Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Bisnes, formula bangunkan nelayan

Antara produk terbaharu  keluaran LKIM. 10
Antara produk terbaharu keluaran LKIM.

Masyarakat nelayan di negara ini sewajarnya rasa bertuah kerana kehidupan mereka mendapat pembelaan daripada pelbagai pihak khususnya kerajaan.

Pelbagai program dan aktiviti yang diperkenal untuk membantu golongan tersebut bagi menaik taraf tahap sosioekonomi mereka.

Banyak program yang sedang dan telah dijalankan akhirnya dinikmati nelayan-nelayan secara langsung dan tidak langsung.

Hal berkaitan masyarakat nelayan terutama kebajian dan urusan harian mereka bawah tangungjawab Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Agensi yang bertanggungjawab adalah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Banyak projek pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan oleh LKIM menjurus kepada peningkatan tahap sosioekonomi nelayan menerusi penambahbaikan dalam aktiviti atau projek perikanan dan penambahan pendapatan.

Bawah LKIM yang menaungi Persatuan Nelayan Negeri (PN), Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) serta Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), nelayan-nelayanlah yang menjadi penggerak kepada aktiviti ekonomi dan sosial.

Seperti yang dikongsikan oleh Ketua Pengarah LKIM, M. Saedon Ab Majid, beliau mengambil pendekatan bahawa persatuan-persatuan nelayan perlu berfungsi sebagai entiti perniagaan (bisnes) atau koperasi dengan menjadinya sebagai ejen pemasaran.

Katanya, fungsi persatuan nelayan itu sebenarnya sudah lama dilakukan tetapi kebanyakan masih pada takuk lama dengan terlibat dalam perniagaan yang tidak begitu menguntungkan.

Untuk tujuan itu, beliau melihat terdapat beberapa bidang yang perlu diperkukuh dan yang boleh diberi penekanan iaitu pemasaran, industri asas tani dan juga infrastruktur di jeti pendaratan.

Dalam bidang pemasaran sebagai contoh, PNK boleh bertindak sebagai pembeli ikan segar didaratkan oleh nelayan pada harga yang berpatutan.

Dengan cara ini, nelayan akan mendapat harga yang menguntungkan mereka.

“Apabila nelayan mendapat harga yang berpatutan, mereka mendapat untung dan dalam masa sama, mereka juga memperoleh laba menerusi saham yang dimilik dalam persatuan, ‘’ ujarnya ketika ditemui Mega Sains di Pulau Meranti Puchong baru-baru ini.

Dengan kaedah tersebut, nelayan tidak menjadi mangsa dalam penetapan harga ikan dan dimanipulasi oleh orang tengah.

Kaedah tersebut katanya, membantu nelayan kecil yang beroperasi pada jarak kurang lima batu nautika dari pantai. Apabila persatuan nelayan membeli ikan daripada nelayan tersebut, isu tidak ada pembeli atau harga dimanipulasi tidak lagi timbul.

Dengan itu, PNK telah menjalankan tanggungjawabnya sebagai penjana kewangan menerusi kerja-kerja pemasaran.

Selain pemasaran, LKIM juga akan memberi penekanan kepada bidang industri asas tani (IAT). Ini kerana terdapat dalam akta mengenai pembangunan industri pemprosesan berasaskan perikanan.

LKIM juga mahu membangunkan usahawan bimbingan dengan memberi fokus kepada produk yang terpilih untuk bawa ke pasaran antarabangsa.

“Ini bermaksud pembangunan industri asas tani perlu dihasilkan berskala besar supaya boleh dipasarkan ke peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Dengan itu, usahawan yang terlibat perlu mengeluarkan secara besar-besaran dan menggunakan jenama mereka sendiri.

Beliau memberi contoh, semasa menjadi Pengarah LKIM Sarawak, tiga produk yang dibangunkan adalah udang salai, keropok keping dan tahai. Ada juga produk yang boleh dipasarkan ke Brunei. Beliau malah meletakkan pembangunan industri asas tani di Sarawak berdasarkan zon iaitu Zon Miri (tamban yang disalai), Sibu (udang salai), Kuching (keropok).

Ketika ini beberapa lagi produk yang sedang dibangunkan antaranya sate ikan dan sotong pedas.

“Kita akan memfokuskan produk ini sebagai produk juara dan boleh dipasarkan ke peringkat antarabangsa dengan menggunakan bahan mentah tempatan,” katanya.

