Turut dikenali sebagai anggerik, orkid adalah keluarga terbesar pohon berbunga atau dipanggil Angiosperma yang mula muncul pada zaman Cretaceous dan sehingga kini terdapat lebih 800 spesies orkid di Malaysia.

Disebabkan ciri-cirinya yang unik selain mempunyai nilai komersial yang agak tinggi, apa yang menjadikan tumbuhan ini lebih istimewa ialah peminatnya perlu mempunyai pengetahuan asas berkenaan orkid demi memastikan ia dapat hidup subur dan mengeluarkan bunga yang cantik dan berkualiti.

Dengan pengalaman hampir 50 tahun, pengusaha orkid, Tan Chin Heong, 65, menyifatkan orkid sebagai sejenis tanaman yang sangat manja dan memerlukan perhatian rapi dalam memastikan keindahan bunganya yang berkembang dapat bertahan sehingga berbulan-bulan lamanya.

Menurut Chin Heong, setiap jenis orkid memerlukan penjagaan yang berlainan demi memenuhi keperluannya seperti peratusan sinar matahari, peredaran udara, jumlah air dan sebagainya agar ia sentiasa sihat dan berbunga secara kerap.

Mengimbas kembali kisahnya mula-mula terlibat secara serius di dalam bidang perusahaan orkid pada tahun 1968 adalah disebabkan minat yang mendalam terhadap tumbuhan istimewa itu.

“Saya bermula secara kecil-kecilan dengan membeli pasu plastik dan mengumpul sekurang-kurangnya 20 hingga 30 benih di dalam pasu tersebut.

“Kemudian saya jual benih-benih tersebut. Pada waktu itu saya hanya bermula dengan modal kecil sahaja,” katanya ketika ditemui di Lenggeng, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Berkongsi dengan lebih lanjut, Chin Heong banyak mempelajari tentang orkid melalui buku-buku dan juga bertanyakan kepada rakan-rakannya yang terlibat dalam perusahaan berkenaan.

Sehingga kini, Chin Heong telah berjaya memiliki dua buah nurseri orkid yang terletak di Serdang yang dijaga oleh isterinya manakala dia pula memantau nurseri tanaman orkid cawangan Broga, Lenggeng di Negeri Sembilan.

“Di cawangan Broga sahaja, keluasan tanaman orkid ini adalah seluas lima ekar dan di sini kami menghasilkan kacukan benih sendiri.

“Lebih istimewa apabila benih-benih ini tidak dapat diperoleh di tempat lain. Sehingga kini terdapat lebih kurang 1,000 benih kacuk yang telah dihasilkan,” ujarnya.

Antara jenis orkid yang sentiasa menjadi permintaan ialah orkid untuk hiasan dari spesies Phalaenopsis atau dipanggil Moth Orchid.

“Moth Orchid mempunyai batang bunga yang agak panjang dengan saiz daunnya yang pendek, manakala bunganya pula kelihatan seperti rama-rama yang sedang terbang.

“Orkid di sini ditanam mengikut kesesuaian cuaca dan kawasan. Seperti yang kita tahu, Broga merupakan kawasan yang berbukit, jadi pokok-pokok orkid di sini di tanam mengikut cuaca tanah rendah,” jelasnya.

Orkid Chinheongara 

Bagi orkid hibrid yang baharu, sudah menjadi tradisi ia akan dinamakan sempena nama pemimpin dan orang kenamaan misalnya Mokara Tun Dr. Siti Hasmah, Cattleya Datin Seri Rosmah, Vanda Rafidah Aziz dan sebagainya.

Mengambil peluang sebagai seorang pakar dalam bidang perusahaan orkid, Chin Heong juga tidak melepaskan peluang untuk menamakan spesies hibrid baharu yang dihasilkan dengan namanya sendiri iaitu Chinheongara serdang tan.

Menurutnya, proses untuk menghasilkan bunga orkid hibrid adalah satu proses yang sangat rumit demi mendapatkan bunga yang cantik dan berkualiti.

“Setelah melalui beberapa proses yang agak panjang, orkid yang paling menepati bentuk yang diinginkan akan diklon dan ini juga akan memakan masa sehingga beberapa tahun.

“Setelah itu, barulah pemilihan nama dilakukan dengan mendaftar di bawah International Registration Authority of Orchid Hybrids yang beribu pejabat di United Kingdom.

“Orkid Chinheongara ini adalah hasil silang pendebungaan dari tiga jenis orkid iaitu Ascocentrum, Phalaenopsis dan Rhynchostylis dan mengambil masa tiga hingga empat tahun untuk matang sepenuhnya.

“Kelopak bunga bangi orkid hibrid Chinheongara ini lebih kecil dan runcing, manakala daunnya pula lebih panjang daripada batangnya, sementara warnanya pula adalah jingga pucat,” katanya.

Ching Heong berkata, orkid hibridnya itu telah melalui satu masa yang cukup panjang untuk menjadi matang sehingga dapat mengeluarkan bunga. Oleh sebab itu, dia merasa sangat bangga dengan menamakan orkidnya sedemikian kerana segala usaha dan kesabarannya akhirnya berbaloi.