Sambutan MASM merupakan acara tahunan sejak Deklarasi Langkawi mengenai alam sekitar pada Oktober 1989.

Semenjak tahun 1991, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengadakan pelbagai aktiviti sebagai usaha berterusan untuk menerap dan meningkatkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan masyarakat.

Kalau kita perhatikan dalam media arus perdana bulan September lalu dan Oktober tahun ini, banyak memaparkan isu-isu berkaitan alam sekitar. Ini termasuklah isu tentang pencemaran air, sampah sarap, keresahan masyarakat di kawasan yang selalu ditimpa bencana, program pendidikan, aktiviti sukarelawan pembersihan pantai dan sungai, pemuliharaan kawasan marin dan janji kerajaan dalam memastikan keadaan alam sekitar terkawal serta pemantauan berkesan. Setiap tahun kita menyaksikan perkara yang sama berulang-ulang.

Rakyat perlu sedar dan terlibat dalam mengawal alam sekitar dan memastikan kualitinya berada dalam keadaan yang sihat.

Laporan media menunjukkan banyak pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak berkuasa tempatan (PBT), jabatan kerajaan, sekolah dan pihak-pihak lain prihatin dengan alam sekitar. Pihak berkenaan wajar menunjukkan komitmen masing-masing menerusi pelbagai aktiviti sempena MASM.

Apabila kita bercakap tentang alam sekitar, ramai orang terfikir perkara berkaitan pencemaran udara, pencemaran air dan kepelbagaian biologi.

Rakyat Malaysia sudah tahu tentang jerebu yang melanda negara beberapa tahun dahulu.

Ramai juga maklum bahawa jerebu akibat daripada pembakaran terbuka, pembakaran hutan dan aktiviti kenderaan bermotor serta industri.

Isu jerebu menjadi hangat pada tahun 2015, misalnya apabila ia menjadi mauduk perbincangan dalam pelbagai media melibatkan masyarakat, pegawai kerajaan yang terlibat, Kementerian Kesihatan dan ahli politik, bukan sahaja di Malaysia malah di negara jiran.

Pemantauan Indeks Pencemar Udara (IPU), jarak penglihatan, kesan tompok-tompok panas dan arah tiupan angin selalu diikuti oleh banyak pihak. Sekolah diarah tutup sekiranya mencapai paras IPU yang berbahaya dan ibu bapa menjadi gelisah.

Tambahan pula, ada yang melaporkan kesan jangka pendek dan jangka panjang terhadap kesihatan manusia akibat jerebu.

Malah haiwan juga bermasalah. Haiwan di zoo menjadi tidak aktif dan kesan ke atas Orang Utan di Borneo turut mendapat perhatian dunia.

IPU merupakan suatu kaedah umum dan termudah untuk melaporkan status kualiti udara yang diguna pakai di China, Hong Kong dan Malaysia. Indeks ini melibatkan pengukuran kuantiti zarah halus berbahaya seperti karbon monoksida, sulfur dioksida, nitrogen dioksida dan ozon.

Dalam keadaan jerebu yang teruk, misalnya di Kalimantan boleh mencapai IPU 1,800 dengan jarak penglihatan yang kurang daripada 100 meter. Selain jerebu, masyarakat juga didedahkan dengan gas rumah hijau (GHG) yang boleh memberikan kesan rumah hijau.

Antara gas rumah hijau utama yang terdapat dalam atmosfera bumi adalah wap air, karbon dioksida, metana, nitro oksida, sulfur dioksida dan ozon.

Banyak aktiviti manusia yang menyumbang kepada kesan rumah hijau termasuk jerebu, kenderaan bermotor, industri, tapak pelupusan sampah serta aktiviti pertanian dan penternakan.

Selain pencemaran udara, isu pencemaran air juga hangat dibincangkan. Malaysia masih bergantung kepada air permukaan sebagai sumber air bersih. Kes gangguan bekalan air ke rumah banyak dilaporkan disebabkan oleh loji pembersihan air terpaksa ditutup akibat pencemaran bahan kimia dan kelodak.

Aktiviti lombong bauksit yang mencemar sungai di Kuantan, Pahang; ikan mati di Sungai Rui Gerik, Perak; pencemaran racun perosak di sungai-sungai Cameron Highlands; dan air sungai gatal dekat Gua Musang antara berita yang dilaporkan.

Pencemaran yang sama berterusan sekiranya langkah terbaik tidak diambil. Misalnya pada tahun 2007, JAS merekodkan banyak punca pencemar.

Data 10 tahun dahulu itu diharapkan berkurangan dan sungai yang menerima kumbahan berkaitan sudah beransur pulih.

