Lokasi yang dimaksudkan iaitu Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) Sungkai yang terletak beberapa kilometer dari plaza tol Sungkai mempunyai ramai penghuni tetapi anda tidak mungkin menjadi tetamu yang disukai.

Antara penghuninya termasuklah antaranya Nico, Daisy, Jebat, Bendahara, Satria, Ayu, Diora dan Mawar yang hanya melihat kosong kedatangan anda. Nama - nama tersebut milik beberapa ekor seladang yang merupakan sebahagian penghuni pusat tersebut dan sedang dibiakkan bagi mengelakkan kepupusan.

Seladang bukanlah satu satu-satunya spesies hidupan liar yang dipulihara di situ. Burung kuang dan rusa sambar juga berkongsi nasib yang sama yang perlu dibiak bagi mengelakkan kepupusan. Tanggungjawab tersebut diamanahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), salah sebuah agensi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

PKHL Sungkai itu merupakan satu daripada beberapa pusat konservasi yang terdapat di negara ini milik Perhilitan dan dilengkapi kemudahan untuk menjalankan tanggungjawab memulihara hidupan liar.

PKHL Sungkai itu bersempadan dengan Hutan Simpan Bukit Tapah di timur, ladang kelapa sawit (barat), Kemajuan Tanah Menderang (selatan) dan perkampungan Orang Asli di bahagian utara. Ia terletak di dalam kawasan tanah rezab yang berkeluasan 2,468 hektar (ha), manakala keluasan pembangunan semasa PKHL Sungkai kini adalah 20ha.

Penubuhan PKHL amat penting dalam hal berkaitan program pemuliharaan hidupan liar di negara ini. Rezab itu ditubuhkan bertujuan untuk melindungi seladang dan pada akhir tahun 1946 terdapat 15 ekor seladang di kawasan itu.

Buat masa ini, program pembiakan dalam kurungan untuk seladang, rusa sambar dan burung kuang dijalankan di rezab ini di dalam PKHL Sungkai.

Sehingga ke hari ini, program tersebut masih dijalankan sebagaimana tujuan asal penubuhannya.

Menurut Penolong Pegawai Veterinar Perhilitan Rozza Nadiah Rosli, PKHL telah menjalankan tanggungjawabnya untuk membiak tiga spesies hidupan liar melibatkan burung kuang, seladang dan rusa sambar.

Usaha tersebut bermula dengan rusa sambar pada 1971, burung kuang pada 1977 manakala seladang pada 1998.

Menurut Rozza Nadiah lagi, proses pembiak baka yang dijalankan di PKHL itu sama seperti yang dijalankan di pusat lain seumpamanya di negara ini. Sebagai contoh, proses pembiakan spesies ladang atau Bos gaurus dijalankan dalam dua cara.

Pembiakan seladang dan rusa dijalankan secara semula jadi iaitu sepasang jantan dan betina dibiarkan mengawan secara secara normal, yang bermakna tidak ada proses pembiakan secara permanian beradas.

Inisiatif yang sama dijalankan terhadap keluarga burung kuang iaitu merak pongsu, kuang raya dan kuang cermin iaitu membiarkan induk atau ibu mengeram sendiri telurnya. Kaedah kedua adalah penggunaan inkubator iaitu bagi telur yang tidak dieram secara semula jadi.

Bagi anak seladang dan rusa yang baru lahir, ia akan diambil bagi rawatan pusat menggunakan iodin dan mikrocip dicucuk di bawah kulit pengenalan (ID). Dua anak seladang yang paling baharu di PKHL itu adalah Tin dan Ara.

Sehingga kini, kejayaan yang dicapai agak memuaskan dengan kejayaan membiak seladang menjadikannya jumlahnya kini 18 ekor dan 96 ekor rusa.

“Sebanyak empat ekor rusa kita telah lepaskan di Sungai Deca, Tasik Kenyir Terengganu pada 23 Mac lalu.

“Pada 2013, kita telah melepaskan (ke habitat asal) lima ekor seladang masing-masing empat di hutan Rezab Krau dan seekor di Tasik Kenyir,” katanya.- Gambar Halim Khalid


Cabaran kendali haiwan liar

Mengurus dan mengendalikan hal berkaitan hidupan liar bukan satu kerja mudah. Berkongsi cerita mengenai tugas tersebut, Rozza Nadiah Rosli berkata, kerja-kerja mengendalikan seladang antara yang paling mencabar. Haiwan tersebut seberat kira-kira satu tan dan agak agresif. Apabila kerja-kerja memasang kolar pada tengkuk perlu dilakukan, haiwan berkenaan perlu dibiuskan terlebih dahulu.

Bagaimanapun, pekerja perlu memastikan tahap kesihatan haiwan tersebut sebelum membuat keputusan sama ada pembiusan perlu dilakukan.

Ini kerana katanya, kerja membius haiwan tidak boleh dilakukan sesuka hati dan perlu memastikan keadaan cuaca sesuai dan keadaan kesihatannya supaya tidak berlaku stres.

Haiwan tersebut juga perlu dipuasakan terlebih dahulu dan makanan diletakkan di bahagian depan kandang atau padok bagi membawanya rapat ke tepi. Ia satu kaedah mudah untuk membiuskan dengan menyuntik di bahagian pinggul.

Katanya, salah satu tip melihat tahap keadaan kesihatan seladang adalah badan yang berminyak menunjukkannya sihat. Katanya lagi , masalah utama haiwan liar selalunya mengalami kecederaan akibat bergaduh sesama sendiri termasuklah seladang.

“Selain itu kami meminta renjer membantu untuk mengambil sampel darah dan memasukkan ubat pada haiwan yang luka,’’ katanya.

Beliau memberitahu, kerja rutin harian di PKHL Sungkai itu bermula pada awal pagi dengan membersihkan kandang dan membuang sisa makanan pada hari sebelumnya dan menggantikannya dengan daun hutan yang baharu seperti daun ara dan nangka selain rumput napier sebagai makanan utama.

Mengenai perancangan pada masa akan datang, pihaknya mahu menambah kemudahan inkubator yang mempunnyai kemudahan pengawalan suhu automatik bagi menggantikan penggunaan haba daripada mentol yang ada sekarang.

Pihaknya juga berharap kemudahan rusa dan seladang supaya dilengkapi dengan rumah gelap dan laluan mandi kutu.

Dalam pada itu menurut Timbalan Ketua Pengarah Perhilitan, Fakhrul Hatta Musa, pihaknya juga masih mencari induk yang lebih baik untuk tujuan pembiakan pada masa akan datang daripada hutan terpilih.

“Kita perlu dapatkan atau gunakan seladang baka baharu kerana kita bimbang baka yang ada sekarang tidak lagi tulen kerana berlakunya `kahwin’ sesama sendiri . Baka ini muda terkena penyakit dan kadar kematiannya agak tinggi,’’ ujar beliau.