Fokus ketiga adalah pembangunan infrastruktur seperti jeti dan kemudahan pendaratan untuk kemudahan nelayan.

Pada masa ini, terdapat 26 kompleks pendaratan ikan dan 100 jeti kecil. Pihaknya juga telah membaik pulih 3,000 rumah nelayan dengan kos RM300 juta pada 2015 dan RM150 juta lima tahun sebelum itu.

Justeru, penubuhan persatuan nelayan, yang bertujuan menyatupadukan masyarakat nelayan dalam satu gabungan kumpulan, penting ke arah menggemblengkan tenaga, daya usaha, serta pemikiran dan merancang serta melaksanakan setiap aktiviti dan perkhidmatan bagi keperluan serta kepentingan ahli-ahli khasnya dan masyarakat nelayan amnya.

Persatuan nelayan juga bertindak sebagai medium penyampai atau ‘suara’ kepada masyarakat nelayan dalam melahir atau mengemukakan pendapat, cadangan, hasrat sebenar dan permasalahan daripada kumpulan sasaran kepada pihak yang berkenaan atau kepada kerajaan.

“LKIM percaya persatuan nelayan pada masa ini perlu memperkemas lagi rangkaian yang sedia ada bagi menjana kejayaan yang lebih besar.

“Tanpa rangkaian yang mantap, ia akan menyukarkan persatuan nelayan untuk menggerakkan operasi mereka dengan berkesan.

“Hubungan rapat ini yang akan membantu kita memperoleh komitmen serta sokongan nelayan dalam menggerakkan sesuatu inisiatif,” jelas M. Saedon.

Dalam masa yang sama, LKIM dari semasa ke semasa sentiasa memikirkan bagaimana untuk memperkasa dan mengukuhkan kluster ekonomi persatuan nelayan.

Memperkasa persatuan nelayan

Terkini, LKIM telah merangka Program Kluster Projek Ekonomi Persatuan Nelayan bagi mewujud dan mengukuhkan sumber ekonomi utama baharu kepada persatuan nelayan yang memberi faedah secara langsung kepada hampir 100,000 ahlinya.

Selain itu, program ini diharap dapat mengurangkan kebergantungan persatuan nelayan kepada kerajaan dan merakyatkan ekonomi persatuan tersebut.

Justeru, LKIM menyasarkan program tersebut akan menjadi antara program utama yang akan membantu memperkasa persatuan nelayan sepanjang Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) dan akan berterusan.

Untuk menjamin kesejahteraan nelayan, kerajaan melalui LKIM telah merangka dan menambah baik program bantuan dalam usaha untuk mensejahterakan dan seterusnya membantu meningkatkan tahap sosioekonomi nelayan melalui pemberian Elaun Sara Hidup (ESH), subsidi diesel dan petrol, bantuan bencana alam dan kebajikan nelayan, serta pinjaman dana nelayan.

Sebagai contoh, program ESH nelayan adalah bertujuan membantu golongan tersebut meringankan bebanan menghadapi tekanan ekonomi disebabkan oleh kenaikan kos sara hidup, di samping sebagai insentif kepada sektor perikanan supaya kekal berdaya maju.

Skim Perlindungan Insurans Nelayan Secara Berkelompok pula memberi perlindungan kepada nelayan bagi kes kematian dan kecederaan tubuh badan disebabkan oleh kemalangan di darat atau laut.

Selain itu, LKIM juga telah melaksanakan Program Perumahan Semula Nelayan yang bertujuan untuk memberi kesejahteraan kepada keluarga dan komuniti nelayan serta membantu nelayan untuk memiliki aset sendiri.

Untuk masyarakat nelayan, impak paling besar adalah berlakunya penurunan ketara kadar kemiskinan daripada 70 peratus ketika LKIM ditubuhkan dan kini ia berada di bawah 10 peratus.

Meskipun kejayaan tersebut bukanlah hasil usaha LKIM sahaja, tetapi turut mendapat kerjasama daripada jabatan dan agensi lain.

Dalam masa sama, program pembangunan nelayan melibatkan insurans dan Insentif Hasil Tangkapan Ikan (IHTI) pada kadar 10 sen bagi vesel Zon A, B dan C, manakala 20 sen bagi vesel Zon C. Dalam pada itu, PNK juga diberi tanggungjawab sebagai hab beli sejuk di tiga zon berbeza setakat ini.