Sebagai sebuah negara yang sedang membangun dengan cepat, pengetahuan dan kesedaran masyarakat sepatutnya lebih baik, penguatkuasaan pihak berkuasa lebih sistematik serta efektif, dan penggunaan teknologi dalam mengawal pencemaran sepatutnya diguna pakai. Kerjasama semua pihak sangat perlu bagi menjaga sistem air terutama daripada hulu sungai hinggalah ke muara sungai.

Peranan RAS bantu pupuk kesedaran

Bagi menjayakan misi kerajaan dalam kelestarian alam sekitar, semua pihak mesti terlibat sama. Malaysia mesti mempunyai rakyat yang berpengetahuan dan mempunyai kesedaran yang tinggi dalam menjaga kualiti alam sekitar dan kepelbagaian biologi.

Salah satu aktiviti untuk memberikan pengetahuan dan kesedaran masyarakat tentang alam sekitar ialah melalui program Rakan Alam Sekitar (RAS). Program RAS dilancarkan pada 4 Jun 2009.

Banyak aktiviti dijalankan melibatkan semua pihak daripada pelajar sekolah, universiti, badan korporat, NGO dan agensi kerajaan.

Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) misalnya banyak terlibat bersama korporat dan jabatan kerajaan menjalankan pelbagai aktiviti pendidikan alam sekitar di seluruh negara.

Adalah diharapkan aktiviti RAS ini diteruskan dengan lebih berstruktur dan efektif ke seluruh negara. Gabungan NGO, swasta dan korporat bersama Jabatan Alam Sekitar boleh bekerjasama dengan aktiviti yang lebih fokus.

Aktiviti RAS bukan sahaja terhad kepada pendidikan dan kesedaran alam sekitar, penanaman pokok, membersihkan pantai, debat alam sekitar tetapi lebih kepada kefahaman tentang aktiviti dan peranan ekosistem serta mungkin boleh membentuk usahawan melalui aktiviti seperti kitar semula dan pelancongan.

Ringkasnya RAS perlu diberikan nafas baharu selepas penjenamaan semula pada 2013.

Sekiranya RAS sudah mempunyai 200,000 ahli sudah sampai masanya untuk menunjukkan tindakan contoh di tempat masing-masing seperti menjaga sungai dan pemuliharaan habitat secara sukarela.

Kefahaman dan kesedaran tinggi masyarakat melalui RAS juga boleh menjadi “mata dan telinga” kerajaan dalam memperkasa pemuliharaan kepelbagaian biologi negara dan kebersihan alam sekitar.

Malaysia sebagai negara mega biodiversiti dunia sudah tentu memberikan perhatian kepada program perlindungan dan pemuliharaan kepelbagaian biologi.

Pelbagai program dijalankan kerajaan dari pengukuhan undang-undang, pendidikan, penyelidikan, perlindungan habitat seperti rizab hutan, strategi pemuliharan habitat seperti Central Forest Spines (CFS) bagi menghubungkan hutan-hutan simpan di Semenanjung Tanah Melayu, dan penguatkuasaan.

Rakyat Malaysia secara amnya mempunyai pengetahuan dan kesedaran yang tinggi dalam flora dan fauna serta pemuliharaan biodiversiti.

Langkah kerajaan memperkasa pendidikan alam sekitar di sekolah sudah berjalan sejak lama dahulu dan ditambah baik dari semasa kesemasa.

Perhatian kerajaan kepada sumber semula jadi bukan sahaja bagi mengekalkan kepentingan genetik tumbuhan dan haiwan, kepentingan dalam pertanian dan perubatan, dan perkhidmatan alam sekitar, malah sekarang ini alam semula jadi sudah menjadi produk pelancongan utama negara.

Peningkatan pelancong ke negara ini meningkat kerana minat pelancong kepada alam semula jadi kian bertambah.

Antara tempat-tempat tarikan pelancong berkaitan alam semula jadi ialah Langkawi Geopark, Gunung Kinabalu, Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok, Santuari Gajah di Kuala Gandah Pahang, Taman Alam Kuala Selangor, Santubung dan Gua Mulu (Sarawak), Cameron Highlands di Pahang, Pulau Perhentian, Taman Negara (Pahang, Kelantan dan Terengganu), dan Hutan Belum-Temenggor di Perak.

Banyak lagi tempat berasaskan alam semula jadi yang sedang dipulihara untuk kepentingan pemuliharaan kepelbagaian biologi, sumber air, ekonomi dan ekopelancongan.

Antaranya Kuala Gula di Perak, Hutan Paya Gambut di Selangor dan Parit Jawa di Johor.