Kedudukan Malaysia antara negara pengeluar sawit utama menjadikan industri sawit di negara ini sangat berguna dan mencetuskan industri hiliran dan produk sampingan lain.

Ini kerana bukan sahaja minyak sebagai hasil sawit tetapi banyak produk industri sampingan dihasilkan seperti biodiesel.

Ramai daripada kita maklum, kita pernah menghasilkan biodiesel seperti B5 tetapi isunya bahan mentah tersebut adalah daripada minyak sawit.

Biodiesel itu dihasilkan daripada campuran lima peratus biodiesel minyak sawit tetapi konflik timbul kerana minyak sawit adalah sumber makanan.

Bagi mengatasi masalah tersebut, banyak kajian dijalankan untuk menghasilkan minyak biodiesel termasuklah antaranya menggunakan sumber sisa buangan sawit.

Ini termasuklah antaranya daripada asid lemak dari kilang sawit yang dikenali sebagai, asid lemak sawit tersuling (PFAD).

Seorang penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Madya Dr. P. M. Gaanty bersama kumpulannya menjalankan kajian berkaitan dengan penghasilan biodiesel atau bahan api mesra alam dengan menggunakan sumber bahan sampingan dari kilang pemprosesan minyak sawit.

Biodiesel yang dihasilkan diperakui untuk kegunaan enjin diesel dengan kualiti ekzos yang lebih mesra alam.

Berkongsi cerita mengenai kejayaan tersebut beliau berkata, idea kajian bermula apabila kos penghasilan biodiesel semakin meningkat.

Beliau yang juga pensyarah di Fakulti Sains dan Teknologi Industri, UMP berkata, sebagai salah satu produk sampingan industri sawit, sejumlah lebih 600,000 metrik tan PFAD dihasilkan setahun dan harganya lebih rendah berbanding minyak sawit.

“Asid lemak PFAD ini akan bertindak balas dengan metanol untuk menghasilkan biodiesel.

“Biodiesel yang dihasilkan boleh dicampur dengan diesel,’’ ujarnya.

Beliau berkata bahan mentah PFAD itu diambil dari kilang penapisan sawit dan proses esterifikasi dilakukan bagi proses penukaran kepada biodiesel.

“Kita tindak balaskan PFAD dengan metanol dan mangkin asid pada suhu sekitar 130°C.

“Selepas itu biodiesel akan menjalani proses penulenan bagi mengenyahkan bahan asing,’’ ujarnya.

Kejayaan penyelidikan beliau dijangka mampu mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.

Di samping itu, projek tersebut mewujudkan kepelbagaian jenis bahan bukan makanan sebagai sumber bahan api.

Perancangan untuk masa akan datang adalah dengan membina kerjasama dengan industri dan kerajaan bagi menjayakan agenda tenaga diperbaharui (RE), di samping dapat menghasilkan persekitaran yang lebih bersih.

Beliau berkata, untuk masa akan datang, kajian tersebut akan diperluas dengan mengkaji lebih banyak bahan sampingan atau buangan yang berpotensi dijadikan sumber-sumber bahan api.

Antara yang perlu diberi perhatian kestabilan mangkin dan kualiti biodiesel yang dihasilkan juga akan ditingkatkan.

“Kita dapati kandungan biodiesel dalam bahan api diesel telah mencecah tujuh peratus,’’ ujarnya lagi.