Sebagai contoh Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) mempunyai kemudahan bilik sejuk berkapasiti 600 tan bagi kemudahan di Zon Lembah Klang atau kawasan tengah meliputi Negeri Sembilan, Johor, Melaka serta Selangor .

Satu lagi adalah PNK Kuala Kedah yang meliputi kawasan Utara yang juga berkapasti 600 tan, manakala PNK Kuala Besut, Terengganu setakat ini mempunyai kemudahan 50 tan dan bakal ditambah 200 tan lagi .

Ketiga-tiganya dipilih kerana faktor mempunyai keupayaan dan infrastruktur, berdekatan sumber perikanan dan pengurusan yang baik.

LKIM ubah pemikiran nelayan

Penubuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) merupakan satu permulaan yang cukup signifikan dalam mencorak nasib nelayan di negara ini.

Hasil perancangan dan pelaksanaan serta usaha yang komited bagi memperkasa ekonomi golongan nelayan, LKIM telah ditubuhkan dalam rangka mempercepat usaha pembangunan masyarakat nelayan.

M. Saedon Ab. Majid berkata , dalam hubungan ini, LKIM telah diamanahkan untuk membantu nelayan sejajar dengan matlamat penubuhannya secara khusus iaitu untuk meningkatkan taraf hidup serta sosioekonomi nelayan selain memajukan industri perikanan negara.

Justeru, sejak awal penubuhannya, banyak usaha telah difokuskan ke arah merealisasikan hasrat itu.

Katanya , LKIM sedia maklum setiap perancangan dan pelaksanaan program pembangunan perlu mendapat sokongan nelayan selain pihak-pihak berkepentingan (stakeholders) lain yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam sektor perikanan.

“Dari sudut sosial, LKIM telah membuka pemikiran nelayan untuk menerima perubahan dalam arus dunia tanpa sempadan,’’ ujarnya.

Untuk industri pula, beliau berkata, LKIM telah menyediakan pelbagai infrastruktur dan program bagi merancakkan lagi aktiviti perikanan negara.

Ini termasuklah menyediakan kompleks pendaratan yang dilengkapi kemudahan moden, implementasi kotak ikan berinsulasi untuk menjaga kualiti ikan, memperluas jaringan pemasaran melalui persatuan nelayan, meningkatkan kapasiti stok simpanan bekalan ikan dengan melaksanakan Program Q’Fish. Program lain adalah menggalakkan usahawan bimbingan dan seliaan LKIM menghasilkan produk yang mendapat persijilan serta membawa usahawan menyertai pelbagai ekspo di dalam dan luar negara bagi penerokaan pasaran baharu dan pengukuhan pasaran sedia ada.

Justeru kata beliau, menjadi harapan LKIM supaya perancangan dan program tersebut dapat membantu mengukuhkan peranan semua terutama persatuan nelayan di sepanjang rantaian nilai sektor perikanan bermula dari penangkapan sehingga ke pemasaran.

“Apa yang diharapkan, nelayan dan pemain industri dapat bekerjasama dan menyokong agenda yang dilaksanakan LKIM.

“Mereka perlu tahu, era kini begitu kompetitif dan untuk bersaing, kita perlukan hubungan yang sangat erat dengan semua pihak terlibat, sekali gus akan membawa perubahan paling bermakna dalam sektor perikanan masa depan,’’ ujarnya lagi.

Sebenarnya kata M. Saedon lagi, peluang yang menanti dalam sektor perikanan cukup berpotensi cuma masih tidak disedari rakyat Malaysia. Ini kerana sektor tersebut sekian lama dianggap sebagai sektor yang kurang diceburi atau diterokai.

Namun, realitinya sektor tersebut merupakan sektor yang begitu maju dan mempunyai pengaruh yang besar dalam ekonomi kalau dilihat ke negara-negara lain khasnya di Barat.

Sesungguhnya, persatuan nelayan berperanan penting dalam menyuntik keyakinan ini kepada ahli-ahlinya agar mereka mula melihat sektor ini sebagai boleh merubah keadaan hidup mereka setaraf dengan sektor komersial yang lain.

“LKIM yakin nelayan mampu melakukan anjakan ini bagi membina masa depan dan bersama-sama kerajaan menggerakkan agenda transformasi negara ke arah mencapai tahap negara maju bagi menjamin pendapatan yang lebih tinggi untuk nelayan kita serta rakyat seluruhnya, ‘‘ ujarnya beliau.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain