Suasana kampung dengan persekitarn yang permai dengan dikelilingi pepohon menghijau memang memberi satu kelainan kepada pengunjung.

Namun, bukan itu sahaja yang meningkatkan rasa keterjuaan untuk menikmati keindahan suasana kampung tetapi ketekunan penduduknya menjalankan aktiviti ekonomi untuk menyara hidup juga menarik perhatian.

Salah seorang penduduk yang gigih sebagai pengusaha ialah Mohd. Hanafi Awang yang mula berjinak-jinak dengan projek ternakan ikan air tawar selain mengusahakan perniagaan lain.

Menariknya, Mohd. Hanafi memilih spesies ikan air tawar iaitu kelah, yang diketahui harganya agak mahal di pasaran, dan ini menjadikan perusahaan tersebut agak unik tetapi berpotensi menjadikan pengusahanya sebagai jutawan.

“Punca saya mencuba ternakan ini kerana melayan hobi dan selepas melihat kejayaan projek di Hulu Langat, selain hendak menyelamatkan ikan kelah yang semakin pupus,” katanya ketika ditemui dalam program myDOF 2016 Kembara Media di Mersing baru-baru ini. Yang turut hadir Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad dan Pengarah Perikanan Johor, Zamani Omar.

Projek tersebut merupakan antara 23 lokasi projek melibatkan Jabatan Perikanan yang dilawati wakil media dalam program 12 hari ke seluruh negara.

Mohd. Hanafi memulakan projek tersebut dengan modal permulaan sebanyak RM300,000 pada 2012. Ketika itu dia menternak 100 ekor kelah dalam kawasan kolam berkeluasan 7 x 10 kaki di kawasan seluas dua ekar (0.8 hektar).

“Selepas enam bulan diternak, seekor pun tidak mati dan ini saya anggap satu kejayaan,” ujarnya yang juga anak seorang nelayan.

Pada 2014, beliau menubuhkan syarikat Far East Planet yang menjadi penggerak projek berkenaan. Selain ternakan ikan, syarikat tersebut juga mengusahakan kedai haiwan peliharaan dan kafeteria.

Ketika itu jumlah ternakannya mencecah 4,500 ekor ikan kelah merah dan kelah biru selain tilapia, lampam dan kerai. Benih diperoleh daripada sumber ikan semula jadi dari Janda Baik, Pahang; Tasik Temenggur, Perak; dan Tasik Kenyir, Terengganu.

Menurut Mohd. Hanafi, 53, bukan mudah untuk mengusahakan ternakan akuakultur apatah lagi tanpa sebarang bantuan ketika memulakan projek.

“Pada 2014 ikan kelah saya kena penyakit bintik putih, kira-kira 2,000 ekor dan waktu itu saya tidak ubat. Oleh itu saya menggunakan pelbagai jenis ubat temasuk yang digunakan untuk merawat kuda. Ada yang menjadi, ada yang tidak,” ujarnya.

Berkongsi lebih lanjut, dia akhirnya berjaya mengharungi masalah tersebut tetapi ketika itu terpaksa menjual kereta dan harta yang ada untuk memajukan projek disebabkan ketiadaan bantuan.

Kini , selepas menyusuri liku-liku keperitan pada peringkat awal, Mohd. Hanafi yang pernah bekerja sebagai wartawan enggan menoleh ke belakang lagi.

Projeknya yang sebelum ini dilawati Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Ahmad Shabery Cheek pada September lalu sudah mendapat sinar baharu dengan kesediaan kerajaan membantu menambah baik kemudahan termasuklah pembinaan kolam baharu dan makmal.

Setakat ini, dia memasarkan ternakannya dengan menjual secara terus kerana bekalan yang terhad dengan harga mencecah RM450 sekilogram.

“Pasaran ikan kelah luas dan di Jepun, hanya kelah sahaja yang mampu mengganti ikan salmon,” katanya lagi.

Sementara itu menurut Zamani, pihaknya menawarkan bantuan menerusi Skim Penyampaian Khidmat Sokongan (SPEKS) dengan nilai keseluruhan RM50,000 selain bantuan kerajaan negeri sebanyak RM20,000.

Dengan bantuan tersebut, Mohd. Hanafi boleh terus membangunkan projek tersebut di kawasan yang sedia ada memandangkan hanya satu pertiga sahaja yang baharu dibangunkan dengan membina kemudahan termasuk hatceri.

Pada akhirnya, usahawan tersebut dapat mencapai impiannya sebagai pengeluar benih kelah di negara ini.

Malah dia ingin membuktikan ikan kelah boleh di ternak di dalam kolam, tidak semestinya menggunakan air sungai semata-mata.

Bagi Dr. Abdul Latif, beliau memuji keberanian yang ditunjukkan oleh Mohd. Hanafi kerana projek yang diusahakannya memerlukan pelaburan yang tinggi selain berisiko.

“Projek ini memang boleh menjana kentungan tetapi pengusaha perlulah mempunyai ilmu dan perlu mendapat bimbingan daripada pihak berkaitan termasuk agensi sepeti Jabatan Perikanan, ujar beliau.

Dalam pada itu menurut Penyelidik Jabatan Perikanan, Muhammad Zudaidy Japar, pihak telah melawat ladang tersebut dan mendapati induk ikan kelah milik pengusaha sesuai untuk kajian pembiakan benih.

Beliau berkata, bantuan teknikal untuk pembiakan benih ikan akan dilaksanakan di samping bantuan dari segi kawalan penyakit serta peningkatan kemudahan aspek biosekuriti.

Pembiakan baka itu dapat membantu pengusaha menghasilkan benih kelah sendiri tanpa bergantung kepada benih luar bagi mengelakkannya terus dieksploitasi.

Beliau yang juga pegawai penyelidik di Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Gelami Lemi di Kuala Klawang, Negeri Sembilan berkata, menerusi Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11), mewujudkan program Pembangunan Sumber Baharu yang dijangka dapat memberi sumbangan yang signifikan kepada industri perikanan dan telah dimulakan pada tahun ini dengan peruntukan RM194,000.

Objektif utama program berkenaan adalah untuk menghasilkan dan membangunkan stok baka induk kelah yang berpotensi sebagai spesies akuakultur dengan memulihkan dan meningkatkan kembali stok semula jadi di habitat asal ikan tersebut.

Dalam pada itu, anak Mohd. Hanafi, Ahmad Faris, 22 mengakui kelah perlu terus dipulihara kerana ia sebenarnya amat bernilai sebagai mutiara tropika.

Ahmad Faris yang kini pewaris syarikat tersebut memberitahu dia mempunyai dua visi dalam membangunkan projek berkenana iaitu mengkomersialkan ikan kelah kerana nilainya yang sangat tinggi, sama seperti arowana dan sarang burung.

“Saya juga ingin menyelamatkan spesies kelah ini yang sudah semakin pupus.

“Sekarang pun saya bersama FRI Gelami Lemi sedang membuat penetasan benih kelah dan hasilnya nanti separuh akan diasuh di kolam saya dan separuh lagi akan diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk dilepaskan ke habitat asalnya,” ujar beliau.

FAKTA

  • Ladang ternakan kelah Far East Planet mempunyai kemudahan empat kolam simen pelbagai saiz antara 20 kaki x 15 kaki hingga 7 kaki x 10 kaki.
  • Satu kolam tanah bersaiz 45 kaki x 85 kaki.
  • Kapasiti 5,000 ekor ikan pelbagai saiz.
  • Harga boleh mencecah antara RM450 hingga RM700 sekilogram.
  • Ikan kelah boleh mencecah satu kilogram selepas tiga setengah tahun diternak.