Syarikat penerbangan Singapura, SIA juga pernah mengalami insiden langgar burung melibatkan bahagian hadapan kapal terbang Boeing 777-200ER dilanggar oleh sekumpulan burung di Istanbul pada Ogos 2015.

Kes kapal terbang Airbus (A320) yang mendarat cemas di Hudson River, Amerika Syarikat pada tahun 2009 apabila melanggar kumpulan burung ketika berlepas dari Lapangan Terbang LaGuardia, New York juga menjadi tajuk hangat di arena penerbangan antarabangsa.

Bulan September tahun lalu, Boeing 777 Japan Airlines membuat pendaratan cemas selepas menjangkakan langgar burung semasa berlepas.

Laporan lain lagi tentang insiden langgar burung berlaku di Hyderabad, India melibatkan kapal terbang Cathay Pacific penerbangan ke Hong Kong yang terpaksa mendarat cemas pada May 2017.

India mencatat kerugian lebih kurang RM280 juta (AS$70 juta) setiap tahun antara 1980 hingga 1994 disebabkan oleh kes langgar burung pemangsa hering (vulture daripada keluarga Accipitridae dan Cathartidae).

Kes-kes langgar burung ini adalah sangat berbahaya dan boleh melibatkan kemalangan jiwa dan harta benda.

Banyak lagi laporan langgar burung berlaku di Amerika dan Eropah.

Langgar burung secara umumnya adalah kejadian pelanggaran burung atau haiwan lain seperti kelawar di udara dengan kapal terbang. Kejadian langgar burung ini adalah ancaman kepada keselamatan penerbangan dan telah menyebabkan beberapa kemalangan kapal terbang melibatkan kematian penumpang, walaupun kemalangan yang melibatkan kapal terbang awam adalah rendah iaitu satu kes kemalangan sahaja yang melibatkan kematian manusia dalam satu bilion jam penerbangan.

Dianggarkan lebih kurang 65 peratus kes langgar burung hanya menyebabkan kerosakan kecil namun begitu ia boleh menyebabkan kematian kepada burung terlibat.

Kebanyakan kes pelanggaran melibatkan cermin hadapan kapal terbang atau burung disedut ke dalam enjin yang boleh menyebabkan enjin tidak berfungsi.

Pelanggaran bahagian hadapan kapal terbang juga boleh merosakkan bahagian sistem radar kapal terbang yang boleh membahayakan penerbangan. Jangkaan kerosakan mencapai RM1.6 bilion (AS$400 juta) di Amerika dan lebih kurang RM4.8 bilion kepada kapal terbang penumpang seluruh dunia.

Walaupun, ada faktor lain yang menyebabkan kerosakan kepada kapal terbang, burung merupakan sumbangan penting dalam kes langgar burung kerana kerosakan kapal terbang dan pengurangan spesies burung akibat pelanggaran.

Secara amnya, insiden langgar burung di ruang udara adalah sangat berbahaya dalam industri penerbangan, di samping pemuliharaan spesies burung berkenaan.

Kes-kes yang disebutkan di atas adalah contoh laporan yang pernah berlaku. Malaysia bernasib baik kerana kes langgar burung di lapangan terbang di di negara ini masih lagi rendah berbanding dengan lapangan terbang lain.

Pihak berkuasa lapangan terbang sentiasa mengambil langkah terbaik bagi menghalang insiden langgar burung daripada berlaku.

Bagi mengelakkan daripada kes langgar burung terus berlaku, banyak maklumat penting tentang biologi dan ekologi burung sekitar lapangan terbang perlu diketahui dan dilakukan pemantauan secara berterusan dalam menguruskan kes langgar burung.

Misalnya, memahami spesies burung, musim dan laluan penghijrahan burung-burung yang melintasi Semenanjung Malaysia yang sememangnya berada dalam laluan hijrah burung dari Siberia ke Hemisfera Selatan menerusi laluan Timur Asia Australia.

Oleh kerana laluan hijrah burung adalah semula jadi, maka kawalan pihak berkuasa lapangan terbang dan juruterbang sangat penting.

Oleh kerana kita berhadapan dengan hidupan liar dan mengamalkan pemuliharaannya, maka cabaran menghadapi kes langgar burung sangat kompleks.

Maklumat seperti jenis burung, kawasan mencari makanan, jenis makanan, tempat bersarang dan tempat tidur mereka sangat perlu diketahui.

Sekiranya burung berhijrah pula, musim berhijrah, air pasang surut, kawasan berair berdekatan lapangan terbang, suhu dan arah angin juga penting diketahui.

