelbagai industri hiliran.

Penerokaan ruang angkasa melahirkan teknologi dan aplikasi angkasa yang meliputi pelbagai aspek kehidupan masyarakat hari ini.

Namun begitu, masih ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang tidak menyedari akan sumbangan dan manfaat yang diperoleh daripada teknologi angkasa walaupun mereka menggunakan jaringan komunikasi, penyiaran dan internet, pemetaan, sistem navigasi kenderaan, mendapatkan maklumat ramalan cuaca dan sebagainya; dan semuanya bergantung pada teknologi angkasa.

Teknologi angkasa juga digunakan untuk membantu aspek keselamatan negara dan menyumbang kepada penjanaan ekonomi melalui data, teknologi dan aplikasinya.

Atas kepentingan dan keluasan penggunaannya, teknologi angkasa dianggap sebagai aset strategik sesebuah negara.

Oleh itu, untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berupaya melangkah lebih jauh, penguasaan bidang angkasa negara perlulah diperkukuh.

Malah Malaysia juga perlu menyasarkan untuk mempunyai akses kepada keupayaan angkasa secara berterusan dan kos efektif.

Oleh demikian, dasar tersebut bertujuan untuk menyatakan secara jelas pendirian dan objektif dalam menguasai bidang angkasa dan mempersiap negara dalam menghadapi cabaran masa depan.

Keperluan kepada keupayaan angkasa negara pada masa ini dapat dipenuhi melalui perkongsian pintar dengan pihak antarabangsa.

Walau bagaimanapun, untuk jangka masa panjang, Malaysia perlu mempunyai perancangan bagi menguasai bidang angkasa yang strategik dan bersesuaian.

Dasar Angkasa Negara ini tidak akan mengikat Malaysia dengan program angkasa yang berisiko tinggi, mahal dan penerokaan yang tidak munasabah. Dasar tersebut juga tidak akan menggantikan peranan dan fungsi dasar negara yang sedia ada.

Sebaliknya, dasar tersebut bertujuan untuk menjaga kepentingan negara dengan mengiktiraf keperluan akses kepada keupayaan angkasa bagi menambah baik perkhidmatan yang diperlukan oleh rakyat dan keselamatan negara.

Ia juga akan menjadi rujukan dalam menentukan hala tuju pembangunan bidang angkasa di Malaysia bagi memanfaatkan sepenuhnya keupayaan angkasa serta menyelaraskan keutamaan dan komitmen dalam bidang tersebut secara strategik dan meletakkan sumber yang bersesuaian untuk hasil terbaik.

Pembangunan teknologi telah memacu kemajuan aplikasi strategik teknologi angkasa termasuk dalam sektor pertahanan.

Penggunaan teknologi pelengkap seperti perkhidmatan mudah alih juga membolehkan akses kepada teknologi dan aplikasi yang sebelum ini tidak didapati, boleh digunakan untuk sosial, persekitaran dan ekonomi.

Contohnya, peta sebelum ini hanya dicetak di atas kertas kini boleh diakses menghampiri masa nyata (real-time). Hal ini mungkin mempunyai implikasi positif dan negatif.

Oleh itu, Malaysia perlu kompeten dalam menghadapi arus perkembangan teknologi dan aplikasi ini.

Kesejahteraan sosial, persekitaran dan ekonomi negara masa kini mempunyai kebergantungan pada keupayaan angkasa.

Pergantungan pada sistem angkasa ini telah meningkat terutama untuk fungsi perkhidmatan kritikal harian termasuk aspek keselamatan.

Hal ini memerlukan pendekatan penguasaan bidang angkasa secara lebih terkoordinasi.

Keupayaan angkasa juga turut melengkapi dan menyokong hala tuju dasar negara yang sedia ada dalam membantu dasar tersebut mencapai objektifnya.

Dasar Angkasa Negara ini ialah langkah seterusnya untuk menyelaraskan perkara berkaitan dengan angkasa pada peringkat nasional dan antarabangsa.

Bagi membuktikan bahawa Malaysia ialah sebuah negara yang bertanggungjawab dalam melaksanakan aktiviti berkaitan angkasa, negara perlu meratifikasi instrumen dan triti antarabangsa berkaitan angkasa. Prinsip yang ditetapkan dalam Triti Angkasa Lepas (Outer Space Treaty) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya berkaitan penerokaan dan penggunaan angkasa secara aman untuk faedah dan kepentingan manusia, memerlukan negara merealisasikan prinsip ini dalam pengendalian urusan angkasa pada peringkat nasional.

Pembangunan keupayaan angkasa negara tidak dapat lari daripada berkerjasama dan hubungan diplomasi antarabangsa.

Negara perlu menyertai secara berkesan dalam inisiatif antarabangsa berkaitan penggunaan teknologi angkasa untuk kegunaan aman bagi tujuan meluaskan manfaat angkasa kepada rakyat.

Mekanisme koordinasi bagi aktiviti angkasa secara menyeluruh yang dikenali sebagai Jawatankuasa Angkasa Kebangsaan (Jangka) akan distrukturkan semula.

Jangka dipengerusikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan dianggotai kementerian, agensi kerajaan dan wakil industri yang mempunyai kepentingan dalam sektor angkasa.

Objektif penubuhan Jangka adalah untuk memastikan pembangunan sektor angkasa dapat dilaksanakan dengan terancang dan lebih berkesan serta memberikan pulangan besar kepada negara dari aspek penjanaan ilmu baharu, penerokaan saintifik, penjanaan kekayaan, kesejahteraan masyarakat dan keselamatan negara. - Petikan daripada Dasar Angkasa Negara 2030

Teknologi angkasa bersifat pelbagai tujuan

Malaysia juga perlu menyokong usaha-usaha antarabangsa untuk mengurangkan penghasilan reja (debris) angkasa dalam melindungi persekitaran ruang angkasa.

Aspek keamanan dan keselamatan negara kini semakin bergantung pada keupayaan angkasa, yang terdapat banyak persamaan dan pertindihan antara aplikasi awam dan pertahanan.

Sememangnya teknologi angkasa bersifat dwitujuan (dual-purpose). Oleh itu, penyelarasan antara program awam dengan pertahanan dalam mengoptimumkan keupayaan angkasa negara perlu bersinergi di samping menghormati keperluan khusus kedua-dua sektor. Keupayaan angkasa juga banyak membantu Malaysia menghadapi arus pemodenan.

Negara tidak boleh ketinggalan dalam menguasai keupayaan angkasa bagi meletakkannya setanding dengan negara maju terutama dalam perkhidmatan penting seperti telekomunikasi, penyiaran dan internet, pengurusan sumber asli dan alam sekitar, pengangkutan dan pertanian.

Bagi membangunkan dan melestarikan bidang angkasa di negara ini dengan lebih mapan, ia perlu seiring dengan perancangan dan pembangunan sumber manusia bagi menyediakan tenaga kerja yang cekap, mahir dan berkelayakan.

Pembangunan sumber manusia mengambil masa yang panjang dan usaha ini perlu dilaksanakan secara berterusan.

Malaysia berhasrat untuk memiliki keupayaan angkasa yang berterusan dan kos berkesan. Dengan matlamat tersebut, sasaran penglibatan negara dalam bidang angkasa adalah untuk:

1Meningkatkan produktiviti

Keupayaan angkasa seperti penggunaan imej satelit dan penentududukan tepat mampu mengurangkan kos, meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan menggalakkan inovasi. Inovasi ialah pemacu utama bagi pertumbuhan ekonomi dalam pelbagai sektor, antaranya sektor perkhidmatan, alam sekitar, pertanian, pembuatan, pembinaan dan perlombongan kerana penambahbaikan dan pembaharuan proses dengan menggunakan keupayaan angkasa akan meningkatkan produktiviti.

2Memperkasa teknologi angkasa, memperkukuh infrastruktur tempatan dan memantapkan sumber manusia.

Negara perlu memperkasa teknologi angkasa dan infrastruktur tempatan serta membangunkan sumber manusia yang berkemahiran untuk meletakkan Malaysia setanding dengan negara maju.

3Memanfaatkan keupayaan angkasa negara secara optimum

Keupayaan angkasa akan dimanfaatkan secara terselaras dan bersesuaian untuk penghasilan terbaik. Ia menjadi penyumbang strategik kepada kesejahteraan sosial, penjanaan ekonomi serta pengurusan sumber asli, alam sekitar, bencana dan keselamatan negara.

4. Mematuhi instrumen antarabangsa

Keupayaan angkasa yang merentasi benua memerlukan negara yang ingin menguasai bidang ini patuh kepada instrumen antarabangsa berkaitan angkasa di samping mewujudkan hubungan dan kerjasama antarabangsa yang kukuh.