Antara kerosakan aset alam sekitar yang semakin membimbangkan adalah karang yang menjadi sebahagian daripada ekosistem.

Malaysia antara negara di dunia yang mempunyai karang yang menarik dan kepelbagaian spesies yang tinggi tetapi isu kerosakan karang menjadi topik yang membimbangkan pencinta alam sekitar.

Selain program kesedaran berbentuk aktiviti di lapangan, banyak program lain boleh diadakan bagi memberi kefahaman akan pentingnya pemuliharaan karang yang terdapat di negara ini.

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebagai contoh menggunakan pendekatan berbentuk persembahan Bicara Berirama (Choral Speaking) melibatkan sekolah seluruh negara.

Menurut Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Nor Aeini Mokhtar, penganjuran program tersebut bertujuan meningkatkan kemahiran komunikasi menggunakan medium persembahan berkaitan alam sekitar.

“Ini satu cara yang kreatif apabila kita menyampaikan mesej dalam bentuk nyanyian,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian pada program Pertandingan Bicara Berirama yang merupakan penganjuran kedua diadakan di kampus UMT Kuala Terengganu, Terengganu baru-baru ini.

Program tersebut diadakan susulan kejayaan pertandingan kali pertama ini pada 2017 yang melibatkan pelajar dari sekolah berasrama penuh dan sekolah kecemerlangan seluruh negara

Penganjuran pertandingan tersebut diadakan sempena World Oceans Week (WOW) yang disambut setiap tahun oleh UMT. Tema tahun ini adalah Bersihkan Lautan Kita.

Penganjuran WOW 2018 dibuat dengan tujuan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat, dan pelajar tentang kepentingan menjaga dan memulihara laut serta memberi peluang untuk mereka terlibat secara langsung bersama UMT dalam melindungi alam sekitar juga menyemai semangat untuk bersama melindungi biodiversiti marin.

Menurut Nor Aeini, banyak cara untuk menunjukkan penghayatan dan kesedaran tentang alam sekitar dan memberi tahu orang lain mengenai hasil penyelidikan yang dijalankan.

Justeru UMT, kata beliau bekerjasama dengan pelbagai pihak khususnya Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) bagi menganjurkan program tersebut. Pihak lain yang terlibat adalah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

UMT menerusi pusat kecemerlangan peringkat tinggi( HiCOE) nya, Institut Oseanografi dan Sekitaran (Inos) merupakan penganjur utama.

Mengenai pemuliharaan karang, beliau berkata, antara usaha yang dilakukan adalah memperkenal Marin Special Planning iaitu satu sistem pengurusan dan pemuliharaan karang yang sistematik.

Katanya, mesti ada perancangan mengurus sumber seperti karang supaya ia dapat dimanfaatkan bukan sahaja untuk kepentingan alam sekitar tetapi juga pelancongan.

Kata beliau, UMT menerusi Inos banyak menjalankan penyelidikan mengenai karang dan mempunyai maklumat yang diperoleh hasil kajian penyelidiknya yang boleh dijadikan panduan ke arah pelan pengurusan sumber karang dan perikanan di negara ini.

Pengurusan sumber tersebut boleh menggunakan teknologi sedia termasuk Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan mewujudkan kawasan pengezonan ekologi marin .

“Pulang Bidong merupakan stesen penyelidikan Marin UMT termasuklah berkaitan ekosistem karang, ‘‘ ujarnya.

Dalam pada itu, menurut Pengarah Bahagian Pendidikan dan Inteprestasi Maklumat JTLM, Mohd Nizam Ismail, litupan karang ketika ini adalah kira-kira 46.7 peratus yang dianggap tahap sederhana.

Justeru, usaha perlu terus dilakukan supaya pertumbuhan karang akan terus meningkat yang akan memberi impak kepada industri pelancongan.

“Kita boleh lakukan yang terbaik dan mahu supaya masyarakat terus melancong supaya memberi impak dari segi ekonomi kepada penduduk setempat dan pada masa sama memberi kesan kepada alam sekitar.

Pembangunan pusat pelancongan juga sepatutnya mengambil kira mengenai habitat speises marin perlu terus dipulihara.

Pelajar teruja

Penganjurkan pertandingan Bicara Berirama adalah sejajar dengan sambutan World Ocean Week (WOW) 2018 disambut bermula April hingga Julai ini. Pertandingan tersebut merupakan persembahan bahasa puisi dan prosa dalam bentuk berkumpulan.

Pasukan membentuk satu paduan suara tematik yang menghayati hasrat atau tema untuk diperdengar kepada audiens. Kesepaduan dan keseragaman bersuara ini akan dikawal oleh seorang peserta yang bertindak sebagai konduktor.

Pertandingan tersebut berlangsung pada peringkat separuh akhir bermula 17 hingga 26 April di lima buah zon berasingan (Zon Utara, Timur, Selatan, SQL (Sarawak), dan Tengah).

Sementara itu, Sekolah Sultan Alam Shah dinobatkan sebagai juara pada pertandingan akhir yang melibatkan sembilan buah sekolah.

Pasukan berkenaan menerima Piala Naib Canselor, cek bernilai RM 1,500, plak dan sijil.

Sementara itu guru pengiring sekolah berkenaan, Mimi Hairina Abdul Hamid berkata, pihaknya memberi penekanan mengenai isu isu pencemaran alam sekitar termasuklah kelunturan karang, hakisan pantai dan pencemaran laut.

“Sebab itu kandungan persembahan kami berkaitan apa yang ditekankan kepada pelajar sekolah, ‘ujarnya.