Ini berikutan banyak kes keracunan makanan berpunca daripada bukan sahaja cara makanan itu dibuat tetapi juga pengawetan dan pembungkusan yang tidak sempurna atau berkualiti.

Teknologi pengawalan kualiti makanan inilah yang wajar diberi penekanan bukan sahaja masyarakat sebagai pengguna memerlukan makanan berkualiti tetapi juga selamat.

Justeru menjadi tanggungjawab pengeluar supaya memastikan produk keluaran mereka benar-benar selamat apabila berada pada tangan pengguna dan tidak lagi timbul isu berkaitan keracunan dan makanan yang mengancam kesihatan.

Bagi menyokong usaha tersebut, mereka perlu mencari inisiatif bagaimana memastikan benar benar selamat dan satu daripadanya adalah mendapatkan kepakaran saintis teknologi makanan.

Antara yang penah ditampilkan adalah kajian sekumpulan penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) diketuai Prof. Dr. Ida Idayu Muhamad dari Fakulti Kejuruteraan Kimia yang menghasilkan inovasi BioSwitch.

Selain beliau, turut terlibat dalam penyelidikan tersebut adalah Mohd. Zakuan Zakaria dan Dr. Nozieana Khairuddin.

BioSwitch merupakan penyelidikan berbentuk kaedah pembungkusan makanan menggunakan konsep biopintar (active packaging using a smart bio switch concept)

Menggunakan komponen aktif semula jadi daripada biopolimer yang diubah suai, inovasi tersebut memberi maklumat lanjutan jangka hayat makanan menggunakan konsep BioSwitch yang baharu berkembang.

Dalam erti kata lain, inovasi tersebut berpotensi memantau keadaan makanan serta memberi maklumat kualiti makanan yang dibungkus. Ia menyediakan petunjuk yang jelas mengenai kualiti produk.

Selain itu, pembungkusan Bioswitch juga mampu meningkatkan aspek keselamatan, deria petunjuk tambahan selain memanjangkan jangka hayat sesuatu produk.

Sesuatu yang baru daripada penemuan tersebut adalah penggunaan bahan warna yang diekstrak daripada kubis ungu organik sebagai petunjuk warna pH makanan.

Ia merupakan sejenis pewarna hasil daripada campuran biologi yang tidak berbahaya serta dilengkapi ciri-ciri timbal balik (reversible) dalam menentukan keasidan dan keadaan asas.

Menurut Dr. Ida Idayu, teknologi tersebut adalah kaedah pembungkusan makanan yang diubah suai menggunakan konsep baru BioSwitch.

“Teknologi pembungkusan makanan pintar ini menyediakan lanjutan jangka hayat makanan, mengekalkan, memantau kualiti, keselamatan dan integriti makanan yang dibungkus,” katanya.

Petunjuk yang dibangunkan mampu mewakili kualiti makanan yang dibungkus dan ketahanan bahan campuran bioaktif.

Oleh itu, jangka hayat makanan akan dipanjangkan iaitu kualitinya boleh dipantau apabila teknologi BioSwitch itu diaplikasikan ke dalam plastik pembungkusan.

Sistem pembungkusan pintar yang dibangunkan dalam bentuk thermoform dan acuan filem boleh digunakan secara meluas terutama bagi makanan yang mudah rosak seperti sayur-sayuran dan buah-buahan, makanan tradisional seperti keropok lekor, tempoyak atau cencaluk sebagai lapis filem pemantau untuk menunjukkan kematangan makanan itu atau bagi menunjukkan masa yang paling sesuai dimakan terutama bagi produk hasil tapaian untuk dieksport.

Ia juga boleh digunakan bagi memantau tahap kerosakan produk yang mudah rosak. Seperti ikan dan daging daripada terus merosot.

Penyelidikan yang sedang dijalankan adalah untuk membangunkan pembungkusan pintar itu dalam bentuk solusi celupan yang boleh dimakan, lebih mudah dan menjimatkan kos.

Kaedah pembungkusan aktif dan pintar telah dikaji secara meluas dan pelbagai inovasi telah dibangunkan.

Walaupun, sangat sedikit yang telah dibangunkan bagi kegunaan komersial iaitu pelaksanaan teknologi ini tidak diusahakan di Malaysia.

Namun, teknologi ini dapat dilaksanakan secara meluas suntuk melanjutkan jangka hayat, meningkatkan jaminan keselamatan untuk pemeliharaan dan kestabilan produk makanan yang lebih baik.

Oleh kerana Malaysia mempunyai pelbagai jenis makanan, pengeluar dan pengilang makanan lebih kerap menggunakan plastik sebagai alat pembungkusan.

Oleh itu, pembungkusan pintar adalah teknologi yang sesuai untuk dilaksanakan dan mempunyai potensi yang besar dalam penggunaan komersial untuk makanan dan minuman serta pelbagai produk kosmeseutikal, nutraseutikal dan farmaseutikal.

Terima pengiktirafan

BioSwitch pernah terpilih sebagai salah satu peserta akhir bagi kategori reka cipta produk pertandingan di Anugerah Inovasi Negara (AIN) 2015.

Inovasi kaedah pembungkusan itu juga pernah dipamerkan dan dinilai bersama-sama dengan semua senarai akhir pada Persidangan dan Pameran Inovasi Kebangsaan (NICE) 2015.

Teknologi yang dipasarkan bawah syarikat terbitan (spin off) UTM, BioSwitch Technologies Sdn. Bhd. ini adalah merupakan sejenis kit pemantauan keselamatan makanan berbentuk filem plastik yang dilengkapi penunjuk pH berwarna yang mampu memantau kualiti, keselamatan dan integrit makanan yang dibungkus.

Inovasi tersebut telah dibangunkan menerusi hasil projek penyelidikan R&D untuk Dana Pengkomersialan Satu Pembungkusan Aktif menggunakan konsep pintar BioSwitch.

Ketika ini hasil jualan produk teknologi mencapai RM21,000.

Produk ini telah mendapat pengiktirafan dari industri tersebut dan beberapa syarikat telah berminat sebagai rakan kongsi industri yang telah menunjukkan minat.

Sebagai contoh, Harel Technologies Sdn. Bhd. telah mencuba produk berkenaan dan mendapati bahawa perubahan warna telah lulus dengan tahap sensitif yang mencukupi, terutama untuk makanan berasid rendah.

Syarikat berkenaan ingin menilai petunjuk untuk produk kesihatan mereka.

Sebuah lagi syarikat 1000 Layers Delicious Cake Enterprise menawarkan kerjasama untuk menggunakan produk inovasi bagi meningkatkan kualiti dan keselamatan produk makanan mereka.

Pelbagai peluang kerja disediakan apabila produk ini memenuhi kehendak pasaran terutama bagi pembekal kilang agen antimikrob, pembekal kanji seperti dalam industry sagu, industri kanji, rosel dan kubis ungu.

Faedah dan kelebihan inovasi Bioswitch

  • Menyediakan lanjutan jangka hayat makanan, mengekalkan dan memantau kualiti.
  • Keselamatan dan integriti makanan yang dibungkus.
  • Penggunaan komponen aktif daripada biopolimer yang diubah suai menggunakan konsep baru BioSwitch.

Keunikandan Keunggulan/Kelainan produk

  • Pembungkusan mudah urai dengan teknologi mesra alam sekitar.
  • Kesan penunjuk warna timbal balik dan tahan lama.
  • Kombinasi sinergistik dengan ciri-ciri yang aktif dan pintar.

Potensi pasaran

  • Industri makanan dan minuman
  • Produk tenusu
  • Farmaseutikal
  • Nutraseutikal
  • Industri kosmetik dan kecantikan

Rakan kerjasama

  • Harel Technologies Sdn Bhd
  • BioSwitch Technologies Sdn Bhd
  • Fresh Direct Export Trading
  •  Perusahaan Fazz
  • Perdagangan Jerai Agro