Kefahaman tentang habitat dan rantai makanan burung perlu ada seperti rumput, bijian rumput, belalang atau serangga dan tikus serta ular dapat menarik burung-burung secara individu atau berkawan.

Terdapat jenis rumput atau pokok yang tidak sesuai tidak boleh ditanam. Maklumat bahaya tentang burung selalunya dimaklumkan kepada pihak juruterbang.

Kajian burung berhijrah di KLIA

Kajian populasi burung di kawasan ladang kelapa sawit dan kawasan terbuka di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang diterbitkan dalam Jurnal Malaysian Applied Biology 2005, mendapati 56 spesies burung daripada 27 keluarga.

Antaranya adalah 40 spesies tempatan dan 11 spesies yang berhijrah. Dilaporkan burung-burung berhijrah seperti Kedidi Pasir dan Rapang Kerinyut terdapat di dalam enjin kapal terbang. Kajian pihak berkuasa lapangan terbang juga mendapati 18 spesies burung yang berpotensi berlanggar, tiga berisiko tinggi daripada 109 spesies yang direkodkan.

Tambahan lagi, laluan burung berhijrah pantai adalah sepanjang pantai berlumpur dari Sekinchan hingga ke Bagan Lalang, Selangor dan penghijrahan burung pemangsa dalam bulan Oktober hingga April.

Sejumlah antara 30,000 hingga 60,000 burung pemangsa direkodkan setiap tahun merentasi Selat Melaka dalam perjalanan ke Utara.

Pernah dilaporkan bahawa antara 37,000 hingga 72,000 burung pemangsa melintasi Selat Melaka di Tanjung Tuan, Melaka.

Spesies yang paling banyak ialah Burung Helang Lebah (Pernis ptilorhyncus) yang menuju ke Jepun di Utara. Malaysia bernasib baik tidak mempunyai burung yang bersaiz besar.

Namun begitu, pemantauan perlu dibuat memandangkan perubahan cuaca dunia mungkin boleh mempengaruhi perubahan arah penghijrahan burung-burung.

Insiden langgar burung selalunya berlaku pada altitud yang rendah semasa berlepas dan mendarat. Kebanyakan burung terbang rendah dan memberikan kesan kepada insiden langgar burung. Namun begitu, ada juga burung yang terbang pada ketinggian meter hingga 9,000 meter (m).

Terdapat rekod kes langgar burung berlaku pada ketinggian 11,300 m. Kerosakan akibat daripada langgar burung ini bergantung kepada beberapa faktor seperti perbezaan kelajuan, arah pelanggaran dan berat serta saiz burung.

Burung seberat lima kilogram (kg) berlanggar dengan kapal terbang dengan kelajuan 275 km/jam boleh menghasilkan impak bersamaan 100 kg beg yang dijatuhkan setinggi 15 m.

Terdapat juga laporan burung seberat dua kg melanggar kapal terbang selaju 200 batu sejam menghasilkan impak sekuat enam tan. Pelanggaran kuat ini boleh merosakkan sistem radar atau memecahkan cermin kapal terbang.

Pelanggaran boleh menyebabkan burung terperangkap dalam enjin dan boleh mengganggu pergerakan kipas yang boleh menyebabkan enjin gagal berfungsi.

Bayangkan betapa bahayanya sekiranya sekumpulan burung berhijrah disedut ke dalam enjin ketika mereka terbang.

INFO

  • Laporan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menunjukkan kes langgar burung selama sepuluh tahun antara 2004 hingga 2013 ialah antara 13 hingga 103 kes.
  • Statistik masih rendah berbanding dengan Singapura dan Australia.
  • Lapangan Terbang Changi Singapura dilaporkan sebanyak 300 kes setahun.
  • Di Australia lebih 1,200 kes pada tahun 2006 hingga hampir 2,000 pada tahun 2015 kes langgar burung. Kes langgar burung di Australia kini dilaporkan terus meningkat.
  • Terdapat lapan laluan utama burung berhijrah dari Utara semasa musim sejuk dan kembali ke Utara apabila musim panas.
  • Empat daripada laluan burung hijrah adalah di Amerika iaitu laluan Amerika Mississippi, Amerika Pasifik, Amerika Atlantik dan Atlantik Timur.
  • Laluan penghijrahan burung lain adalah laluan Mediterranean atau Laut Hitam, Afrika Timur, Asia Tengah dan Timur Asia Australia.
  • Malaysia yang terletak di kawasan Timur Asia Australia tidak dapat lari daripada menghadapi cabaran langgar burung musim berhijrah.