Pertandingan tersebut merupakan salah satu inisiatif yang dianjurkan oleh Petrosains untuk mempopularkan sains serta mempromosi cara pembelajaran yang lebih menarik dan berkesan untuk pelajar.

Apa yang menarik, pertandingan berkenaan juga telah memenangi Anugerah Sains Kreatif dari Pusat Rangkaian Asia Pasifik Bagi Sains dan Teknologi (ASPAC) pada tahun 2013 kerana menyediakan platform untuk menggalakkan pembelajaran sains dalam kalangan pelajar, di samping mempromosi cara pembelajaran yang lebih kreatif dan inovatif.

Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains, Tengku Nasariah Tengku Syed Ibrahim berkata, salah satu matlamat utama Petronas dalam mewujudkan Petrosains adalah untuk membantu kerajaan melahirkan generasi muda yang cerdik pandai dalam bidang sains teknologi, seterusnya dapat menyumbang kepada pembangunan negara.

“Menerusi pertandingan ini, kami dapat melaksanakan tugas tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam teras pendidikan dan menyumbang kepada agenda pendidikan negara khususnya dalam bidang sains.

“Pertandingan ini telah berjaya mencetuskan minat pelajar dalam bidang sains apabila pada tahun lalu, Petrosains berjaya melibatkan lebih kurang 15,000 orang pelajar dan guru dalam pertandingan ini.

“Bukan itu sahaja, kami juga berjaya menyampaikan pembelajaran sains kepada lebih kurang dua juta penonton melalui rancangan Petrosains Science Show Competition yang diterbitkan dengan kerjasama televisyen swasta selain dapat berinteraksi dengan lebih lima juta pengguna Internet,” katanya dalam majlis perasmian Pertandingan Pertunjukan Sains Petrosains 2017 Peringkat Kebangsaan, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Katanya lagi, pertandingan kali ini menawarkan hadiah istimewa kepada pemenang utama iaitu lawatan yang dibiayai sepenuhnya untuk empat orang ke National Museum of Emerging Science and Innovation (Miraikan) di Tokyo, Jepun.

Pertandingan tersebut mendapat sokongan penuh oleh Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan dan juga Bank Islam sebagai rakan kerjasama dan penaja kewangan.

Sementara itu, menurut Pengarah Urusan Bank Islam Malaysia Berhad, Datuk Seri Zukri Samat, program tahun ini merupakan tahun ketiga Bank Islam bekerjasama dengan organisasi terkemuka dalam industrinya.

“Kerjasama dengan Petrosains ini merupakan salah satu usaha kami untuk meningkatkan kualiti pendidikan di Malaysia, terutama dengan memberikan peluang pendidikan yang sama rata kepada pelajar tanpa mengira latar belakang ekonomi mereka.

“Pada tahun 2015 dan 2016, Bank Islam telah menyumbang sebanyak RM500,000 untuk program ini, dan untuk pertandingan kali ini, pihak kami dengan berbesar hati menaja sebanyak RM600,000 bagi meningkatkan lagi magnitud impak sains kepada pelajar yang terlibat,” katanya.

Dalam pada itu, pemenang pertandingan tersebut pada tahun lalu, Muhamad Shahir Azreen Ismail, 16, dan Ahmad Suffian Burhan, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Langgar, Kedah berkata, pertandingan itu telah banyak mengubah cara pemikiran mereka khususnya dalam bidang sains dan teknologi. Melalui pertandingan tersebut, mereka bukan sahaja dapat membina keyakinan diri, malah dapat mengekspresikan apa yang telah dipelajari dalam mata pelajaran sains ke dalam bentuk yang lebih kreatif dan berseni.

Bagi pelajar ataupun sekolah yang berminat untuk menyertai pertandingan ini, penyertaan perlu dihantar bersama borang penyertaan yang lengkap, skrip persembahan (menerusi e-mel) dan rakaman persembahan dalam bentuk cakera padat (CD) atau pemacu data mudah alih (pendrive) melalui pos dan dihantar kepada Petrosains.

Bagi penganjuran akan datang, mereka yang berminat boleh melayari laman sesawang Petrosains di www.petrosains.com.my atau hubungi talian 03-23924690.