Pelbagai isu berkaitan kegiatan ekonomi akan timbul dan perlu diberi perhatian, termasuklah bekalan makanan. Di kebanyakan negara maju, konsep pertanian bandar telah lama diperkenal dan diamalkan, bagi membantu usaha mendepani isu bekalan makanan segar secara efisien dan selamat.

Sehubungan itu, sekumpulan sukarelawan Universiti Malaya (UM) dari sebuah kelab keusahawanan yang dikenali sebagai Enactus mengambil inisiatif memperkenal konsep pertanian bandar kepada pelajar.

Kaedah pertanian ini diperkenal melalui Agrobox Mini, sebuah sistem akuaponik yang bersaiz kecil dan boleh diselenggara dengan mudah. Sistem tersebut menggabungkan penternakan ikan air tawar seperti tilapia dan sayuran yang cepat dituai, seperti salad dan sawi. Kelebihan Agrobox Mini ini adalah mengurangkan pergantungan kepada tanah, dan penggunaan ruang yang minimum.

Sekolah yang terpilih untuk menerima sistem Agrobox Mini yang pertama ini adalah Sekolah Rendah Agama Al-Amin di Gombak, Selangor. Seramai 30 murid dari Tahun Satu hingga Tahun Lima yang juga ahli kelab Bumi Hijau sekolah telah diberikan kepercayaan untuk mengendalikan Agrobox Mini tersebut.

Pengarah Pusat Keusahawanan UM (UMEC), Prof. Dr. Suhaiza Hanim Mohamad Zailani berkata, Agrobox Mini merupakan versi mini sebuah inisiatif yang dibangunkan UMEC yang pada asalnya menggunakan sistem akuaponik di dalam sebuah kontena bersaiz 20 kaki panjang. Sistem akuaponik mini ini dibangunkan sebagai usaha UMEC untuk mendekati masyarakat dan berkongsi pengetahuan yang ada dalam mendepani cabaran urbanisasi yang sedang dihadapi sekarang.

“Akuaponik adalah kaedah penanaman tanpa menggunakan tanah hanya memerlukan pengaliran air dari tangki ikan ke akar tanaman yang disemai dalam sabut dan sekam bakar.

Nutrisi tambahan dalam bentuk bahan organik turut disembur kepada tanaman dari semasa ke semasa, bagi menggalakkan tumbesaran. Kelestarian kaedah akuaponik ini terjamin kerana air buangan dari tangki pemeliharaan ikan, yang sebahagian besarnya mengandungi ammonia, akan dikitar semula ke akar-akar pokok sayur yang akan menyerapnya,” katanya.

Guru Penasihat Kelab Bumi Hijau Sekolah Rendah Agama Al-Amin, Nurul Izzati Rosli memberitahu, pelajar bukan sahaja didedahkan dengan ilmu di dalam kelas, malah mereka juga perlu mempelajari ilmu di luar kelas. Agrobox Mini merupakan salah satu medium yang dapat digunakan oleh para murid untuk belajar mengenai ilmu di luar kelas serta dapat dijadikan sebagai satu aktiviti rekreasi.

Beliau memberitahu, dengan adanya Agrobox Mini di sekolah, pelajar menjadi semakin aktif untuk menjalankan aktiviti di luar kelas dan lebih gembira kerana berpuas hati dengan hasil tanaman mereka seperti daun salad dan ikan tilapia yang dijaga semakin membesar dengan sempurna.

“Melihat perkembangan Agrobox Mini yang positif dan menggalakkan, saya percaya bahawa sistem tanaman akuaponik merupakan satu solusi yang boleh meningkatkan taraf hidup dan kesihatan penduduk di dalam bandar.

Pelajar tahun pertama Kejuruteraan Mekanik UM, Amir Firdaus Eddy Rosyadie berkata, pihaknya merancang untuk memperkenal konsep AgroBox Mini di beberapa buah sekolah yang telah dikenal pasti di Putrajaya,” katanya yang merupakan seorang sukarelawan UM.

Maklumat lanjut mengenai program Agrobox Mini ini boleh didapati melalui e-mel kepada Nurhidayah Mukhtar di hidayahmukhtar@um.edu.my